Jumaat, 2 Jun 2017

Amanah, UMNO Jalin Kerjasama Kritik PAS Isu Lembah Binjai Dakwa Exco.

Oleh : Harakah Daily

ISU projek Lembah Binjai di Kubang Kerian yang digegerkan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) rupa-rupanya tersembunyi agenda sulit mereka bersama Umno. 


Penduduk mendakwa ada kerjasama rapat antara kedua-dua parti tersebut bagi menghodohkan kerajaan negeri berkaitan cadangan pembangunan Lembah Binjai. 

Penghulu Mukim Mentuan, Abdullah Fikry Abdul Rahman mendedahkan kedua-dua pihak bergabung rapat bagi membesarkan isu tersebut. 

"Dalam isu ini gelagat pemimpin dan aktivis Amanah begitu terserlah sekali di mana mereka mencari setiap sudut bagi mencacatkan kerajaan negeri. 

“Umno pula mengambil peluang tampil bagi mengelirukan masyarakat memandangkan beberapa penduduk yang terlibat dengan projek tersebut merupakan ahli Umno," katanya di Kota Bharu hari ini. 

Baru-baru ini pemimpin Amanah Kelantan, Datuk Dr Abdul Halim Yusof mendakwa projek Lembah Binjai melibatkan penggunaan tanah seluas 494 ekar bagi pembangunan bandar pelancongan. 

Menurutnya kampung-kampung yang terlibat mempunyai kepadatan penduduk. 

Bagaimanapun anggota Exco kerajaan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood memberitahu projek pembangunan Lembah Binjai hanya melibatkan tanah di Zon A sahaja iaitu seluas 45 ekar. 

Abdullah berkata Amanah bekerjasama dengan orang Umno untuk mencemarkan imej kerajaan negeri. 

“Penduduk kampung diapi-apikan sehingga ada dalam kalangan mereka membuat laporan polis terhadap cadangan projek terbabit baru-baru ini. 

“Pemimpin Umno dan aktivis Amanah mengadakan pertemuan di rumah Abdul Rahman Awang Mat yang turut terlibat dengan projek Lembah Binjai,” ujarnya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...