Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 20 Oktober 2020

MP Simpang Renggam Hantar Usul Gantung Sementara Urusan Kerajaan Sehingga PM Buktikan Majoriti.

Kenyataan Media | URUSAN KERAJAAN PERLU DIGANTUNG SEMENTARA BAGI MEMBERI LALUAN USUL UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP PERDANA MENTERI

Pada 16 Oktober lepas saya telah mengemukakan satu Usul penting kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.




Saya tahu sudah ramai Ahli Parlimen yang menghantar Usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri (PM).

Tetapi seperti biasa, PM akan menggunakan senjata ampuhnya iaitu Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang menyatakan bahawa urusan Kerajaan (apa-apa urusan yang dikehendaki oleh kerajaan) hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.

Sebab itu sebarang usul yang melibatkan ketidakpercayaan Dewan terhadap PM akan diketepikan. Ini juga menjadi argumen YDP Dewan Rakyat di dalam wawancara bersama Free Malaysia Today pada 15 Oktober lalu.

“SO 15 is also pertinent in this respect. It says that the government business shall have precedence over private members business. And the government business shall be set down as the government thinks fit.”

(https://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2020/10/15/motion-of-no-confidence-setting-the-record-straight/)

Inilah puncanya selama ini usaha ahli-ahli parlimen yang mengemukakan usul undi tidak percaya menemui jalan buntu.

Dewan Rakyat akan disibukkan dengan urusan kerajaan. Ini taktik politik dalam sistem demokrasi berperlembagaan apatah lagi apabila PM tahu majoriti Ahli Parlimen tidak menyokongnya di Dewan Rakyat.

Namun dalam masa yang sama, usul ini penting untuk memastikan keabsahan sokongan terhadap PM dan sekaligus menentukan kestabilan politik negara.

Apakah di sana ada cara lain untuk kita, ahli-ahli parlimen dengan sokongan jitu rakyat Malaysia, memastikan usul ketidakpercayaan kita terhadap PM didengar dan diterima di Dewan Rakyat?

Jawapannya, ada. Demokrasi bukan semestinya aparatus sang penguasa sahaja, tetapi juga ruang untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka.

Dan pandangan itu harus didengar, dibincang, serta dibahas. Itulah fungsi utama Dewan Rakyat. Dewan Rakyat tidak boleh digunakan untuk mencari alasan dan peraturan untuk menyebelahi Kerajaan sahaja.

Dalam konteks ini lah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah terkhilaf apabila menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk usul tidak percaya boleh mendapat laluan untuk diputuskan oleh Dewan Rakyat ialah dengan berunding bersama pihak Kerajaan. Ini bukanlah hakikat sebenarnya kerana masih ada cara dan lunas lain yang dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat itu sendiri.

Justeru saya, sebagai ahli parlimen telah menghantar satu Usul di bawah Peraturan 90 (2), iaitu suatu usul untuk menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15 (1) dan beberapa peraturan-peraturan mesyuarat lain yang berkaitan, supaya PM tidak lagi boleh menghalang amarah rakyat dengan berselindung di sebalik teknikal undang-undang.

Bererti melalui Usul ini saya telah meminta agar Dewan Rakyat membuat keputusan agar urusan Kerajaan ditangguhkan sementara dan Usul undi tidak percaya yang dibawa YB Langkawi dibaca dan diputuskan terlebih dahulu.

Usul ini pada asasnya bukanlah untuk menambah rumit kemelut politik sedia ada di saat rakyat sedang berdepan bencana. Namun usul ini hakikatnya tampil untuk menamatkannya.

Sekiranya ahli-ahli Dewan melihat penting agar usul undi tidak percaya didahulukan, maka ahli-ahli Dewan boleh menyokong usul ini supaya usul undi tidak percaya boleh didengar dan diputuskan.

Kemelut dan krisis politik yang kita semua hadapi hari ini boleh ditamatkan. Dan semua ini boleh diselesaikan di Dewan Rakyat. Inilah masanya untuk semua menunjukkan keikhlasan masing-masing, ketika rakyat berdepan bencana COVID-19 dan berada dalam kesusahan.

YB Dr Maszlee Malik
Ahli Parlimen Simpang Renggam

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...