Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 28 November 2018

Kebenaran Terbongkar, Samseng Diupah Peguam Pemaju, Dibayar Serendah RM150 Untuk Buat Pengusiran Paksa.

KENYATAAN MEDIA | YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN MENTERI DALAM NEGERI
 
Isu pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada 26 November 2018 telah mendapat perhatian rakyat. Pelbagai telahan telah dibuat berhubung insiden ini terutamanya mengenai penglibatan sekumpulan lelaki Melayu yang menceroboh kuil penganut agama Hindu dan menimbulkan kekecohan di tempat kejadian.

Kerajaan memandang serius insiden ini yang telah mewujudkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.

Saya ingin menjelaskan bahawa berdasarkan siasatan polis, insiden ini tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman. Kejadian ini berlaku berpunca daripada pertikaian antara pihak pemaju One City Development Sdn Bhd dan ahli jawatankuasa kuil mengenai hak milik tanah tapak kuil tersebut.

Sebagai penyelesaian kepada pertikaian ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014 telah merekodkan penghakiman persetujuan bahawa kuil tersebut akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang disedikan oleh pihak pemaju dan tapak asal kuil diserahkan kepada syarikat pemaju yang merupakan pemilik tanah.


Namun demikian, penghakiman persetujuan ini tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat pihak penganut agama Hindu yang membantah penghakiman tersebut.

Berdasarkan siasatan pihak polis, terdapat dua kumpulan penganut agama Hindu dalam kes ini yang mana satu daripadanya bersetuju untuk berpindah dan satu kumpulan lagi tidak bersetuju.

Setelah beberapa siri rundingan antara pihak-pihak ini gagal mencapai kata sepakat, pihak pemaju telah merancang untuk melaksanakan perintah mahkamah dengan mengambilalih tapak kuil tersebut sepertimana perintah mahkamah.

Beberapa cubaan telah dibuat oleh pihak pemaju untuk mengambilalih tapak kuil tersebut tetapi gagal disebabkan bantahan daripada kumpulan penganut agama Hindu dan kekecohan yang berlaku di tapak kuil.

Susulan itu, pihak pemaju sekali lagi merancang untuk mengambilalih tapak kuil yang dijadualkan bermula pada jam 7.00 pagi 26 November 2018. Perbincangan mengenainya telah diadakan di antara pihak pemaju dan ahli jawatankuasa kuil. Pihak polis juga telah dimaklumkan mengenai rancangan ini dan bersedia untuk mengawal ketenteraman di sekitar kawasan kuil tersebut.

Namun demikian, pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju telah tidak mematuhi proses pengambilalihan tapak kuil sepertimana yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang. Siasatan pihak polis mendapati peguam kepada syarikat pemaju telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh kuil tersebut dan mengawal kawasan kuil sebelum ketibaan pihak pemaju dan polis pada pagi 26 November 2018.

Berdasarkan siasatan polis, sejumlah RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan ini untuk melakukan kerja menceroboh, mengambilalih dan mengawal kuil. Seramai lebih kurang 50 orang telah diupah untuk melakukan kerja ini yang setiap setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300.

Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang ini telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda.

Saya amat kesal dengan tindakan gopoh dan cuai yang diambil oleh pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju yang jelas melanggar undang-undang. Sekiranya tindakan gopoh dan cuai ini tidak diambil, saya percaya insiden pergaduhan di antara kumpulan lelaki Melayu dan penganut agama Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman tidak berlaku.

Susulan insiden ini, pihak polis telah menahan 21 orang individu untuk membantu siasatan. Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti individu-individu lain yang terbabit di dalam insiden ini, termasuk kejadian rusuhan yang melibatkan sekumpulan kaum India pada malam 27 November 2018. Insiden kedua ini telah menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota bomba dan seorang anggota polis selain kerosakan harta benda milik awam dan persendirian.

Saya telah diberikan taklimat terperinci oleh Ketua Polis Negara mengenai kedua-dua insiden ini dan saya percaya pihak polis akan dapat melengkapkan siasatan dalam masa terdekat serta membawa mereka yang terbabit dalam perbuatan jenayah ini ke muka pengadilan secepat mungkin.

Saya ingin menegaskan bahawa insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman. Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia telah hidup secara aman dan harmoni sejak sekian lama. Tidak mungkin kerana satu kejadian terpencil yang membabitkan pertikaian antara jawatankuasa kuil dan pihak pemaju dijadikan sebab untuk mengeruhkan hubungan kaum dan agama di negara kita.

Saya menggesa pihak-pihak yang terlibat di dalam isu pertikaian hak milik tanah tapak Kuil Sri Maha Mariamman supaya menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik menurut saluran undang-undang. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi isu ini untuk mencetuskan ketegangan kaum.

Saya telah mengarahkan pihak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berhubung insiden ini. Ini termasuk mereka yang membuat kenyataan berbaur perkauman yang bersifat provokatif, menyebarkan berita palsu yang berunsur fitnah dan hasutan serta menganjurkan perhimpunan-perhimpunan untuk membakar sentimen kaum.

Sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan dan keamanan negara, Kementerian Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menjejaskan ketenteraman awam. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil demi memelihara keselamatan dan keamanan negara.

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Menteri Dalam Negeri

28 November 2018

 

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...