Ahad, 18 Mac 2018

Semakin Ramai Warga Asing Meniaga Sehingga Menjejaskan Peluang Orang Tempatan.

Oleh : Sinar Harian

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot telah menyuarakan kebimbangan dengan kebanjiran warga asing yang didakwa sudah mencecah angka 6.7 juta orang.

Ujar beliau lagi warga asing mempunyai kemampuan untuk menguasai ekonomi jika diberi peluang selain menguasai bidang pekerjaan profesional.



Apa yang dibimbangi sudah hampir menjadi kenyataan. Warga asing yang dahulunya jadi pekerja sudah menjadi majikan dan memiliki perniagaan sendiri di seluruh negara.

Isu lambakan pekerjaan pekerja asing dalam sektor pekerjaan sudah tidak diperkatakan lagi kerana seakan sukar dibendung. Meskipun data kerajaan pada 2017 menunjukkan ada penurunan ketara pekerja asing yang datang secara sah, angka pekerja berstatus PATI tidak diketahui secara tepat.

Kerana itu rakyat tetap merasakan bilangan pekerja asing sudah melebihi hadnya apabila boleh bekerja di mana sahaja kecuali di sektor awam.

Warga asing mampu menguasai bidang perniagaan kerana mereka ini golongan yang cekal berusaha dan tahan lasak. Manakala penduduk peribumi tempatan yang sudah biasa hidup senang cukup makan meskipun tidak kaya tidak mampu untuk berdepan dengan kemaraan agresif golongan imigran.

Premis perniagaan warga asing berkembang dengan cepat di seluruh negara. Warga asing mengambil alih perniagaan di tempat mereka bekerja dahulu. Cawangan-cawangan baharu di buka di tempat lain.

Warga tempatan tidak menjadi pelanggan utama tidak mengapa kerana bilangan rakyat asing daripada rakan senegara sudah cukup ramai.

Sebab itu mereka berani memasang papan tanda dalam tulisan Urdu, Nepali, Burma dan Bengali untuk menarik perhatian warga senegara.

Tidak pasti sama ada pekerja asing ada membuka perniagaan di negara-negara lain yang mengimport pekerja asing dalam jumlah ramai seperti Singapura dan negara-negara Arab tetapi yang pasti di Malaysia warga asing berani berniaga tanpa rasa gentar. Moto ‘Pantang Undur Kecuali Operasi’ menjadi azimat.

Di Bukit Bintang, majoriti peniaga asing terutama warga Pakistan dan Bangladesh secara terang-terang berniaga produk tiruan kepada pelancong asing dan menguasai perniagaan telekomunikasi dan IT di Low Yat Plaza.

Mungkin warga asing ini memiliki sokongan kuat daripada persatuan mereka hingga jumlah kedai milik mereka akhirnya mengatasi kedai peniaga tempatan. Contoh baik ialah kedai tukang jahit milik warga asing di Sungai Besi.

Dahulu warga Pakistan keluar masuk kampung menaiki basikal dan motosikal menjaja karpet. Kini sudah mampu membuka kedai tekstil, kedai runcit dan kedai perabot di seluruh negara terutama di negeri Pantai Timur dan Sabah. Di Sarawak pun sudah ada.

Nilai di Negeri Sembilan sudah menjadi lubuk emas peniaga Pakistan.

Di Selangor peniaga Acheh dan sekarang Bangladesh begitu mendominasi. Peniaga Acheh biasanya membuka perniagaan runcit dan kedai gunting rambut manakala kedai runcit milik imigran Bangladesh boleh ditemui di hampir setiap daerah selain bengkel kereta, kedai alat telekomunikasi, kedai mencuci kereta dan lain-lain.

Kontraktor tempatan mengeluh tiada projek manakala syarikat kontraktor asing makin bertambah.

Selain masalah penguatkuasaan, sikap orang kita sendiri menjadi punca bilangan premis perniagaan warga asing bercambah dengan cepat. Orang kita tidak sama dengan warga asing, lebih suka wang segera, cukuplah disewakan lesen dan permit tanpa perlu bekerja keras.

Selain menyewa lesen dan permit peniaga tempatan, lelaki asing dari Pakistan dan Bangladesh mencari isteri rakyat tempatan demi memudahkan pendaftaran perniagaan, Taktik lain diguna ialah mencari rakan kongsi rakyat tempatan yang sanggup meminjamkan nama. Rakyat tempatan hanyalah proksi manakala warga asing adalah tauke sebenar.

Justeru, cadangan ini diutarakan. Satunya ialah gerak gempur secara besar-besaran oleh KDN, Jabatan Imigresen, PBT dan SSM di seluruh negara bagi mengesan pekerja asing yang salah guna permit kerja untuk berniaga.

SSM perlu mengetatkan pendaftaran perniagaan dan menapis teliti syarikat yang didaftarkan atas nama wanita selain perniagaan milik bersama rakyat asing dan rakyat tempatan.

Hukuman tegas kepada rakyat tempatan yang menyewakan premis, lesen dan permit kepada warga asing. Sekadar menyenaraihitamkan tidak berkesan lagi. Denda yang berat perlu dikenakan.

Tidak membenarkan warga asing bekerja di barisan hadapan di kedai hotel, restoran, kedai serbaneka sebagai juruwang, pelayan dan penyelia. Begitu juga di pasar pagi, kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan pelancong asing di Petaling Street, Bukit Bintang, Masjid India.

Pihak PBT di seluruh negara perlu menetapkan dengan jelas jenis perniagaan yang tidak boleh disertai warga asing. DBKL misalnya telah menggariskan syarikat asing mestilah daripada jenama antarabangsa dan mempunyai modal melebihi RM1 juta. Warga asing tidak dibenarkan membuka perniagaan runcit pasar mini, kedai komputer dan lain-lain lagi. Ini adalah satu contoh yang baik yang wajar jadi ikutan.

Memasang lebih banyak CCTV dan menempatkan anggota statik dan ronda PDRM, APM, Rela, Imigresen di kawasan Jalan Silang - Pasar Seni - Kota Raya -Pasar Seni - Pudu dan Bukit Bintang bagi memantau aktiviti warga asing khususnya ketika mereka berkumpul beramai-ramai ketika cuti umum.

Selain dapat mengesan premis perniagaan baharu warga asing dapat juga mengesan aktiviti tidak sihat lain.

Mengetatkan pemberian pas ekspatriat kepada warga asing khususnya dari negara Asia Selatan seperti Bangladesh, India dan Pakistan bagi mengelakkan mereka masuk dengan tujuan untuk berniaga semata-mata.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...