Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 2 Ogos 2020

Kumpulan Azmin Tidak Menambah Kekuatan Muafakat Nasional - Nur Jazlan.

The Malaysian Insight | AHLI Parlimen PKR yang kini menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan menambah kekuatan Muafakat Nasional (MN) untuk menghadapi pilihan raya, kata pemimpin Umno Johor.



Timbalan Pengerusi Umno negeri Nur Jazlan Mohamed berkata kedudukan puak pimpinan Mohamed Azmin Ali itu juga hanya dilihat kuat pada masa ini namun bakal tergugat.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, kumpulan tersebut tiada kekuatan kerana bergerak tanpa parti.

“Dalam menghadapi pilihan raya umum, yang nampak ada kekuatan adalah MN (Muafakat Nasional) dan Bersatu. Kumpulan Azmin nampak kuat sekarang sebab belum pilihan raya.

“Dari segi kepartian mereka tak kuat dan tidak beri kekuatan kepada MN untuk tubuh kerajaan, sekarang mereka sedang cari tempat,”
kata Nur Jazlan.

Tambah bekas timbalan menteri itu, rundingan untuk pembahagian kerusi juga akan menjadi sukar bagi kumpulan berkenaan kerana parti lain sukar mengalah.

Jelasnya, PAS dan Umno dalam MN sukar berbuat demikian memandangkan parti itu lebih berpengaruh kerana wujud lebih lama dan dijangka mendapat sokongan pengundi.

“Siapa kena beralah? MN atau Bersatu, atau kumpulan Azmin? Saya harap perbincangan pengagihan kerusi di peringkat pusat mengambil kira faktor itu,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Pulai itu berkata, beliau juga khuatir akar umbi Umno Johor akan menolak sekiranya percaturan agihan kerusi itu tidak dibuat dengan baik.

Beliau memberi amaran, keadaan itu akan memberi kelebihan kepada lawan.

“Saya tak mahu tindak balas ahli kita di DUN dan Parlimen menimbulkan pertandingan tiga penjuru,” katanya lagi.

Kumpulan ahli parlimen pro-Azmin itu sudahpun mengumumkan tidak akan menubuhkan parti baharu, seperti dinyatakan salah seorang penyokong kuatnya Zuraida Kamaruddin.

Bekas naib presiden PKR itu juga menyatakan kumpulan 11 orang ahli Parlimen itu masih belum menyertai Bersatu.

Bersatu dan Umno juga kini mempertimbang hala tuju baharu selepas bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah atas tujuh tuduhan berkait penyelewengan dana SRC International.

Najib dijatuhi hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta. Hukuman penjara diarahkan berjalan serentak selama 12 tahun dan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Ekoran itu, Umno mengumumkan tidak menyertai PN dan sebaliknya akan menumpukan kepada kerjasama dalam MN bersama PAS.

Bagaimanapun Umno yang mempunyai ramai menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Muhyiddin Yassin masih menyokong kerajaan PN.

Sumber Bersatu pula menyebut parti itu kini juga bersedia untuk menyertai MN yang mensasarkan sokongan di kawasan pengundi majoriti Melayu.

Mengulas keadaan itu, Nur Jazlan berkata beliau melihat Bersatu tidak stabil di peringkat akar umbi dan khuatir ia akan menjejaskan peluang MN memenangi pilihan raya seperti di Johor.

“Bersatu juga agak lemah di semua tempat di Johor. Kalau mereka nak kerusi, tapi tidak ada jentera dan calon yang baik untuk pastikan menang ... yang untung nanti Pakatan Harapan,” katanya.

Jelasnya agihan undi tidak boleh dibuat secara rambang kerana kelemahan Bersatu itu sukar meraih undi di Johor yang meliputi 55% pengundi Melayu dan 45% bukan Melayu.

“Kita tak mahu persefahaman MN disia-siakan Bersatu dan calon mereka, sebab itu pembahagian kerusi kena dibuat secara teliti, di setiap kawasan Parlimen dan DUN,” katanya.

Nur Jazlan juga berkata, Bersatu perlu menyelesikan krisis dalaman parti itu sebelum diterima menyertai MN.

“Bersatu parti yang baru ditubuhkan pada 2017, tidak ada rekod pencapaian dan terlalu bergantung kepada PKR dan DAP di bawah PH.

“Kepimpinan mereka pun masih penaja, mereka belum adakan pemilihan. Di peringkat bawahan perebutan jawatan di peringkat akar umbi berlaku, banyak pertembungan,”
katanya.

Tambah Nur Jazlan, masalah berkenaan akan menyebabkan calon mereka kecundang dalam pilihan raya.

“Ahli sedikit, penyokong sedikit, rebut jawatan ketua bahagian. Hendak masuk pilihan raya umum mereka juga bermasalah nak jadi calon.

“Luka-luka pemilihan ini akan di bawa ke pilihan raya umum,”
kata Nur Jazlan.

Oleh itu Bersatu perlu menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman parti tersebut sebelum menagih sokongan MN atau menguasai gabungan parti dalam PN.

“Kalau Bersatu sendiri tak dapat kukuhkan parti selepas tiga tahun dan mereka sekarang dalam kerajaan, tidak logik untuk PN nak ditubuh secara rasmi.

“Kita nak pastikan kita dapat penyelesaian politik supaya boleh menang kerusi maksimum,”
kata Nur Jazlan lagi. – 2 Ogos 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...