Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 27 Februari 2020

Intipati Pakej Rangsangan Ekonomi Bagi Menanggani Virus Covid-19

POLITIK | Sebentar tadi Perdana Menteri Interim, Tun Mahathir Mohammad mengumumkan lapan langkah bagi membantu negara menghadapi kesan penularan wabak 
Wuhan.



Langkah yang dinamakan sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi Menanggani Virus Covid-19 itu dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM20b.

Berikut adalah lapan langkah tersebut;

1) Bayaran one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas pesiaran, pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar.

2) Elaun khas RM400 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam menangani wabak Covid-19.

3) Bayaran RM200 untuk kakitangan imigresen dan kakitangan barisan hadapan yang terlibat dalam membendung Covid-19 dari Februari 2020 sehingga wabak berkenaan berakhir.

4) Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sepatutnya diberikan pada Mei 2020 akan diawalkan iaitu pada Mac 2020.

5) Tambahan RM100 kepada setiap penerima BHS akan dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.

6) Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan dalam negeri.

7) Baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen

8) Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada 7 peratus berkuat kuasa sehingga akhir tahun. - 27 Februari 2020.

Surat Terbuka Dari Husam Untuk Tun Mahathir.

Husam Musa | MALAYSIA TIDAK BOLEH BERGANTUNG KEPADA PEMIMPIN TUNGGAL DEMI MASA DEPANNYA

YAB Tun,

“(Nabi) Muhammad itu tidak lain hanya se orang Rasul. Sebelumnya telah ada Rasul-Rasul yang lain.


Jika sekiranya Baginda meninggal atau dibunuh, adakah kamu semua akan berpaling semula ke belakang (meninggalkan ajarannya)?’ Al Imran : 144.

Firman Allah ini mengingatkan kita bahawa, dalam soal agama sekali pun, Rasul yang diutuskan tidak akan kekal bersama pengikut mereka.

Nabi-Nabi lagi dimatikan, tetapi kehidupan beragama berjalan terus. Kitab-kitab sebagai pedoman adalah lebih kekal dan bertahan lebih lama dari kehidupan para Rasul.

Begitu juga lah dengan para pemimpin.

Sekali pun Tun memang se orang pemimpin yang hebat, satu hari Tun akan pergi dan Malaysia perlu meneruskan perjalanan dengan pemimpin yang lain pula.

Bah kan, Nabi Muhammad s.a.w dimatikan dalam usia yang relatif masih muda – 63 tahun. Apabila misinya membawa ajaran Allah telah selesai, baginda dipanggil maut.

Tun hidup jauh lebih lama dari Nabi Muhammad s.a.w. Namun, tidak bermakna Malaysia sentiasa selamanya perlu bergantung kepada Tun.

Jalan kestabilan dan masa depan Malaysia terletak kepada pertukaran kepimpinan.

Oleh itu, menjadi salah satu tugas Tun, meletakkan asas pertukaran kepimpinan negara dalam keadaan teratur dan licin.

Bukan hanya memikirkan Tun mesti memegang kuasa untuk selama-lamanya.

Tun perlu menyediakan pelan peralihan kuasa itu jika benar Tun sayangkan Malaysia dan tidak memikirkan kepentingan Tun sendiri semata-mata.

Bahkan, ini adalah yang paling penting demi kelangsungan kestabilan dan kemajuan negara ini, lebih-lebih lagi dalam usia Tun sekarang.

Tun,

Untuk tujuan memantau kepimpinan baru yang diletakkan demi negara itu, Tun boleh masuk semula ke dalam kabinet sebagai Menteri Kanan seperti mana langkah Lee Kuan Yew dalam menyusun Singapura selepasnya.

Semasa itu, Tun boleh membetulkan apa yang difikirkan perlu dibetulkan.

Jika ia dilakukan sekarang, Tun boleh hadhir mewakili Kerajaan Malaysia dan negara di sidang Apec sebagai pemimpin yang benar-benar ulung, berkorban untuk negara, serta meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan dan sentimen peribadi.

Tun adalah Pemimpin Agung, bagi pandangan kami – jika berlaku demikian.

Tun,

Mengenai cadangan Tun untuk melantik anggota kabinet merentasi parti-parti dan tidak tertakluk kepada Parti Menguasai Kerajaan, ada beberapa perkara yang menjadi persoalan.

Maafkan saya untuk menyentuh perkara ini.

a. Tun tidak pernah membincangkan perkara ini terlebih dahulu dengan mana-mana pihak. 

Ia hanya muncul secara mendadak selepas Tun dilantik oleh YDPA sebagai PM

Interim hasil perletakan jawatan oleh Tun sendiri.

b. Lantaran itu, timbul kebimbangan besar bahawa sistem baru yang dicadangkan oleh Tun ini akan mengubah amalan sistem demokrasi ala Westminster sekarang kepada pemusatan kuasa hanya kepada se orang individu berjawatan Perdana Menteri.

Sistem semak dan imbang tidak lagi boleh berfungsi dengan baik.

Kuasa akan berpusat kepada se orang insan bernama Tun Dr Mahathir Mohamad, pada hari ini dan esok - kepada siapa kita belum tahu.

Jika beliau melantik pemimpin baik dan jujur, negara beruntung. Jika beliau melantik orang tertentu yang rapat dengannya, atau kitaran semula, atau mempunyai agenda tersembunyi, negara akan menjadi lebih parah.

Pemusatan kuasa kepada seseorang, adalah cenderung menjadi tidak baik. Negara seperti cacat, sentiasa perlukan pemimpin tunggal. Pemimpin tunggal pula akan cenderung berlaku salah kerana kuasa yang terlalu besar itu.

Saya tidak katakan ia sebuah kerajaan diktator dengan makna yang luas, tetapi ia cenderung ke arah itu.

Kabinet akan hanya menjadi rubber stamp Pemimpin Tunggal itu.

c. Ada juga yang bertanya, semasa YB Mazlee mengosongkan jawatannya baru ini, kenapa peluang itu tidak digunakan untuk membuat lantikan seperti konsep yang dikemukakan oleh Tun.

Tun,

Saya harus mengingatkan Tun kepada kemungkinan kemunculan semula ke tapak kuasa, kepimpinan kleptokrat yang telah kita bersama tumbangkan.

Tun lah, secara fakta dan sentimental, menjadi salah satu factor terpenting dalam kejayaan rakyat negara ini memerdekakan Malaysia dari cengkaman amalan kleptokrat terdahsyat dalam PRU lalu.

Tanpa Tun, ia tidak terhasil.

Jangan pula kerana kesilapan langkah Tun di akhir usia, mereka kembali berkuasa. Baik melalui penyusunan politik yang Tun lakukan sekarang, mahu pun dalam PRU yang akan datang kerana ketiadaan susunan parti-parti yang sama perjuangan dengan Tun dalam memerangi kleptokrat ini.

UMNO dengan bilangan ahli Parlimennya yang besar, boleh sahaja menelan Parti Bersatu jika ia diberi ruang.

Sementara Pas, adalah rakan kumpulan kleptokrat sejak asal.

Ruang berkerajaan kepada Pas akhirnya akan menyebelahi kleptokrat.

Dalam hal ini, saya menyeru Tun mengembailkan Bersatu ke dalam PH.

PH, saya lihat, masih terbuka.

Bila dimaklumkan Tun telah meletakkan jawatan kerana ditekan oleh pemimpin Bersatu sendiri dalam mesyuarat Bersatu pada 21 Feb lalu, kami semua menitiskan air mata.

Kak Wan menangis di depan Tun. Sama seperti Mat Sabu. Lim Guan Eng menggeletar. Tun telah saksikan sendiri.

Ini semua tanda cinta kami kepada Tun atas nama kestabilan negara Malaysia.

Kami masih akan memberi ruang kepada Tun dan pasukan. Bahkan, saya tidak ragu-ragu untuk secara terbuka membuat cadangan kepada pimpinan PH untuk melantik YAB Mukriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan pimpinan DSAI.

Dengan itu, kerajaan Negeri Kedah dan negeri-negeri yang lain akan dapat diselamatkan.

Satu kemaslahatan yang lebih luas, yang Tun perlu timbangkan.

Tun,

Peristiwa-peristiwa misteri berlaku hampir serentak pada Ahad, 21 hb lepas.

Kesemuanya menuju kepada gangguan susunan pemerentahan negara.

Esoknya, pasaran saham, sebagai salah satu petanda kesan Gerakan Sheraton, jatuh teruk.

Ekonomi negara dan nasib sebahagian rakyat menjadi pertaruhan.

Tun mesti bertindak ke atas pensabotaj ini. Tun mesti menjauhkan diri dari mereka sebagai tanda Tun tidak merestui tindakan mereka.

Jangan pula Tun dilihat sebagai dalang di sebalik tindakan mereka.

Memang benar Tun telah menyatakan sebab Tun meletakkan jawatan sebagai PM adalah kerana menolak agenda Gerakan Sheraton secara keseluruhan, termasuk dari parti Tun sendiri – tetapi atas nama kepentingan negara, itu belum cukup.

Sesuatu tindakan yang tegas ke atas mereka adalah diperlukan.

Apa lagi untuk Tun memasukkan mereka semula dalam kerajaan atas apa jua nama.

Ia akan menjadikan prinsip Rakyat Malaysia yang seharusnya menolak sebarang bentuk pengkhianatan akan dipermainkan.

Ia mendidik rakyat kita menjadi tidak berprinsip dan ini buruk untuk negara dalam jangka panjang.

Pengkhiantan adalah pengkhianatan.

Tun – you sould be above all this things.

Akhir kata, kemelut ini perlu ditamatkan cepat demi Negara.

12.25 tengah hari
27 Februari 2020

Rabu, 26 Februari 2020

10 Ahli Parlimen Tidak Mengundi Calon Perdana Menteri, Undi Rosak Ke?

Mohd Sayuti Omar | KEADAAN TERUS KRITIKAL?

KEPUTUSAN hasil daripada temuduga (pengundian) dari kalangan 221 ahli parlimen yang berlangsung selama dua hari berturut-turut di Istana Negara sudah pun selesai dan diketahui. Yang diPertuan Agong telah pun memperolehi keputusan. Esok Yang diPertuan Agong akan membuat tindakan selanjut berdasarkan keputusan tersebut.




Daripada analis keputusan itu, dengan berasaskan kepada beberapa pergerakan politik sebaik pengundian itu selesai, ia memberi petanda tidak ada mana-mana pihak yang mendapat simple majoriti 1(12) untuk membolehkan bentuk kerajaan.


Anwar Ibrahim sebelum mengadakan sidang akhbar lewat petang tadi menjelaskan soal angka sudah tidak relevan lagi dan begitu juga dengan kenyataan-kenyataan berkaitan yang dibuat oleh berbagai pihak selepas itu. Kenyataan Anwar itu cukup saya fahami.

Sikap Anwar itu menjelaskan beliau tidak mendapat undi secukupnya untuk diberi peluang membentuk kerajaan.

Begitu juga apabila Mahathir Mohamad membuat perutusan khas menerusi RTM berupa rayuan dan pujukan, memohon maaf kepada rakyat atas apa yang berlaku, menunjukkan beliau juga tidak mendapat angka yang cukup. Menerusi perutusan khas penuh apologetik itu dima-diam beliau masih berhajat untuk jadi perdana menteri.

BN dan Pas petang semalam lagi sudah menyedari yang mereka tidak mempunyai harapan untuk tubuh kerajaan kerana masalah angka tidak cukup. Sebab itu mereka membuat keputusan meminta agar parlimen dibubarkan. Serentak itu juga BN - Pas menarik sokongan kepada Dr Mahathir.

Dari analisis saya Anwar mendapat sokongan 92 undi, manakala Mahathir 58 dan BN-Pas pula 61 undi. Anwar mendapat undi solid daripada parti-parti PH. Mahathir yang sepatut memperolehi 64 undi mendapat 58 undi sahaja ini bermakna 6 undi tidak mengundinya. Angka inu agak memalukan beliau dan kerana angka inilah beliau membuat perutusan khas.

BN dan Pas yang sepatutnya mendapat undi penuh 63, kurang 2 undi. Ertinya ada dua ahli parlimen dari kumpulan itu tidak menyokong mereka.

Dari 221 yang berhak mengundi, difahamkan terdapat 10 yang tidak mengundi. Apakah mereka ini berkecuali atau undinya rosak?

Dari segi peratusan dan jumlah undi tertinggi berpihak kepada PH, ini bermakna Anwar layak diisytiharkan menang. PH memerlukan 20 undi untuk mendapat majoriti mudah, 112.

Yang diPertuan Agong boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberi kepada mana-mana kumpulan membentuk kerajaan. Bagaimana pun berdasarkan kedudukan itu, besar kemungkinan baginda boleh memilih untuk membubarkan parlimen.

Apa menyebabkan Mahathir maupun Anwar tidak cukup undi adalah kerana perbalahan sesama sendiri. Padan muka. Dan kerajaan PH yang lenyap itu boleh dibangunkan kembali sekiranya Anwar dan Mahathir sedia untuk duduk bersama. Trims. - 26 Februari 2020.

MCA Sokong Bubar Parlimen Tapi Akan Hormati Mandat Agong.

Wee Ka Siong | Seperti yang diketahui umum, semua Ahli Parlimen BN telah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam dan mempersembahkan hasrat untuk membubarkan Parlimen. Apa-apa keputusan, biarlah ditentukan oleh YDP Agong.

Ahli-Ahli Parlimen GPS, PAS, Warisan, PKR, PPBM, PAN dan DAP turut diundang ke Istana Negara dan setiap Ahli Parlimen ditemuramah secara berasingan oleh YDP Agong pada semalam dan hari ini.

Seperti yang saya nyatakan dalam sidang media di PWTC semalam, biarlah rakyat menentukan atau memberi mandat kepada sesiapa yang diyakini mampu untuk mengemudi negara yang terumbang-ambing selepas kegagalan pentadbiran serta tumbangnya PH angkara perbuatan mereka sendiri.

Keputusan yang saya ambil ini juga selari dengan hasil Mesyuarat Majlis Presiden MCA, beberapa jam sebelum saya mengadap YDP Agong iaitu, sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan kepada rakyat bagi menentukan siapa pucuk pimpinan negara menerusi pembubaran Parlimen.

Namun kami yakin, apa jua keputusan yang bakal dititahkan oleh YDP Agong, ia wajar dipatuhi oleh semua rakyat dan pastinya keputusan itu dibuat demi kepentingan negara secara menyeluruh.

Mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan, bagi saya ia tidak menjamin kepada kesuburan demokrasi yang telah kita praktikkan sejak sekian lama serta ia juga berupaya melenyapkan proses semak dan imbang terhadap kerajaan pemerintah.

 


Saya tidak bersetuju sistem Westminster yang sekian lama dilaksanakan di negara kita berubah menjadi sistem Presiden sesebuah republik yang mempunyai kuasa mutlak untuk melantik individu menyertai Jemaah Menteri tanpa melalui parti komponen.

Saya enggan melihat sistem demokrasi di Malaysia berkembang sehingga tiada lagi peranan pembangkang apabila PM disokong penuh oleh kesemua 222 orang Ahli Parlimen. Apakah ini sebuah demokrasi subur yang kita mahu lihat?

Apabila PM disokong oleh semua Ahli Parlimen, maka kuasa mutlak diberi kepada PM untuk membuat apa saja dengan slogan “ikut suka saya”. Maka, saya lebih rela menjadi pembangkang untuk memberi “semak dan imbang” kepada Kerajaan.

Sepanjang tempoh peralihan ini, berilah ruang sewajarnya kepada semua pihak agar proses ini dapat berjalan dengan tertib, tenang dan lancar tanpa sebarang kekacauan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam. - 26 Februari 2020.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...