Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.
Memaparkan catatan dengan label khairy jamaluddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label khairy jamaluddin. Papar semua catatan

Khamis, 23 Mei 2019

Pelabur Luar Bosan Dan Hilang Percaya Pada Pakatan Harapan..

KHAIRY JAMALUDDIN | Keadaan Ekonomi Negara

Selepas memberikan gelaran ‘sore loser’ serta ‘world's worst major stock market’ kepada Malaysia, Bloomberg sekali lagi telah mengeluarkan laporan tentang kedudukan kewangan dan ekonomi Malaysia. Laporan kali ini adalah tentang bagaimana pelabur luar negara telah berasa bosan dan semakin hilang kepercayaan kepada pasaran pelaburan Malaysia.


Sememangnya apa yang dinyatakan Bloomberg ini ada asasnya. Pasaran saham Malaysia berterusan mencatatkan aliran keluar dana untuk tempoh setahun yang lalu, Ringgit Malaysia juga dalam trend menurun, jumlah defisit dan hutang negara masih terus meningkat. Kenyataan “BN turun, Ringgit naik” msih belum menjadi realiti, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

Bagi tempoh Januari 2019 sehingga ke hari ini, jumlah aliran keluar bersih dana pelaburan asing sudah melebihi RM2.5 bilion. Jika sebelum PRU-14, indeks Bursa Malaysia berada pada paras 1,846 mata, kini ianya telah menurun kepada hanya 1,599 mata. Pada tahun 2019 ini sahaja, indeks Bursa Malaysia telah menurun sebanyak 5%.

Dan seringkali juga alasan yang sama terus digunakan kerajaan dalam memberikan justifikasi kepada perkara ini; pertamanya adalah kerana faktor global dan keduanya iaitu yang paling popular “ini semua salah kerajaan terdahulu”.

Memang diakui faktor luaran seperti perang dagang antara Amerika Syarikat dan China turut memberi kesan kepada keadaan ekonomi dan kewangan negara. Tetapi untuk menyatakan perang dagang semata-mata sebagai punca kejatuhan Ringgit adalah tidak betul. Menyalahkan Presiden Trump seperti mana yang dilakukan Perdana Menteri baru-baru ini juga kurang tepat.

Sebagai contoh, melihatkan prestasi Ringgit berbanding matawang utama negara ASEAN yang lain, Ringgit telah susut sebanyak 5.25% pada hari ini jika dibandingkan pada Mei 2018. Angka ini adalah jauh lebih buruk buruk jika dibandingkan dengan Rupiah Indonesia (-3.18%) dan Dollar Singapura (-2.35%). Malahan matawang Baht Thailand dan Peso Filipina pada hari ini adalah lebih tinggi berbanding Mei tahun lalu.

Apa yang terjadi pada hari ini bukanlah kerana kejutan pasaran yang bersifat sementara, sebaliknya telah berlarutan selama satu tahun. Kerajaan hari ini dilihat gagal menyediakan penampan yang kukuh untuk mengembalikan kepercayaan kepada pelabur. Pelan jangka masa panjang ekonomi untuk negara juga masih lagi samar. Kedua-dua ini sekaligus menyebabkan pelabur tidak melihat masa depan yang menarik untuk membuat pelaburan di Malaysia.

Perkara ini tidak boleh lagi dilihat dari sudut pandang politik. Apa yang terjadi terhadap kedudukan Ringgit, pasaran saham serta keyakinan pelabur pada hari ini memerlukan tindakan kritikal daripada pihak kerajaan. Naratif “ini semua salah BN” mungkin boleh memenangi undi, tetapi ini bukan perkara yang hendak didengari oleh pelabur, lagi pun pilihan raya masih lambat lagi. Sudah tiba masa kerajaan tetapkan hala tuju yang jelas terhadap masa depan negara.

Sabtu, 27 April 2019

Kenakan Tindakan Pada Bank Enggan Lulus Pinjaman, KJ Kata LGE Pentingkan Pemaju Rumah Mewah..

KHAIRY JAMALUDDIN | Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam ucapannya ketika merasmikan Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia (HOC-MAPEX) hari ini menyatakan bahawa pihak kementeriannya Bersama-sama Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana bank yang menolak permohonan pinjaman perumahan tanpa asas-asas yang kukuh.


Kenyataan ini sebenarnya menunjukkan bahawa Menteri Kewangan gagal memahami masalah utama yang menyebabkan sesuatu permohonan pinjaman perumahan ditolak.

Pinjaman perumahan merupakan salah satu perniagaan utama bagi setiap bank komersial. Jarang sekali bank akan menolak mana-mana permohonan pinjaman sekiranya syarat asas pinjaman telah dan dapat dipenuhi oleh pemohon.Walau bagaimanapun, sebagai sebuah entiti perniagaan, bank komersial sudah tentu tidak mahu mengambil risiko untuk memberikan pinjaman kepada mana-mana pihak yang dirasakan tidak mampu membuat bayaran balik dan memenuhi komitmen pinjaman yang dibuat.

Persoalan besar tentang pemilikan rumah di neagra ini bukanlah kerana kesukaran mendapatkan pinjaman sebaliknya adalah harga rumah yang dijual adalah terlalu mahal dan di luar kemampuan rakyat.

Khazanah Research Institute (KRI) dalam kertas kerja kajian terbaru mereka bertajuk Rethinking Housing: Between State, Market and Society telah menyatakan bahawa tahap kemampuan untuk memiliki rumah terus merosot untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Antara punca berlakunya perkara ini adalah kerana rumah-rumah yang dijual adalah sangat tidak boleh dibeli akibat ketidakmampuan yang serius.

Kajian oleh KRI ini juga adalah seiring dengan laporan bertajuk “Rumah Mampu Milik: Cabaran Dan Penyelesaian” yang dikeluarkan oleh BNM pada tahun lalu yang menjelaskan harga rumah di Malaysia adalah lima kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan serta harga median rumah di Malaysia iaitu RM313,000 adalah lebih mahal berbanding harga maksimum mampu milik iaitu sebanyak RM282,000.

Kenyataan yang dibuat Menteri Kewangan ini dilihat hanya meletakkan kesalahan kepada pihak pemberi pinjaman iaitu bank tetapi pada masa yang sama menafikan realiti bahawa pemaju perumahan gagal memenuhi kehendak serta kemampuan rakyat apabila membina lebih banyak rumah mewah yang mahal berbanding rumah mampu milik.

Sebelum ini juga Menteri Kewangan telah melancarkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang menyaksikan kerajaan memperkenalkan insentif pengecualian duti setem ke atas pembelian rumah yang berharga RM300 ribu sehingga RM2.5 juta. Walaupun kononnya untuk membantu rakyat untuk memiliki rumah, kempen HOC ini dilihat hanyalah sebagai talian hayat kepada pihak pemaju untuk menjual unit yang tidak terjual.

Kenyataan terbaru Menteri Kewangan ini sekali lagi melihatkan sikapnya yang sangat ‘mesra pemaju’. Sepatutnya, Menteri Kewangan perlu mengawal tindakan pihak pemaju yang berterusan membina rumah ‘mampu berangan’ atau ‘mampu tengok’, bukannya menjadikan bank sebagai 'scapegoat' untuk dipersalahkan tetapi pada masa yang sama berterusan memberikan talian hayat kepada pihak pemaju ini.

https://www.freemalaysiatoday.com/…/kerajaan-bnm-akan-long…/

Selasa, 5 Mac 2019

Dibawah PH Kerugian KHAZANAH 7775% Lebih Tinggi Dari Kerugian RM80j Syarikat Baju Dalam..

KHAIRY JAMALUDDIN | Khazanah Nasional Berhad, syarikat pelaburan kerajaan mencatatkan kerugian RM6.3 bilion untuk tahun 2018. Ini adalah kerugian pertama yang dicatatkan oleh Khazanah untuk tempoh 10 tahun. Pada tahun 2017, Khazanah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.9 bilion.



Perkara ini bukanlah mengejutkan kerana sepanjang tahun 2018, saham-saham syarikat utama milik Khazanah menyaksikan kemerosotan yang sangat ketara yang akhirnya memberikan pulangan dividen negatif kepada Khazanah.

Sebagai contoh, Saham TM dari RM5.00 sebelum PRU jatuh kepada RM3.09 semalam, pernah jatuh ke tahap RM2.15 pada 26 Oktober 2018. Saham CIMB pernah jatuh dari RM6.90 sebelum PRU-14 kepada RM5.30 selepas PRU-14. Saham Axiata juga pernah jatuh dari RM5.49 kepada RM3.25. Dengan kata lain, hampir semua portfolio utama pelaburan Khazanah tidak memberi apa-apa pulangan positif.

Walaupun berlaku kenaikan harga saham selepas beberapa bulan, namun hakikatnya keadaan ketika ini masih lagi buruk berbanding sebelum PRU-14. Ditambah dengan pelbagai keputusan flip-flop dan u-turn kerajaan PH yang akhirnya menyebabkan ketidaktentuan sentimen pelabur memberi kesan kepada Khazanah.

Untuk rekod, sepanjang 10 tahun yang lalu, Khazanah telah berjaya meningkatkan jumlah aset daripada RM34 bilion kepada lebih RM115.6 bilion. Namun individu-individu penting yang membawa kejayaan kepada Khazanah yang diketuai oleh Tan Sri Azman Mokhtar telah ditukar kepada kepimpinan baru pasca PRU-14.

Sehingga kini kerajaan PH masih belum lagi menunjukkan apa-apa pelan konkrit dalam membawa ekonomi Malaysia. Yang kita dengar berulangkali adalah hasilkan kereta terbang yang sekejap bukan untuk dijual sekejap untuk pertanian. Yang kita dengar kerajaan nak menganjurkan semula perlumbaan F1. Tiada langsung halatuju ekonomi yang jelas.

Rakyat Malaysia masih belum lupa bagaimana Azmin Ali sebelum ini mencanang seantero dunia tentang kegagalan pelaburan kecil Khazanah dalam syarikat baju dalam wanita berjumlah RM80 juta. Nah kerugian Khazanah pada tahun lalu adalah 7775% lebih tinggi daripada kerugian RM80 juta tersebut. - 5 Mac 2019.

Khamis, 28 Februari 2019

KJ Persoalkan Tommy Thomas, Papa Gomo Cakap 'Ko Bodoh' Didakwa, Siti Kasim Mencarut Dibebaskan Pula..

Khairy Jamaluddin | Hari ini Papagomo telah didakwa atas insiden yang berlaku ketika hari penamaan calon PRK Semenyih. Terdapat dua pertuduhan yang dihadapkan ke atas Papagomo iaitu pertama; mendatangkan kecederaan dan kedua; mengaibkan kehormatan kerana menyebut "ko bodoh" kepada Syed Saddiq.




 
Bagi pertuduhan menyebut "ko bodoh", Papagomo didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bercakap tentang Seksyen 509 ini, beberapa minggu lalu iaitu pada 11 Februari 2019, Jabatan Peguam Negara telah membatalkan arahan untuk mendakwa Siti Kassim di bawah seksyen yang sama atas kesalahan menunjukkan isyarat lucah jari tengah kepada seorang penonton di sebuah forum pada dua tahun yang lalu.

Perbuatan yang dilakukan oleh Siti Kassim pada dua tahun lalu tersebut telah berjaya dirakam dalam bentuk video dan gambar. Bermakna terdapat asas untuk kesnya dibawa kepada perbicaraan mahkamah namun akhirnya atas arahan Jabatan Peguam Negara, kes tersebut digugurkan.

Kes Papagomo dan kes Siti Kassim kedua-duanya atas asas dan kesalahan di bawah seksyen yang sama. Tetapi yang menghairankan kes Papagomo dibawa ke mahkamah tetapi kes Siti Kassim digugurkan. Saya tidak mempertahankan tindakan Papahomo. Tapi saya nak tahu kenapa tindakan Peguam Negara tidak konsisten.

Kenapa ada double standard antara dua individu ini? Peguam Negara bukan sahaja perlu bertindak adil malah perlu dilihat adil. Perkembangan ini akan melihatkan terdapatnya unsur selective presecution atau pendakwaan terpilih oleh Jabatan Peguam Negara.

Perkara ini jika berlarutan akan menyebabkan rakyat terus hilang kepercayaan dan pastinya akan memberi imej buruk kepada sistem undang-undang di Malaysia. - 28 Februari 2019.

Rabu, 20 Februari 2019

Kewangan Tenat Tapi Umum Pula Bantuan Sara Hidup Bujang RM100 Ketika Semenyih Kini PRK..

Khairy Jamaluddin | Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pemberian Bantuan Sara Hidup (BaSaH) kepada golongan bujang akan dikembalikan seperti mana pemberian BR1M kategori bujang berjumlah RM450 ketika pentadbiran kerajaan BN dahulu. Buat permulaan, jumlah BaSaH kategori bujang ini adalah RM100 dan akan dibuat suatu kajian untuk menentukan jumlah yang sepatutnya.


Kita memang tahu kerajaan PH adalah kerajaan ujikaji, kerajaan eksperimen atau kerajaan masih dalam kajian, tetapi bagi bantuan BR1M kategori bujang ini, ianya telah terbukti membantu mereka yang memerlukan sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2013.

Tidak perlu lagi membazir masa atau sumber untuk membuat kajian baru. Tan Sri Muhyiddin, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan sendiri pastinya lebih tahu tentang perkara ini kerana beliau sendiri pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani kenaikan kos sara hidup pada tahun 2014 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri. Jadi rasanya tidak perlu lagi dibuat kajian tentang perkara ini.

Kerajaan PH tidak perlu berbohong lagi kononnya kedudukan kewangan negara dalam keadaan kritikal. Jika lihat peruntukan Belanjawan 2019 berjumlah RM316.55 bilion, jumlahnya adalah jauh lebih besar dari peruntukan tahun 2018 yang dibuat oleh BN iaitu RM282.25 bilion.

Anggaran hasil negara bagi tahun 2019 juga, sekalipun jika tidak mengambil kira RM30 bilion dividen khas Petronas adalah hampir sama dengan kutipan pada tahun 2018 iaitu sekitar RM230 bilion.

Jadi tidak timbul langsung kerajaan tiada duit. Lagipun, sampai bila kerajaan PH nak guna alasan yang sama? Rakyat pun dah bosan.

Kembalikan bantuan RM450 untuk golongan bujang sekarang! - 20 Februari 2019.

Sabtu, 29 Disember 2018

Dulu BRIM Dedak Tapi Sekarang..

KHAIRY JAMALUDDIN | Dedak BaSaH
Menteri Kewangan mengumumkan bahawa BR1M atau nama Malaysia Baharunya, Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dipercepatkan agihannya iaitu pada 28 Januari 2019 berbanding cadangan awal selepas Tahun Baru Cina pada bulan Februari.

Sebelum PRU-14, pemimpin Pakatan Harapan berulangkali menyatakan bahawa BR1M adalah rasuah, sogokan dan ada sehingga menggelar bantuan kepada rakyat ini sebagai dedak. Perdana Menteri juga pernah menyatakan bahawa BR1M adalah ‘polisi malas’ kerajaan terdahulu sebab kononnya tidak menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.


Selepas menjadi kerajaan, BR1M yang telah sedikit sebanyak membantu rakyat ini diangkat semula oleh Pakatan Harapan sebagai polisi mereka. Mungkin sebab tidak mahu dikatakan copy & paste atau dikatakan ‘polisi malas’, mereka copy, paste & edit kepada nama baru iaitu BSH (baca BaSaH). Database yang akan digunakan pula adalah database yang diwujudkan oleh kerajaan terdahulu. Cakaplah apa sekalipun, konsepnya masih sama iaitu ianya adalah bantuan kepada rakyat berbentuk cash transfer.

Ada yang cakap tak bagi salah, bagi pun salah. Saya rasa lebih salah kalau tak bagi. Tapi bila meneruskan polisi ini, mungkin terasa sedikit ludah yang jatuh dari langit. Kalau mudah lupa boleh rujuk pada video dibawah. Pakatan Harapan juga pernah kata database BR1M terlalu besar, banyak penerima yang memang tidak layak terima disenaraikan. Akhirnya Kerajaan Pakatan Harapan telah cedok dan guna senarai yang sama.

Selain tukar nama, apa lagi yang kerajaan Pakatan Harapan edit? Dulu BN turut beri BR1M pada golongan bujang, dalam manifesto turut berjanji untuk naikkan jumlah yang akan diterima. Tapi bawah Pakatan Harapan, bukan sahaja tak naik bantuan untuk semua penerima, tapi dihapuskan terus bantuan untuk bujang.

Kehadapan Kekanda Guan Eng, Kalau nak copy & paste polisi BN, ambil semua lah. Bagilah BaSaH ni kepada penerima bujang juga macam BR1M dulu. Adinda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan Kekanda yang semakin tiada idea baharu untuk membantu rakyat.

Yang pastinya, kalau dulu bantuan ini dipanggil rasuah, kini ianya ikhlas. Kalau dulunya sogokan, kini adalah bantuan. Kalau dulunya dedak, kini menjadi dedak BaSaH. Semuanya kini telah menjadi halal dalam Malaysia Baharu ini.

Tapi tidak mengapa, sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional sudah tentu saya menyambut baik keputusan ini kerana terbukti legasi dari polisi kerajaan Barisan Nasional ini adalah baik sehingga perlu diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...