Dongeng 1: Kota Damansara Dipinjamkan Kepada PKR
Pada tahun 2004 KD ditandingi PAS sambil Paya Jaras ditandingi PKR. Pada 2008, atas permintaan PAS Subang, maka Paya Jaras digantikan dengan KD. Maka PAS bertanding Paya Jaras dan KD ditandingi PKR. PAS kalah di Paya Jaras tetapi PKR, dengan Dr Nasir sebagai calonnya menang di Kota Damansara.
Pada tahun 1999, tiada kerusi Kota Damansara. Kota Damansara adalah kerusi baru hasil persempadanan baru yang dilakukan pada 2003 oleh BN. Seperti Parlimen Kota Raja, Dun Sri Andalas dan Dun Sri Muda. Maka bagaimana ianya dijadikan milik PAS?
Sepanjang 5 tahun sejak 2008, tidak pernah walaupun sekali isu KD ‘dipinjamkan’ kepada PKR disebut di BPPNS.Maka kata-kata Kota Damansara dipinjamkan kepada PKR dan KD adalah kerusi PAS adalah dongengan semata-mata.
Dongeng 2: PKR Tiada Calon di Kota Damansara
Hakikatnya PKR telah bersedia menurunkan calon lain sekiranya Dr Nasir tidak setuju untuk turun sebagai calon PKR. Saudara Radzlan Jalaluddin seorang peguam adalah calon yang akan diturunkan oleh PKR sekiranya Dr Nasir bertanding sebagai calon PSM. Calon PKR‘standby’ pun saya diberitahu sudah ada iaitu Ustaz Shamsul Firdaus.
PKR bersedia menghadapi 3 penjuru dengan PSM sekiranya perlu di Kota Damansara. Tetapi apabila Dr Nasir setuju untuk diturunkan sebagai calon PKR, maka PKR arah calon-calon mereka yang lain untuk menarik diri.
Maka cerita konon bahawa PKR tiada calon juga adalah dongeng semata-mata.
Dongeng 3: Dr Nasir Adalah Calon PSM
Hakikatnya Dr Nasir adalah calon PKR. Watiqah yang diguna adalah watiqah dari PKR. PKR turunkan beliau sebagai calon PKR. Tiada watiqah PSM dan bukan PSM yang ditentangi PAS. Bukan seperti di Semenyih.
Cuba buka mata sikit. Ada beza atau tidak Semenyih dan Kota Damansara? Di Semenyih Aru bertanding atas tiket PSM. PKR turunkan calon bertanding kerana tidak terima Aru sebagai calon PKR. Sedangkan kerusi Semenyih dipersetujui semua adalah milik PKR bukan milik PSM. Di KD kes Dr Nasir adalah sebaliknya. Hanya yang terus ingin menegakkan benang basah sahaja akan mengatakan tiada beza.
Dalam soal memilih calon, setiap parti berhak memilih calonnya sendiri atas alasan tersendiri. Ahli PAS KD perlu ingat, pada 2008, PAS meletakkan Ibrahim Ali di Pasir Mas! Ibrahim Ali bukan ahli PAS pun! Itu adalah atas maslahah PAS Kelantan. PAS Kelantan mencapai kemenangan besar, dari majoriti 1 kerusi pada 2004 kepada majoriti 2/3 pada tahun 2008. PAS mendapat 39 dari 45 kerusi pada tahun 2008! Strategi meletakkan Ibrahim mungkin telah menyumbang sedikit sebanyak kepada kemenangan itu.
Maka cerita penglipur lara bahawa Dr Nasir adalah calon PSM dan bukan PKR juga merupakan dongeng semata-mata.
Dongeng 4: PAS KD Tolak Dr Nasir Kerana beliau Sosialis
Dr Nasir seorang Sosialis sejak dahulu. Beliau bersama Dr Syed Hussin dalam PSRM dan apabila PSRM bercantum dengan Keadilan sehingga Keadilan pun menambah ‘rakyat’ dalam nama ‘PKR’ dan menambahkan jalur merah pada logonya, Dr Nasir tidak ikut sama. Sebaliknya Dr Nasir berusaha menubuhkan PSM.
Namun pada 2008 beliau diturunkan sebagai calon PKR di Kota Damansara. Begitu juga Arul yang bekas ahli PSRM juga diturunkan di Semenyih. Pada ketika itu PAS terima dan tidak membantah.
Kalau mahu tolak Dr Nasir kerana dia Sosialis, sepatutnya ianya dibuat sejak 2008 kerana semua tahu beliau Sosialis pada ketika itu lagi. Bukan baru beliau isyhtihar bahawa beliau Sosialis.
Lagipun telah diakui bahawa PKR dan DAP berbeza fahaman politik dengan PAS. Kalau PAS tolak Sosialis kerana bercanggah dengan Islam, bagaimana pula dengan fahaman liberal demokrat dan sosial demokrat yang dibawa PKR dan DAP? Dan bukankah ini sebabnya ada ‘tahalluf’ iaitu kerjasama dengan yang tidak sama fahaman politik dengan PAS. Dan bukankah ini sesuai dengan ayat 61 Surah Al-Anfal yang bermaksud;
“Dan kalau mereka telah condong kepada perdamaian, hendaklah kamu condong juga kepadanya (perdamaian), dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui”.
Masalah ini sepatutnya tidak timbul lagi kerana ianya telahpun diputuskan bersama pada 2008 bahawa sekiranya Dr Nasir guna lambang PKR maka tiada masalah.
Soal Syed Hussein Ali bertanding di Kelantan dan ditolak oleh PAS Kelantan adalah atas perkiraan lain. Masyarakat Kelantan tidak bersedia menerima Syed Hussein Ali sebagai calon. Faktor ‘winnability’ dalam suasana saingan sengit perlu diambil kira. Tapi di Kota Damansara, terbukti Dr Nasir boleh menang. Ini telah terbukti pada 2008.
Maka dengan itu alasan PAS KD tolak Dr Nasir kerana beliau Sosialis juga adalah alasan dongeng yang telah direka cipta.
Dongeng 5: Dr Nasir Sebagai ADUN Banyak Menimbulkan Masalah
Ada yang mengatakan bermacam-macam perkara berhubung tindakan Dr Nasir sebagai ADUN. Masalah itu dan ini. Kononnya susah untuk dapat peruntukan untuk program dan sebagainya. Saya jawab dengan mendedahkan satu fakta sahaja untuk menyanggah ini semua.
Sepanjang 5 tahun tiada sebarang aduan terhadap Dr Nasir yang dikemukakan dalam mesyuarat BPPNS. Kalau ada pun, isu biasa yang melibatkan semua ADUN yang bukan PAS yang dihadapi oleh ahli PAS. Biasalah tu, mereka pun sibuk membuat program sendiri dan PAS pun dengan programnya. Sepatutnya kerja rapat. Program PKR/DAP program PAS, program PAS program mereka juga kerana semua untuk bertemu dengan rakyat jelata yang merupakan pengundi PR bersama.
Pada masa yang sama ramai juga ahli PAS jadi Nazir Masjid, AJK Masjid, Ketua Kampung, JKK, Ahli Majlis dan sebagainya. Tiada pula Dr Nasir menhalang fahaman Islam dari disebarkan dan fahaman Sosialisma diajar di Masjid dan Surau!
Amatlah menghairankan kenapa tiba-tiba apabila sudah dekat dengan PRU baru isu ini timbul. Semasa membincangkan soal siapa calon untuk Paya Jaras, di mana pimpinan Selangor bertemu pimpinan PAS Subang berkali-kali, termasuk selepas pembubaran Parlimen, tiada walau satu ayat pun dikeluarkan berhubung KD!
Maka bagi saya, sebagai pimpinan PAS Negeri Selangor, alasan Dr Nasir banyak menimbulkan masalah adalah dongeng ke 5.
Dongeng 6: Bertanding di KD adalah Keputusan Majlis Syura!
Saya malas hendak jawab. Saya nasihat penghujjah jangan menipu. Walaupun kita tahu “peperangan itu adalah tipu-helah” janganlah guna hadis itu sebagai alasan untuk menipu ahli dan rakyat. Saya bukan berperang dengan saudara-saudara. Saya hanya ingin menegur kesilapan yang telah dilakukan. Jangan menipu. Jatuh imej tuan-tuan semua; lebih-lebih lagi yang bergelar Ustaz.
Sebenarnya, jika benar ikhlas, alasan tidak perlu bertukar-tukar dan berbagai jenis. Tidak perlu ditokok tambah dengan macam-macam cerita penglipulara. Cakap je, “Dia Sosialis”. Atau “dia susah nak kerjasama”. Atau “kerusi dipinjam”. Atau “PKR tiada calon”. Pilih sahaja satu dan hujjah berasaskan yang itu. Ini tidak. Alasan berbagai dan beraneka bentuk dan banyak darinya yang dongeng belaka. Itu adalah bukti alasannya adalah alasan semata-mata.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD