Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 22 Ogos 2019

Peniaga Boleh Berniaga di Mana-Mana, Hanya di Negeri Sembilan!.

Edy Noor Reduan | Peniaga Boleh Berniaga di Mana-Mana, Hanya di Negeri Sembilan!

Muktahir ini, telah berlaku sedikit kecoh di sebuah laman facebook mengenai isu yang sengaja ditular melibatkan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), sebuah PBT dalam Negeri Sembilan. 


Apa yang dipaparkan dalam episod tular itu ialah tindakan penguatkuasa MPN kononnya di atas 'polisi yang baru', sebilangan peniaga telah diberi notis supaya hentikan perniagaan di tepi jalan kerana premis/gerai mereka akan dirobohkan.



 
Dari garapan penulisan dan foto-foto yang ditonjolkan laman Facebook tersebut, dapat digambarkan penularan isu jelas berniat untuk memburukkan reputasi kerajaan Pakatan Harapan N.Sembilan. Namun respon dari netizen adalah bercampur-baur, kritikan tidak berlaku secara sehala di mana ada netizen yang membantah tindakkan MPN tetapi tidak kurang juga jumlah netizen yang menyokong tindakan penguatkuasa MPN dengan hujah masing-masing.

Sebelum saya memberikan ulasan lanjut, izinkan saya mencoretkan di sini sedikit pengalaman saya sebagai anak seorang penjaja. Selepas bapa saya meninggal dunia pada tahun 1993, ibu saya yang hanya berpelajaran SRP tidak mempunyai sebarang mata pencarian untuk menyara 6 orang adik beradik yang semuanya masih bersekolah, termasuk seorang bayi berumur sebulan. Ibu saya suri rumah sepenuh masa, apa yang ibu saya mahir selain menjahit baju raya sedondon ialah, memasak dan memasak.

Maka ibu saya pun mula berniaga di hadapan rumah, di Taman Paroi Jaya, meniaga goreng pisang sahaja. Saya ketika itu baru masuk tingkatan satu, hanya membantu sedikit-sedikit sebelum berjinak berniaga burger di dalam Stadium Paroi ketika musim bola. Dari meniaga goreng pisang, ibu saya mula berniaga Laksa Penang, dan kemudian menambah menu Nasi Ayam. Dari meniaga depan rumah, ibu berniaga di depan simpang, hingga satu ketika menjual lauk pauk di depan kilang-kilang di Senawang. Berniaga jenis buka payung, dan tutup kemas selepas berniaga.

Selepas beberapa tahun, timbul niat ibu saya untuk berniaga di tempat yang tetap, tidak lagi seperti nomad. Ibu saya mohon gerai statik Majlis Perbandaran Seremban dan Alhamdulillah permohonan berjaya dan telah ditempatkan di Gerai MPS Jalan Tampin. Berbelas tahun meniaga di sini, ada hari untung banyak, ada hari untung sikit. Dengan duit perniagaan kecilan ini, kami enam beradik dibesarkan. Ok cukup sampai sini, kalau cerita semua boleh jadi telenovela sinetron.

Berbalik kepada isu berbangkit, adakah berniaga gerai tepi jalan ini telah dibenarkan Kerajaan Negeri Sembilan sejak sekian lama? Jika dibenarkan, di mana garis panduannya? Saya tidak bertanya tentang polisi kerana saya yakin polisi kebenaran membuka gerai di tepi jalan tidak pernah wujud. Hanya dengan kata-kata verbal pemimpin kerajaan terdahulu sahaja, secara tidak langsung menjadi modal memburukkan kerajaan sedia ada.

Ia tidak bermaksud kerajaan yang baru tidak bersetuju dengan kebenaran berniaga tepi jalan. Malah jika imbas kembali ketika menjadi pembangkang, sosok ini lah juga memperjuangkan peniaga jalanan. Dulu ketika sebagai pembangkang, sentiasa digalakkan supaya orang ramai khususnya orang melayu menceburi perniagaan, dan kita kerap pertahankan nasib peniaga yang diusir oleh penguatkuasa zalim zaman pemerintahan BN. Ini jelas, sehingga ramai aktivis politik yang meringkuk dalam lokap bagi pertahankan rakyat. Inilah roh perjuangan rakyat yang tidak pernah luntur sehingga ke hari ini.

Dalam konteks Kerajaan Baharu Negeri Sembilan pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun, di atas sifat yang prihatin terhadap rakyat, memang ada kelonggaran yang diberi kepada peniaga untuk membuka gerai payung ataupun kanopi di tepi jalan (lokasi sesuai). Namun kelonggaran yang diberi itu tidaklah bermakna kita boleh membuka gerai berniaga sesuka hati di mana-mana, apatah lagi ada pihak yang mengambil kesempatan siap dengan menaikkan premis kekal di tepi jalan. Apakah ianya wajar?

Kelonggaran yang diberi antaranya ialah meniaga buka payung/kanopi di lokasi sesuai dan tutup/kemas selepas habis berniaga. Dengan bahasa yang mudah, buka gerai berniaga dan tutup gerai setelah selesai berniaga, sambil itu kebersihan tempat berniaga perlu dijaga rapi. Jika berhasrat untuk berniaga di premis yang tetap, peniaga perlulah mohon dengan prosedur yang betul.

Bagaimana takrifan lokasi yang sesuai? Pastinya bukan kawasan tepi jalan yang mengundang bahaya kepada pelanggan mahupun peniaga itu sendiri. Tidak sesuai juga berniaga di kawasan yang akan menyebabkan kesesakan lalu-lintas apabila pelanggan berhenti untuk membeli. Lokasi yang sesuai mengikut pandangan saya antaranya ialah area lot parkir yang pada sebelah malamnya tidak sesak, kawasan lapang yang separa terbiar, kawasan yang tidak mengganggu urusan seharian penduduk setempat.

Kerajaan negeri juga sebenarnya sudah memberi galakan kepada orang ramai cebur berniaga secara buka/tutup dengan bercambahnya uptown, downtown, pasar pagi, 'car boot sale' dan sebagainya. Semua ini berkonsepkan buka kedai dan tutup selepas selesai. Lihatlah sambutan di Bandar Enstek pada Jumaat malam dan malam minggu, lihat juga bazaar pagi di Stadium Paroi setiap pagi Ahad yang begitu meriah, dan yang terbaru 'car boot sale' di Bandar Sri Sendayan pada malan Sabtu, konsep berniaga seperti ini mendapat sambutan yang amat besar.

Dengan kata lain, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, seperti kisah ibu saya berniaga, penuh kecekalan. Bukan kita tak boleh meniaga, namun diri sendiri perlu prihatin dan peka dalam membuat keputusan, bab lokasi dan cara kita berniaga agar hasilnya nanti penuh keberkatan. Ayuh sama-sama kita bertoleransi dan sentiasa berfikiran rasional.

Pesan saya untuk semua dan diri sendiri, kita harus bijak menilai setiap berita yang cuba diviralkan kerana mungkin ada agenda tertentu tanpa kita sedari. Janganlah kita bersekongkol dan menyatakan sokongan terhadap perkara yang fitnah.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...