Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 25 September 2020

Enggan Bersama PPBM, UMNO Tak Langgar Piagam MU Kata Bekas Pegawai Najib.

Kenyataan Media | Saya baru terbaca satu kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agong PAS, YB Takiyuddin Hassan di mana beliau telah meminta UMNO untuk memberi penjelasan berkenaan dakwaan berlaku perubahan sokongan kepada Perdana Menteri.


Takiyuddin juga berkata bahawa jika ini benar (ada perubahan sokongan kepada Perdana Menteri) maka menurutnya ia bermakna UMNO telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

Menurutnya lagi, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam, sekaligus mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh PKR, Amanah dan DAP.


(Kenyataan penuh YB Takiyuddin dilampirkan)

........

KOMEN SAYA

Dengan segala hormat.

PERTAMA, Merujuk kepada setiap ayat, perkataan dan keseluruhan perenggan-perenggan dalam Piagam Muafakat Nasional, tidak ada satu pun yang merujuk kepada kesetiaan atau sokongan kepada Perdana Menteri, lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri tersebut adalah dari parti PPBM (Bersatu) yang bukanlah pihak yang termaktub dalam piagam Muafakat Nasional tersebut.

KEDUA, Piagam Muafakat Nasional telah ditandatangani pada 14 September 2019.

Pada ketika itu PPBM (Bersatu) masih lagi berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Dan Perdana Menteri yang menerajui PH pada ketika itu adalah dari parti PPBM (Bersatu).

Oleh itu hakikatnya, mengikut persefahaman piagam yang dipersetujui dan ditandatangani dahulu, pihak yang ingin dikalahkan adalah bukan sahaja PKR, Amanah dan DAP seperti yang disebut, tetapi juga termasuk PPBM (Bersatu) dan juga Perdana Menterinya.

Oleh yang demikian, adalah satu kesalahan fakta jika ada pendapat yang mengatakan bahawa peralihan sokongan daripada Perdana Menteri (PPBM) oleh UMNO (jika ada) adalah tidak mematuhi persefahaman dan persefujuan yang termaktub dalam piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

Saya harap semua pihak terus istiqamah dan kembali ke landasan asal semasa awal-awal pembentukan Muafakat Nasional pada 14 September 2019 dahulu.

Ini untuk mengelak dari kita dibuai dan terumbang ambing dengan permainan politik pihak-pihak yang berkepentingan dan berkesempatan.

Saya yakin jika kita teguh dengan prinsip dan pendirian serta kembali ke landasan asal, kita akan berjaya mencapai matlamat yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang telah ditandatangani dahulu.

Salam,

ISHAM JALIL
25 September 2020

Khamis, 24 September 2020

TSMY Kini Hilang Majoriti, PARLIMEN Perlu Diberi Ruang Tentukan PM Baru - Tun Mahathir.

Kenyataan Media | DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

1. Apabila Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa dia telah dimaklumkan bahawa ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh kita simpulkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoritinya di Parlimen untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.


2. Jika kita menerima kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid adalah benar di atas kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, maka Tan Sri Muhyiddin tidak boleh lagi tegas dia masih mempunyai majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

3. Yang penting sekarang ialah meneliti samada Perdana Menteri masih mempunyai majoriti untuk kekal dikerusinya. Samada Datuk Seri Anwar mempunyai majoriti adalah perkara kedua dan ini sesuatu yang perlu dia buktikan.

4. Umum tahu bahawa majoriti yang dipunyai Oleh Tan Sri Muhyiddin sebelum ini amat tipis — antara satu atau dua orang sahaja — maka jika seorang atau dua orang Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka, maka hilanglah majoriti Tan Sri Muhyiddin.

5. Bagi pihak saya, Tan Sri Muhyiddin dari peringkat awal lagi tidak mempunyai majoriti tetapi telah berjaya menutup kebenaran itu dengan membawa ketua-ketua parti mengadap D YMM Yang diPertuan Agong dan membuat bilangan secara pukal tanpa perlu memperinci siapa AhliAhli Parlimen yang menyokongnya.

6. Kerana itu, sejak dari perisytiharan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, saya telah meminta supaya satu undi tidak percaya dapat diusulkan di Parlimen untuk menyelesaikan masalah ini.

7. Jika Tan Sri Muhyiddin berjaya mengalahkan undi tidak percaya iłu maka selepas iłu tidak timbul lagi isu dia tidak dapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

8. Jika dia kalah, Ahli-Ahli Dewan Rakyat berpeluang mengusulkan całon Perdana Menteri yang baru dan sesiapa yang mendapat majoriti akan dapat menerajui Kerajaan tanpa terlalu banyak tekanan berkaitan legitimasi.

9. Jika ini dapat kita lakukan maka kita dapat mengelakkan dari perlunya mengadakan pilihan raya umum pada ketika kita masih bergelut dengan wabak Covid-19.

10. Saya juga ingin nyatakan di sini bahawa apa yang sedang berlaku adalah sesuatu yang telah saya nyatakan kepada Tan Sri Muhyiddin awal-awal lagi.

11 . Ketika iłu saya membuat pendirian menolak kerjasama dengan UMNO secara en-bloc kerana iłu bermakna saya terpaksa menerima kesemua Ahli Parlimen UMNO termasuklah orang yang menghadapi puluhan kes di mahkamah.

12. Tetapi Tan Sri Muhyiddin berkata dia sanggup bekerjasama dengan UMNO secara en-bloc walaupun dia boleh diugut oleh UMNO jika kemahuan mereka tidak tercapai.

13. Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah di Mahkamah Tinggi di atas tujuh tuduhan kita dapat lihat bagaimana penyokongnya mula memperlihatkan rasa tidak puas hati terhadap Tan Sri Muhyiddin.

14. Hari ini, jelas apa yang saya jangka akan berlaku sedang berlaku dan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid semalam mengesahkan bahawa sokongan dari UMNO memang bersyarat.

15. Dan sokongan IJMNO kepada Datuk Seri Anwar juga pasti bersyarat walau tidak diumum. Walaupun Datuk Seri Anwar kata yang dia tidak menerima sokongan dari enam Ahli Parlimen yang menghadapi kes-kes mahkamah, sudah pasti yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid. Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Tan Sri Muhyiddin dan menarik balik sokongan dan jatuhkan Kerajaan.

16. Terpulanglah kepada Tan Sri Muhyiddin memikir akan pilihan yang terbuka padanya.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Ahli Parlimen Langkawi
24 September 2020

Selasa, 22 September 2020

Muhammaddin Ketapi Minta Maaf Sekali Lagi Selepas Keluar Laporan WARISAN Hilang 90% Undi Tentera.

ULASAN | Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata binasa badan. Muhammaddin Ketapi telah membuat permohonan maaf sekali lagi menerusi Facebook rasminya siang tadi. 

ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA.

Terima kasih kerana menegur saya. Kesemuanya saya terima dengan hati terbuka dan berlapang dada. Sekali lagi saya ingin memohon maaf jika ada pihak yang terguris dengan ucapan saya tempoh hari walaupun saya langsung tidak berniat untuk mempolitikan atau memperlekeh sumbangan pasukan keselamatan kita.

Disamping itu, bersama kita sedekahkan bacaan Al Fatihah buat semua anggota prajurit negara yang telah terkorban semasa menjalankan tugas khasnya ketika peristiwa berdarah tanduo 7 tahun lalu. 

AL FATIHAH (dibaca)

Yang ikhlas,
MOHAMADDIN BIN HAJI KETAPI

Tindakan Muhammaddin Ketapi ini dipercayai ada kaitan dengan laporan yang menyebut Warisan kehilangan hampir 90% undi tentera pada pengundian awal yang berlangsung hari ini : 22 September 2020. 

Tinjauan di Facebook Muhammaddin Ketapi pula mendapati komen agak seimbang dengan yang menyokong permohonan maaf Muhammaddin Ketapi dan dengan yang marah terhadap kenyataannya, walaupun yang memarahi Muhammaddin Ketapi menguasai peratusan komen. 

Ini bermakna masih ada harapan untuk WARISAN PLUS mengubah mood pengundi disaat akhir dan tidak membiarkan kenyataan Muhammaddin Ketapi menguasai sentimen pengundi di Sabah.

Apa yang WARISAN PLUS patut lakukan;

1. Muhammaddin Ketapi perlu membuat permohonan maaf secara terbuka, live menerusi facebooknya dengan menampilkan wajah kesal yang bukan dibuat-buat ataupun lakonan. Ianya perlu betul-betul kesal kerana mengeluarkan kenyataan yang bodoh dalam dua isu utama iaitu insiden Lahad Datu dan COVID19.

2. Selepas itu move on dengan bercakap soal polisi dan ekonomi. Soal pembangunan yang ingin WARISAN bawa di Sabah.

3. Muhammaddin Ketapi juga perlu dilarang berkempen atau berceramah. Manalah tau dia keluarkan kenyataan bodoh yang lain pula.

4. Nak lagi extreme, umumkan sahaja WARISAN SOKONG CALON BEBAS DI DUN SEGAMA, tak perlu undi Muhammaddin Ketapi. Biar dia kalah seorang-seorang asal sahaja ia tak membabitkan parti secara keseluruhan.

WARISAN sepatutnya diberikan ruang untuk mentadbir Sabah dan membuktikan yang mereka mampu memajukan Sabah memandangkan Sabah selama ini pun ditadbir oleh parti yang lebih kurang sama - mesra UMNO BN ataupun UMNO BN.

Paling tidak WARISAN patut diberikan masa lima tahun untuk membuktikan mereka bukan sekadar berjanji air liur dan bercakap kosong.

Kemenangan WARISAN bukannya kerugian buat pihak yang kalah. Pihak yang kalah akan berusaha untuk memajukan diri dan bangkit. Begitu jugalah dengan WARISAN, andai kalah ia merupakan satu motivasi untuk menambahbaik kekurangan parti. Sama-sama kita saksikan keputusan rakyat Sabah pada Sabtu ini - 22 September 2020.

#PRNSabah WARISAN PLUS Hilang 90% Undi Tentera Lapor Malay Mail.

PRNSabah | Portal The Malay Mail melaporkan Warisan PLUS kehilangan hampir 90% undi tentera disaat salah seorang calonnya di DUN Segama menimbulkan kontroversi berhubung insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.


Calon Warisan di DUN Segama ialah Muhammaddin Ketapi yang juga bekas Menteri Pelancongan semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Dalam dua video viral di sosial media, Muhammaddin Ketapi dipetik sebagai berkata, apa yang berlaku di Lahad Datu merupakan satu sandiwara dan jangkitan covid19 yang naik mendadak wajar dipertikaikan.

Malay Mail melaporkan sebanyak 16,877 anggota tentera dibolehkan mengundi dan Warisan kehilangan 90% darinya. Ramalan awal mengatakan Warisan berupaya mendapat 60% undi tentera bagaimanapun unjuran itu dilihat merosot selepas kenyataan Muhamaddin Ketapi tular.

Pada awalnya Warisan dijangka akan dapat membentuk kerajaan semula di Sabah namun Warisan dilihat kehilangan momentum tersebut selepas Muhamaddin Ketapi membuat kenyataan mengenai insiden Lahad Datu. 

Dijangka Warisan akan menghadapi persaingan sengit namun tidak semestinya tewas memandangkan PRN Sabah menyaksikan BN dan PN bertembung sesama sendiri. 

Sebagai rekod, Muhammaddin Ketapi telah pun membuat permohonan maaf dan mengulanginya sekali lagi pada lewat petang tadi.

Datuk Seri Shafie Apdal juga telah membuat permohonan maaf terbuka malam tadi. - 22 September 2020.

Isnin, 21 September 2020

Jika WARISAN Kalah #PRNSabah Itu Salah Muhammaddin Ketapi..

ULASAN  | Sudah ada cakap-cakap politik yang tersebar kononnya Muhammaddin Ketapi itu membuat kenyataan bodoh kerana mahu sabotaj. Beliau didalangi oleh pihak yang bermusuh sama Warisan. Anehnya walaupun kenyataan-kenyataan sedemikian dibuat oleh netizens tanpa mengemukakan sebarang bukti ia berupaya mempengaruhi pembaca.

Ini mungkin kerana sejarah politik katak di Sabah dan Malaysia secara amnya. Hari ini jika ahli politik berkata mereka tidak bergaduh dan bermusuh, akan terkeluarlah video mereka mengutuk sesama parti komponen.

Jika mereka kata kerajaan pintu belakang tak wujud, maka itulah petandanya sedang membentuk kerajaan dibelakang tabir seperti yang dilalui Pakatan Harapan.

Jika dikata Sabah stabil, Kedah stabil itu maknanya tidaklah stabil dan akan bertukar tangan bila-bila masa. Inilah wajah politik di Malaysia. Mempercayai watak ahli politik itu lebih sukar dari menyimpan angan-angan satu hari babi akan terbang.

Tular sudah dua kenyataan bodoh dari bekas Menteri Pelancongan era Pakatan Harapan lantikan Tun Mahathir yang mengulas insiden pencerobohan Lahad Datu dan penarafan red zone di kawasan tercemar Covid19. Untuk versi video boleh dilihat di akhir artikel ini.

Pencerobohan Lahad Datu itu sandiwara..

"Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.

Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihanraya tiada pula peperangan itu.

Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu," - inilah kenyataan Muhammaddin Ketapi yang menjadi kontroversi ditengah-tengah keributan PRN Sabah.

Kita tak perlukan ahli politik yang bodoh dan pandai mengeluarkan kenyataan sewel. Kita cuma perlukan ahli politik yang bekerja membantu rakyat dan pengundi.

Tidakkah Muhammaddin Ketapi menyedari kenyataan ini juga boleh ditafsir seperti berikut;

- Menghina ATM dan PDRM yang menjaga keselamatan negara

- Memperlekehkan kematian anggota dan petugas keselamatan yang terkorban

- Menuduh BN dengan sengaja mencipta wayang sehingga mengakibatkan kematian rakyat

Tidakkah Muhammaddin Ketapi memikirkan petugas keselamatan seperti PDRM dan ATM juga mempunyai kuasa undi? Tidak pentingkah undi mereka kepada Warisan Plus di Sabah?

Sebagai rekod, Muhammaddin Ketapi telah pun meminta maaf tapi dalam keadaan masih sempat mengaitkan BN dan menyalahkan pihak yang sunting video.

Red Zone Covid19 wayang..

Satu lagi video yang tular ialah mengenai kenyataan Muhammaddin Ketapi tentang kawasan yang diberikan penarafan red zone kerana covid19.

Dalam rakaman itu, Muhammaddin Ketapi berkata ia adalah wayang kerana kawasan red zone itu adalah kubu kuat Warisan dan mengajak memijak orang yang pura-pura pengsan.

Tak faham sangat macam mana Muhammaddin Ketapi boleh dakwa ia adalah wayang tanpa mengemukakan bukti. Zaman sekarang nak tuduh apa-apa pun kena bawakan bukti. Contoh saksi dari KKM yang mendakwa kenaikan kes covid19 di Sabah adalah penipuan dan dibuat-buat.

Statistik dan ujian yang dilakukan adalah tipu. Adakah ia mustahil? Tidak. Dalam peperangan politik, tak ada yang mustahil. Semua boleh berlaku tetapi setiap dakwaan perlu ada hujah dan bukti bagi membenarkan tuduhan kita. Ini asasnya.

Kita cakap ianya wayang tetapi apa pula bukti kita? Kenapa kita tak langgar je red zone tu dan dedahkan ia wayang?

Orang-orang kat red zone tu pun manusia. Mereka boleh memberontak. Jika mereka tak ada covid19 dituduh ada covid19, kenapa? Staff KKM ramai. Yang buat ujian. Ujian saringan, merekod, menjaga pesakit, menjaga jalan keluar masuk, melibatkan beberapa agensi yang berbeza, adakah nak menuduh mereka berpakat beramai-ramai melakukan penipuan dengan tujuan menambahkan beban kerja supaya Warisan kalah di Sabah?

Penipuan dan sandiwara yang melibatkan seorang pemimpin atau dalam skala partisan, logik. Tapi kalau dah sampai melibatkan rakyat biasa, beberapa agensi, sudah pasti akan terbongkar - ia tak boleh disimpan-simpan pun. Maka lebih baik Muhammaddin Ketapi pergi cari bukti bagi menyokong kenyataannya. Bukan apa, setiap undi kakitangan KKM juga berharga. Atau Muhammaddin Ketapi anggap ianya tak bernilai sama sekali?

Mendorong rakyat memijak orang yang pura-pura pengsan ketika hari membuang undi adalah kenyataan bodoh.

Bukan begitu cara kita menanggani penipuan politik (jika ada). Apa yang patut kita lakukan ialah merakam kejadian. Kalau dapat buat LIVE, boleh sebarkan di Facebook.

Lapor polis dan seterusnya bekerjasama dengan NGO bebas yang benar-benar komited melawan penipuan pilihanraya.

Itu tindakan yang patut kita buat. Dari kenyataan Muhammaddin Ketapi, yang menyeru memijak-mijak orang, jelas membuktikan dia ada masalah tumpuan perhatian. Sebagai wakil rakyat peringkat Parlimen dan ADUN (sebelum DUN dibubarkan), beliau sepatutnya senantiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah menggunakan akal rasional dan bukannya emosi tak ketahuan hala.

Dalam apa jua keadaan beliau perlu menganjurkan jalan damai bagi menyelesaikan kemelut.

Ketika berkempen, beliau patut membahas perubahan yang ingin dilaksana Warisan jika menang PRN Sabah dan bukannya mengungkit-ungkit kisah lampau yang melukakan rakyat Malaysia.

Kita tak perlu ke Lahad Datu dan melalui insiden pencerobohan untuk memahami betapa peristiwa tersebut tersangatlah sensitif untuk diulas secara sembrono.

Kita hanya perlu jadi manusia yang menggunakan akal kita. Untuk Muhammaddin Ketapi yang penulis memang tak gemarkan prestasinya sebagai Menteri Pelancongan suatu ketika dahulu, penulis rasa agak janggal untuk mengajak pengundi memangkah beliau di Segama. Beliau kelihatan tidak stabil sebagai wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah rakyat setempat. - 21 September 2020.



#PRNSabah - Muhammaddin Ketapi Minta Maaf Tapi Masih Nak Salahkan Orang Lain..

PRNSabah | Bekas Menteri Pelancongan, Muhammaddin Ketapi meminta maaf kepada anggota keselamatan berhubung video tular yang dianggap mempersendakan insiden pencerobohan Lahad Datu.

Berikut kenyataan maaf Muhammaddin Ketapi;

Kalau kita baca, kita akan dapati;

- Muhammaddin menafikan beliau ada menghina dan memperkecilkan anggota keselamatan 

- Sebaliknya beliau mahu mengatakan ia kegagalan BN dalam memantapkan aset negara sehingga memungkinkan pencerobohan berlaku

- Kenyataan itu sebenarnya telah disalaherti

- Muhammaddin Ketapi mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang bertujuan menjatuhkan maruah Warisan..

- Jika itu PATI jadi keutamaan maka insiden Tanduo tak berlaku.

- Namun beliau tetap meminta maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat itu ada menguris anggota keselamatan keseluruhannya..

Kalau kita baca sejarah Muhammaddin Ketapi, sebelum Warisan, beliau bersama PBS.

PBS ini ialah parti yang pernah menang pilihanraya DUN di Sabah sehingga menjatuhkan kerajaan BERJAYA ketika itu. PBS ini ada sejarah lompat yang panjang dan unik.

Lepas menguasai DUN Sabah, kerajaan negeri bergolak lagi sehingga perlu dibubarkan DUN Sabah selepas memerintah dua tahun. Sama seperti yang dilalui Warisan dan tetap menang besar pada 1986.

Kemudiannya menyertai BN dan keluar semula. Dan menyertai Gagasan Rakyat diketuai Ku Li, dan keluar juga. Pada tahun 1994 UMNO masuk Sabah.

PBS tetap menang pilihanraya Sabah tapi selepas itu kesemua ADUNnya menyertai BN. Lompat lagi.

Dan peristiwa melompat berterusan pada 1999, dan 2002 PBS menyertai BN kembali.

Ini sejarah parti yang disertai Muhammaddin Ketapi. Muhammaddin Ketapi bersama PBS bermula tahun 1985.

Beliau menyertai Warisan pada tahun 2018.

Pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013. Ketika itu PBS bersama siapa? BN. PBS keluar BN selepas UMNO kalah pilihanraya persekutuan. Pada Mei 2018 dan bercadang merujuk semula dengan BN pada awal tahun 2020.

Jika Muhammaddin selusuri kenyataan beliau tentang kegagalan BN dalam menjaga keselamatan rakyat di Sabah sehingga terdorongnya insiden pencerobohan Lahad Datu dan mengorbankan beberapa petugas keselamatan, beliau patut sedar ketika itu beliau sendiri berdiri bersama BN.

Siapa yang beliau kutuk sebagai tak buat kerja itu?

Siapa yang beliau anggap sebagai gagal itu?

BN dan didalamnya ada Muhammaddin Ketapi menerusi PBS.

Sebenarnya terlepas cakap ini perkara biasa bagi ahli politik. Bila dah terlepas, lebih baik minta maaf dan lalui sahaja segala-segala impak yang akan berlaku kesan dari kecabulan mulut sendiri.

Itu lebih baik dari memetik-memetik nama orang dan menyalahkan pihak lain yang seterusnya hanya akan menampaknya kita ini bodoh.

Tidak hanya itu, Muhammaddin beranggapan video versi edit atau suntingan pendek yang tersebar ialah permainan kotor.

Salah tu. Dalam kes Muhammaddin Ketapi, video versi panjang dan pendek bukannya isu langsung. Kerana mesejnya masih jelas. Mesejnya tidak berubah. Memang telah dipertikaikan kejadian itu sebagai sandiwara mahu ambil Sabah dalam keadaan Muhammaddin Ketapi itu sendiri bersama PBS - BN pada tahun 2013.

Menyunting ucapan tertentu hanya boleh dilakukan jika ahli politik itu ada mengeluarkan kenyataan kontroversi. Mudah. Setiap hari pemimpin politik akan bercakap dan membebel atas pentas perkara yang sama, diulang-diulang sampai yang mendengar pun rasa jemu. Tetapi rakaman viral hanya akan berlaku jika kamu tersalah cakap. Rakyat tak perlu dengar mesej ulang-ulang kamu macam tape rosak dari awal. Cukup sahaja kamu keluarkan kenyataan bodoh dan ya kamu memang layak dikecam. Sila berhenti menyalahkan pihak lain dan move on. - 21 September 2020.

Ahad, 20 September 2020

Berbaik Dengan Tun Bererti Bermusuh Dengan Pengundi, Kata Husam Musa.

Kamarul Yusof | LIMA MESEJ PENTING DATUK HUSAM MUSA KEPADA PH DAN AMANAH

(1) Sesiapa di dalam PH yang masih mahukan Tun Dr Mahathir dan tinggalkan Datuk Seri Anwar adalah mereka yang kurang cerdik.

(2) Tiada untungnya untuk PH berkawan dengan Tun Dr Mahathir kerana berbuat demikian akan menyebabkan PH bermusuh dengan rakyat.

(3) Langkah terbaik untuk PH ialah mengukuhkan parti dan kepercayaan rakyat sehingga menang PRU 15, bukannya mengacau PN sekarang.


(4) BN atau PN akan menang di semua 13 kerusi yang dimenangi oleh BERSATU dalam PRU 14 lalu jika PH beri PEJUANG bertanding di situ.

(5) Pemimpin AMANAH perlu segera memutuskan pendirian politik semasanya jika tidak mahu kehilangan kerusi-kerusinya dalam PRU 15.

MESEJ PENTING DATUK HUSAM MUSA KEPADA PH DAN AMANAH

“Masa depan AMANAH bergantung kepada polisi yang akan diambil oleh AMANAH dalam hubungan dengan PH dan parti-parti alternatif yang lain pada hari ini. Saya ulangi, pada pendapat saya, kalau salah perhitungan, AMANAH mungkin akan kehilangan kerusi-kerusi yang telah dimenangi dan seterusnya kita gagal bentuk kerajaan.

Jadi perkara ini kena dibincang secara halus secara cermat, tidak boleh secara sentimen secara emosi, kena ada sedikit kajian empirikal dia, kajian empirikal tu kena ada. Saya buatlah sikit-sikit kajian saya tapi saya tidak nak paksa orang terima kajian saya…

Kalau orang Cina sepertimana Pilihan Raya (Kecil) Slim baru-baru ini tinggal PH kerana apa-apa sebab dan undi BN atau PN maka ketiga-tiga belas kerusi BERSATU dulu akan diambil semula oleh BN atau PN kalau kerusi ini ditandingi oleh pihak-pihak yang hilang kepercayaan rakyat yang pernah mengundi PH dulu.

Ada orang tak faham, dia buat kenyataan, dia bertukar antara populariti dengan hilang kepercayaan. Orang tu mungkin popular tapi dia mungkin tidak ada kepercayaan orang ramai. Misal kata macam artis, artis lelaki, kita katakan dia buat persembahan yang orang panggil gila-gila sikit, lagu-lagu dia pun lagu-lagu yang kurang baik misal kata, lepas tu dia mari masuk masjid kita nak lantik dia jadi imam, separuh daripada ahli masjid tu, makmum, tinggal masjid. Pasal apa? Populariti dia sebagai artis memang tinggi tapi kepercayaan nak bagi dia jadi tok imam tak ada.

Jadi kita tak boleh nak ukur populariti tapi kita ukur kepercayaan. Orang hilang kepercayaan. Pasal apa orang hilang kepercayaan? Itu kita kena kajilah, kalau saya syarah dia jadi sensitif kerana ada benda-benda yang boleh mengguris perasaan pihak-pihak yang kita pun sayang kat dia, kita hormat kat dia. Tapi dalam politik kita kena praktikal, kita tak boleh duk sayang tu sampai kalah perjuangan kita. Kita kena praktikal, perjuangan lebih penting daripada kita sayang kat satu-satu orang.

Dalam pilihan raya yang lepas, rakyat memilih, yang kita kata ‘memulangkan balik mandat rakyat’ ‘memulangkan balik mandat rakyat’ apa dia ‘mandat rakyat’ PRU 14 dulu? Mandat rakyat pada beberapa perkara, bukan hanya satu perkara. Bukan bila sebut saja perkara ni saya ni pro orang berkenaan anti orang berkenaan, bukan, dari segi fakta.

Mandat rakyat dalam pilihan raya yang lepas ialah kerana lepas Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri mengikut pada perjanjian pihak-pihak dalam PH, termasuk Tun Dr Mahathir, ialah ‘Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri’. Betulkah tidak? Kalau padamkan, delete, ‘Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir’ delete, adakah kita akan dapat mandat rakyat seperti baru ni? Tak mesti. Pasal Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sebati dengan 48% pengundi Semenanjung Malaysia ini berapa kali pilihan raya dah. Cuma tak cukup berapa peratus, betul, tapi hak tak cukup tu sikit pada hak ada.

Jangan bertukar di antara hak sikit dengan hak banyak. Gi ambil hak sikit tinggal hak banyak itu, Ayah Mad, ambo tak tahulah nak kata lagu mana, dok? Ada dok kaedah ‘ambil hak sikit tinggal hak banyak’. Jatuhkah cerdik atau kurang cerdik?

Baik, mandat rakyat adalah Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua, mandat rakyat ialah manifesto kita.

Suka tak suka, kitab tak kitab suci, manifesto kita kita telah berjanji. Sebagai seorang pemimpin kita tidak boleh kata masa kita buat dulu saya tak sedar diri, lepas menang baru saya tahu, tak boleh macam tu. Sedaya-upaya kita kena usahakan. Bila kita kata manifesto kita ini bukan kitab suci, kita tak terikat dengan manifesto, itu antara permulaan hilangnya kepercayaan rakyat kepada Kerajaan PH. Bila mari pilihan raya kecil pengundi ajar, mari pilihan raya kecil pengundi ajar, mari pilihan raya kecil pengundi ajar. Tak sedar lagikah?

Datuk Seri Anwar Ibrahim dari segi analisis dia agak terselamat, saya sikit-sikit terselamat. Macam mana? Datuk Seri Anwar Ibrahim kebetulan tak ada dalam kabinet, jadi apa-apa yang dimungkiri janji oleh kabinet yang lepas tidak bersangkut dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini peluang kita untuk naik balik. Kalau kita ambil balik orang hak kata hak ni pun tak boleh pakai, hak ni pun tak boleh nak buat, hak tu pun tak boleh nak buat, nak jual apa dia? Apa yang kita nak jual pilihan raya akan datang? Nak jual nak tangkap Najib, Najib nak masuk penjara dah.

Fikir, fikir secara tenang, secara saksama, jangan cepat, bila orang sebut buat keluar bidas selalu, buat keluar lastik selalu, buat keluar bedil terung mango selalu, tembak kawan, sakit juga. Kita orang tua ni berhentilah main bedil tak tentunya. Bincang elok-elok, dengar dulu, buka buku dulu, tengok angka-angka dulu.

Saya ulangi, berdasarkan Pilihan Raya (Kecil) Slim yang terakhir, kalau orang Cina balik 25% kepada BN, bukan sahaja 13 kerusi tadi kalau kita bagi kepada pihak yang hilang kepercayaan rakyat, kita akan gagal membentuk semula kerajaan. Nak jadi kerajaan semula atau tak nak? Kalau tak nak, buat cara tak nak.

Dan saya mencadangkan kita fokus kepada ambil semula kerajaan dan memulihkan mandat rakyat ini melalui persiapan pilihan raya lebih daripada benda lain. Kalau kita nak buat lani timbul masalah, orang ni tak boleh jadi Perdana Menteri, orang ni tak setuju orang ni jadi Perdana Menteri, orang ni kata orang ni tak boleh jadi Perdana Menteri orang ni begini, payah. Peluang kita nak pulihkan mandat, yang paling mudah dan paling besar ialah pengukuhan parti-parti dan kepercayaan rakyat sehingga kita boleh menang pilihan raya.

Kemudian ada pulak dalam kenyataan pihak berkenaan dia bangkitkan masalah jangan banyakkan musuh kena banyakkan kawan. Kita kupas tajuk ni. Bila kita berkawan dengan orang yang telah dimarahi, hilang kepercayaan daripada rakyat, maka kita bermusuh dengan rakyat itu sendiri pulak. Faham tak? Rakyat marah kepada dia pasal sebab-sebab dia panjanglah, kalau duduk seorang sama seorang saya boleh beritahu secara lebih teliti apa sebab orang marah, orang hilang kepercayaan apa sebab. Kita pergi duduk bawa lagi orang ini, kita berbaik dengan dia, betul, tapi kita bermusuh dengan pengundi kita, dengan rakyat kita, bahkan dengan ahli kita.

Saya difahamkan, betul tak betul berita semalam, Ketua AMANAH Kawasan Klang, di Selangor, letak jawatan sekali dengan AJK-AJK dia. Tolong fikir, jangan terlambat. Jangan terlambat, tolong fikir.”

(Sumber: Ucapan Datuk Husam Musa dalam Mesyuarat Tahunan AMANAH Kubang Kerian pada 19 September 2020)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...