Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 13 Februari 2018

Main Atas Padang Pasir, FAS Kata Malu Nak Ulas Kenyataan MB Selangor.

Pengurus pasukan Red Giants, Datuk Abdul Rauf Ahmad berkata, beliau secara peribadi merasa malu terhadap kenyataan Mohamed Azmin semalam apabila membandingkan keadaan di Iraq yang tidak mempunyai padang bola sepak tetapi rakyat negara itu masih boleh bermain sukan berkenaan di padang pasir.

Tegasnya, kenyataan Mohamed Azmin itu seolah-olah tidak mencerminkan ke­pimpinannya yang baik sebagai Menteri Besar di negeri ini yang mana beliau sepatutnya mengambil serius terhadap tuntutan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menggunakan stadium berkenaan.

"Susah saya nak ulas me­ngenai kenyataan Menteri Besar (Mohamed Azmin) itu, nak ulas pun rasa malu kerana sikap yang ditunjukkannya itu solah-olah tidak matang.

“Sebagai Menteri Besar, beliau sepatutnya memikirkan mengenai pembangunan sukan bola sepak di negeri ini khususnya Red Giants yang selama ini terbukti mengharumkan nama Selangor.

"Bagi pemain Red Giants dan rakyat Selangor, Stadium Shah Alam merupakan 'stadium keramat' dan tempat jatuh bangunnya sukan bola sepak di Selangor lebih 20 tahun lalu,"
katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia pada semalam.


Laporan itu turut menyebut, Abdul Rauf yang juga Naib Presiden FAS mahu Mohamed Azmin tidak hanya pandai 'cakap belakang' semata-mata tetapi berani tampil mengadakan perbinca­ngan serta rundingan dengan Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal mengenai isu penggunaan stadium berkenaan.

Ini kerana katanya, pihaknya masih belum menerima apa-apa respon terkini daripada kerajaan negeri mengenai penggunaan stadium itu selepas permohonan FAS ditolak sebelum ini.

"Rakyat Selangor sama ada dalam kalangan kelab penyokong mahu pun orang persendirian mereka tetap berharap Red Giants dapat beraksi di Stadium Shah Alam,"
ujarnya.


Terdahulu Antarapos melaporkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipetik sebagai berkata, "Iraq itu tidak ada padang bola pun, boleh main dekat padang pasir," ketika diminta mengulas kenyataan FAS mengenai penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelangang rasmi Liga Malaysia 2018.

Bagaimanapun selepas menyindir, Azmin Ali berkata FAS boleh membincangkan perkara mengenai penggunaan stadium berkenaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri, Amirudin Shari.

Menteri Besar itu dilaporkan sedemikian selepas menghadiri Program Konven­syen Pengajian Bersijil Ke-17 di Hotel Concorde pada 10 Februari lepas. - 13 Februari 2018.
 

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...