Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, tidak ada undang-undang khusus digubal mengenai Jalur Gemilang dan kaedah pemasangannya.
Susulan itu, Aziz mencadangkan kerajaan Persekutuan mengusulkan undang-undang baharu ke Parlimen kerana akta mengenainya didapati tidak khusus dan bercerai-cerai.
Akta yang dicadangkan jelasnya perlu dengan terperinci menjelaskan bentuk, warna dan cara memasang Jalur Gemilang termasuk menyenaraikan tindakan-tindakan yang dianggap menyalahi undang-undang.
“Perkara yang sama juga perlu dibuat untuk bendera negeri-negeri. Langkah sedemikian perlu bagi mengelakkan isu-isu remeh terus dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu serta menghentikan tindakan melampau,” katanya dipetik.
Komen itu dibuat beliau setelah menjadi mangsa kecaman berhubung kenyataan beliau yang disalahtafsirkan.
Naib Pengerusi DAP Perak itu sebelum ini digambarkan seolah-olah berkata ‘tidak menjadi kesalahan memasang Jalur Gemilang terbalik’.
“Saya kata apa kena mengena bendera terbalik (Jalur Gemilang) dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong? Saya juga tak suruh pun orang pasang bendera terbalik,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Aziz dilapor berkata, tiada undang-undang yang menyatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu kesalahan. - 26 Ogos 2019.