Namun, mereka berkata setakat ini tiada tanda perubahan dalam pendirian kerajaan berhubung hasrat penduduk Hong Kong yang mahu meninggalkan pulau itu ekoran bantahan anti-China yang berlarutan.
Rusuhan demi rusuhan, ditambah pula dengan taraf hidup yang semakin memburuk telah menambahkan lagi sebab penghijrahan di mana Malaysia menjadi antara destinasi pilihan.
Presiden Persatuan Ejen Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) Lim Kok Sai berkata permohonan penduduk Hong Kong yang mahu berhijrah ke Malaysia meningkat baru-baru ini.
“Saya secara peribadi sedikit risau Putrajaya akan lebih tegas terhadap pemohon dari Hong Kong atas sebab tidak mahu sentimen anti-China merebak di Malaysia, tetapi saya tak boleh nak kata apa yang kerajaan fikirkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau bagaimanapun berkata pemohon program MM2H telahpun disaring ketat, termasuk jika mempunyai rekod jenayah atau kes mahkamah yang masih berjalan.
Jelasnya, selain rekod yang bersih pemohon MM2H juga perlu stabil dari segi ekonomi walaupun kemahiran mereka tidak diambil kira.
Secara umum, pemohon MM2H berada dalam lingkungan mereka yang berumur 30-50 tahun dan kerajaan akan mengeluarkan permit untuk 10 tahun bagi pemohon yang layak, tetapi bukan taraf penduduk tetap.
Timbalan Pengerusi MM2H Kurt Tan berkata Malaysia menjadi destinasi pilihan penduduk Hong Kong atas faktor keselesaan hidup, persamaan makana dan budaya serta komunikasi kerana kedua-dua negara menggunakan Bahasa Inggeris dengan meluas.
Beliau juga berkata, pemohon perlu memohon dokumen kelakuan baik di konsulat Malaysia di Hong Kong untuk membuktikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah, yang kemudian akan disemak dengan polis tempatan.
“Proses ini mengambil masa dalam tempoh sebulan. Secara umumnya, mereka yang lulus akan diberi permit tinggal untuk 10 tahun yang boleh diperbaharui pada tahun kesembilan selagi tidak melanggar mana-mana undang-undang selama tinggal di sini,” kata Tan. - 26 Ogos 2019.