Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 29 Jun 2017

Surat Terbuka Ahli DAP Untuk Amanah.

Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan pada September 2015. Sejarah bagaimana ia tertubuh, semua yang mengikuti perkembangan politik sudah tahu. Tak perlu saya catatkan lagi.
Kita dapat lihat bagaimana sukarnya sesebuah parti mahu dibentuk. Bukan setakat masalah teknikal sebaliknya yang lebih sukar ialah untuk mengumpul pengaruh dan kekuatan.
Apatah lagi, AMANAH bukan diketuai oleh tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bukan soal Abang Mat Sabu tak popular, tetapi keterampilannya berbanding bekas PM dan TPM tidak ada padanya. Namun, dalam politik, itu bukan syarat mandatori untuk sesebuah parti itu berjaya.
Namun, sedikit sebanyak ia penting bagi mewujudkan faktor yang boleh menarik perhatian dan sokongan orang ramai untuk menyertai AMANAH.
Justeru, pada aspek ini AMANAH tidak perlu bersaing atau dibandingkan dengan parti seperti PKR (dengan ketokohan Anwar) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan ketokohan Dr Mahathir atau Muhyiddin.
Maka, aspek apa yang sesuai bagi AMANAH untuk menapak kukuh dalam persaingan politik hari ini?
Apa perlunya hal ini dipersoalkan? Bukankah ini hal AMANAH? Kenapa saya sebagai ahli DAP menyibuk?
Hari ini AMANAH sudah tidak boleh memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara PAS dan Umno. Jika setahun atau enam bulan lalu, mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan pada masa hadapan, tidak boleh lagi.
Bergantung wala' dan retorik
Contoh terbaik, Anwar. Lebih 10 tahun imej Anwar sebagai mangsa kekejaman BN laku dijual atau berjaya mengolah sokongan rakyat. Tetapi hari ini, generasi yang lahir pada era 1990-an yang kini sudah layak mengundi, tidak dapat membeli imej tersebut.
Dr Mahathir bersama pembangkang pada hari ini, bukan kerana imej Anwar Ibrahim sebagai mangsa politiknya, tetapi sebab masalah korupsi kerajaan Umno Najib Razak. Ini relevennya.
Maka, aspek ini juga tidak boleh lagi digunakan oleh parti AMANAH. Lupakan. Hentikan retorik anda sebagai mangsa PAS demi memujuk sokongan rakyat.
Justeru apa lagi yang boleh diprojekkan untuk menarik sokongan buat AMANAH?
Dari gaya (trend) politik PAS hari ini, parti mereka hanya bergantung dengan wala’ ahli-ahlinya dan juga retorik Islam yang mesra regim kleptokrasi atau ringkasnya Islam Kleptokrasi ala PAS.
Bagi saya inilah kelemahan PAS yang boleh menjadi kekuatan bagi AMANAH jika dapat dirumuskan dengan lebih cermat.
Saya belum mendengar konsep politik AMANAH yang dikatakan Islamnya lebih progresif berbanding PAS. Saya tidak mengambil hujah-hujah di ceramahnya kerana ceramah lebih bersifat retorik. Sesiapa pun boleh beretorik jika hari-hari berlatih depan cermin.
AMANAH yang dikatakan membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif.
Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.
Mengapa AMANAH penting
Polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial. Polisi yang praktikal dan releven.
Saya belum dengar butiran ini dinyatakan secara jelas dan konsisten. Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh daripada politik intrik PAS.
Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat. Jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda.
Sebaliknya polisi ini harus menjadi zikir di setiap bibir pemimpin AMANAH dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.
Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.
Saya tidak tahu atau tidak mampu menjawab pertanyaan rakan-rakan, mengapa kita perlu berkawan dengan AMANAH dan mengapa ia penting.
Selain daripada jawapan dan hujah saya bahawa AMANAH menolak Umno, GST dan regim kleptokrasi Najib, saya tidak mampu memberikan jawapan yang lebih jelas dan apakah selling point untuk meyakinkan pengundi atas pagar di kalangan orang Cina dan Melayu agar menyokong AMANAH kuat-kuat.
Balik kepada soalan tadi - ini adalah hal parti AMANAH dan kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyibuk?
Naratif ini telah menjawab, mengapa saya "menyibuk" tentang hal parti AMANAH.
Dalam konteks Pakatan Harapan (HARAPAN) secara holistiknya, DAP, PKR atau BERSATU memerlukan wakil AMANAH yang kuat dan cukup untuk membentuk kerajaan baru. Tanpa kekuatan yang cukup, perimbangan politik dalam HARAPAN akan terganggu.
Maka, dasar-dasar parti AMANAH yang jelas dengan identiti politik yang jitu, sangat-sangat diperlukan ketika ini. Bukan untuk HARAPAN sahaja, sebaliknya untuk AMANAH sendiri, malah semestinya untuk para pengundi.
Tidak semua pengundi akan memangkah HARAPAN kerana kebencian mereka kepada Najib dan Umno, sebaliknya saya yakin, lebih ramai daripada mereka mengundi kerana suka dan yakin dengan dasar dan identiti serta matlamat parti politik itu. Pandangan saya tidak penting, yang penting identiti politik AMANAH harus lebih jelas.

Peralatan Radar Tentera Berteknologi Tinggi Bernilai Jutaan Ringgit Hilang Dari Tanjung Pelepas.

Peralatan radar tentera berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit yang perlu mendapat kelulusan khas daripada Putrajaya didapati hilang daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas, lapor portal Free Malaysia Today yang memetik laporan akhbar The Star

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Nor Hashim Mohamad mengesahkan laporan polis diterima mengenai perkara itu, manakala Penolong Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Paddy Abd Halim berkata jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut. Kehilangan barangan itu dikesan ketika pemeriksaan audit baru-baru ini. 
  
Ia tiba dalam sebuah kontena dari Australia tetapi menunggu permit khas.
Laporan itu turut memetik sumber kastam sebagai berkata peralatan itu tiba dalam sebuah kontena dari Australia bulan lalu, dan bakal menuju ke Belanda melalui Johor. 

Bagaimanapun, ia ditahan pihak kastam disebabkan ketiadaan permit khas dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010

Akta tersebut mewajibkan permit kementerian ke atas beberapa barangan “sensitif” termasuk barangan ketenteraan, bahan nuklear, kimia, toksin, di samping alat navigasi dan teknologi sensor. Ia dipercayai bagi mengelak peralatan seperti itu daripada jatuh ke tangan pengganas atau anasir ekstremis.

Surat Terbuka Zaid Untuk Nik Abduh Dan Air Asia.

Oleh : Zaid Ibrahim
Saya anggap Nik Abduh sebagai orang Islam yang sombong dan menganggap dirinya alim, dan orang lain jahil; satu penyakit lama dikalangan ahli PAS. Dia dengan sombong bertanya samada saya pernah berdoa. Isu ini timbul kerana dia tidak faham kandungan tweet saya tempoh hari mengenai tindakan juruterbang AirAsia. Sebenarnya ini tidaklah mengejutkan, kerana Nik Abduh juga tidak memahami 1MDB, satu perkara yang mudah dia fahami.
Ramai juga orang Islam yang menghentam saya kerana kenyataan saya mengenai juruterbang Air Asia yang meminta para penumpang membaca doa ketika mengalami kecemasan di Perth, baru-baru ini. Mereka yang menegur ini juga tidak faham apa yang saya katakan.
Nik Abduh dan penyokongnya kata saya larang membaca doa, atau tidak mahu berdoa. Itu silap sama sekali. Saya selalu berdoa dan bukan hanya semasa kecemasan. Bila enjin pesawat bergegar nak tercabut atau mengalami masalah, saya percaya semua penumpang telah pun berdoa melalui cara masing-masing ketika itu. Tak payahlah juruterbang menambahkan lagi kerisauan mereka. Penumpang yang rasa mereka akan mati mesti dengan sendirinya akan berdoa, dan Nik Abduh sendiri mengakui bahawa ini “lumrah maanusia”. Jadi apa pula perlunya juruterbang menambahkan lagi kebimbangan mereka. Untuk Pengurusi AirAsia, saya katakan disini isunya bukan apakah baik meminta “divine intervention” tetapi apakah wajar juruterbang meminta penumpang berbuat demikian.
Saya ada mengatakan bahawa juruterbang tak payahlah meminta penumpang membaca doa kerana tindakan itu boleh dianggap menunjukkan keadaan sudah tidak boleh diselamatkan. In juga boleh diertikan bahawa beliau tidak ada keyakinan untuk mengatasi masalah pada ketika itu. Bila juruterbang berbuat demikian meminta orang membaca doa, apakah perasaan orang di belakang dalam pesawat tersebut? Penumpang di belakang tidak tahu banyak hal dalam keadaaan itu, dan mereka hanya mengharapkan juruterbang memberi mereka keyakinan dan panduan. Apa perlunya menambah lagi beban kepada mereka.
Bukankah kerja dan tugas juruterbang ialah memberi harapan dan keyakinan kepada penumpang dan melakukan apa saja untuk menyelamatkan pesawat? Maut tidak sekali-kali harus melintas fikirannya. Itulah yang kita harapkan dari juruterbang AirAsia.
Katakan anda dibedah oleh seorang pakar jantung, tiba-tiba semasa pembedahan, dia terus meminta semua keluarga termasuk anda sendiri untuk membaca doa. Bukankah itu menunjukkan anda dalam keadaaan tenat dan mungkin mati? Apakah ini yang kita mahu dari juruterbang dan pakar bedah kita?
Nik Abduh membuat banyak tuduhan lain yang menghina saya dalam facebook beliau, dan saya tidak mudah lupa. Saya akan membuat tindakan susulan yang lain dimasa depan. Buat masa ini, saya sekali lagi menjelaskan, isunya bukan kita tidak boleh berdoa atau tidak wajar berdoa; tetapi mereka yang menjagga keselamatan penumpang ketika pesawat di udara usahlah memberi petanda yang membimbangkan semasa pesawat dalam keadaaan tenat.

Jumaat, 23 Jun 2017

Ini Bukti Hanya Pembangkang Je Lawan GST 60 Barangan Di Parlimen - MP BN Jadi Kayu..

Tiba-tiba Dato’ Seri Johari Ghani bayangkan MoF = Kementerian Kewangan adalah wira apabila bertindak membatalkan laju-laju pelaksanaan GST ke atas lebih dari 60 jenis barangan makanan asas ke atas pengguna.

Kenyataan itu boleh dipetik dari sesawang Bernama yang dilaporkan pada 20 Jun lepas.


Gambar - MiloSuam

"Item tersebut memang tidak sepatutnya dikenakan GST buat masa ini. Saya sudah beritahu pihak kastam setiap barang yang hendak dikenakan GST perlu dibawa ke peringkat kementerian kewangan dan kita akan bawa ke kabinet. Ia tidak boleh dikenakan (GST) tanpa kelulusan kabinet," katanya kepada pemberita.

TIDAK PATUT DIKENAKAN GST BUAT MASA INI - Inilah kenyataan Johari yang membayangkan bahawanya senarai barangan tersebut berkemungkinan besar akan dikenakan GST pada masa akan datang.

Selain itu tindakan Johari menyalahkan pihak kastam adalah bukti kementerian kewangan bersikap lepas tangan dan sedang cuba memperbodohkan rakyat Malaysia.

Semakan kami di sesawang rasmi Hansard Parlimen menemukan beberapa perkara menarik untuk dikongsikan kepada pembaca-pembaca blog kami.

Ini bukti MoF sendiri yang bawa usul pindaan;



"Kementerian kewangan akan mencadangkan.."

Ayat ini sahaja sudah membuktikan pindaan tentang GST 60 barangan adalah di bawah bidang kuasa MoF dan di bawah arahan kementerian terbabit.

Sebenarnya sebarang jenis pindaan ataupun perubahan mahupun usul berkaitan GST adalah di bawah kesedaran, pengetahuan mahupun kelulusan dari pihak Kementerian Kewangan terlebih dahulu sebelum lain-lain agensi kerajaan diberi hak kuatkuasa untuk melaksana. Cukai bukannya di bawah bidang kuasa kastam pun. Kastam ialah badan pelaksana sahaja.

Bukti MoF bahas laju-laju enggan beri penerangan lanjut..


Semakan juga mendapati Wong Chen, Kelana Jaya - PKR mempersoalkan tindakan kementerian kewangan yang membahas usul berkenaan laju-laju tanpa memberikan masa dan ruang kepada wakil rakyat untuk memahami usul berkenaan dengan jelas dan terperinci.

Untuk rekod, usul berkenaan dibawa oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Othman Aziz pada 4 April 2017 yang lepas.

Pokok Sena, Kapar bahas dan lawan




Semakan kami juga mendapati Ahli Parlimen Pembangkang seperti Mahfuz Omar - Pokok Sena dan Manivannan - Kapar bangkit mempersoalkan pelaksanaan GST ke atas barangan keperluan OKU dan makanan asas seperti mee, laksa dan roti serta lain-lain berkaitan.

Tiada rekod dalam Hansard Parlimen 4 April yang mencatatkan bantahan atau perbahasan dari mana-mana wakil rakyat Barisan Nasional yang mempersoalkan tentang pelaksanaan GST ke atas lebih dari 60 barangan makanan yang sering dibeli orang ramai.

Inilah bukti tepat betapa mereka sangat menjaga kepentingan poket sendiri berbanding memikirkan masalah rakyat kebanyakan. Fikir-fikirkan ini sebelum anda memangkah sebarangan di peti undi.

Kepada Kawanku Si Pemakan Dedak, Inilah Surat Terbuka Untuk Mu..

Oleh : Syed Saddiq

Kepada kawanku yang sudah pun tewas kerana nafsukan DEDAK, selamat maju jaya.
ARMADA PPBM bukan tempat untuk mereka yang mahukan duit atau pun kuasa.
Keluar lah kamu sebelum kami mentadbir negara.
Kita tidak perlukan mereka yang senang kecundang di tangan perasuah. Ada kebaikan disebalik pengkhianatan ini. The cleansing process begins.
Nak dedak, dipersilakan keluar.
Dulu mereka sendiri yang maklumkan kepada saya dan rakan2 yang lain bahawa "dedak dedak UMNO" telah pun ditawarkan pada mereka. Mungkin mereka ingat kami akan cuba tawarkan jumlah dedak yang lebih besar untuk mengekalkan mereka.
Minta maaf, BERSATU bukan tempat untuk penerima dedak.
Tidak sangka maruah begitu senang digadaikan untuk dedak UMNO.
To my ethical brothers in ARMADA PPBM, stay true to our struggle. This fight is more than ourselves, even bigger than our party. Perjuangan ini tidak lain tidak bukan untuk Negara tercinta, Malaysia.
Fight until the very end!

Khamis, 22 Jun 2017

GST Untuk Mee, Laksa, Ini Bukti Menteri Bentang Di Parlimen Bukannya Salah Kastam.

Oleh : Rafizi Ramli
GST KE ATAS 60 BARANG MAKANAN DIBENTANGKAN KEMENTERIAN KEWANGAN, KINI MENTERI CUCI TANGAN.
Saya terkejut membaca satu berita yang dilaporkan BERNAMA (dilaporkan kembali Malaysiakini di capaian http://www.malaysiakini.com/news/386158) yang memetik kenyataan Dato’ Seri Johari Ghani yang memberi gambaran keputusan menguatkuasakan kutipan GST ke atas 60 barang makanan adalah tindakan tergopoh gapah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang tidak dirujuk kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.
Saya bersimpati dengan Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta seluruh kakitangan jabatan yang dengan terang-terang dikambing hitamkan atas keputusan yang tidak popular itu.
Sedangkan usul untuk meluluskan cadangan mengenakan GST ke atas 60 barang makanan itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan sendiri di sessi Dewan Rakyat yang lalu. Saya ingat kerana saya berada di dalam Dewan Rakyat ketika Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Wira Othman Aziz bangun membentangkan usul tersebut.
Untuk makluman orang ramai, proses untuk mewartakan senarai barang baru yang dikenakan GST adalah seperti berikut:
i. Akta Akta Cukai Barang Dan Perkhidmatan 2014 melalui subseksyen 17(5), subseksyen 18(3), subseksyen 56(2), subseksyen 160(2), subseksyen 163(2) dan subseksyen lain memberi kuasa kepada Menteri Kewangan menukar kadar standard GST (dari 6% ke kadar-kadar lain) serta mewartakan senarai barang baru yang dikenakan GST setiap tahun
ii. Menteri Kewangan akan membawa usul ke Dewan Rakyat untuk meluluskan agar cadangan senarai baru yang hendak dikenakan GST itu diluluskan menjadi Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan; yang setelah diluluskan Dewan Rakyat menjadi kertas statut
iii. Setelah menjadi kertas statut, maka menjadi tanggungjawab Jabatan Kastam dan Eksais menguatkuasakan Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan itu melalui pewartaan dan melaksanakan kutipannya
Sebab itu, adalah tidak bertanggungjawab bagi Dato’ Seri Johari Ghani menyalahkan Jabatan Kastam dan Eksais sedangkan Kementerian Kewangan yang pandai-pandai membentangkan dan mendapat kelulusan untuk mencukai 60 barang makanan ini.
Perkara ini dapat disahkan melalui dokumen-dokumen rasmi Dewan Rakyat seperti berikut:
1. Usul oleh Menteri Kewangan untuk meluluskan cadangan mengenakan GST ke atas 60 barang makanan ini dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat bertarikh 4 April 2017 yang saya sertakan bersama.
2. Usul tersebut disenaraikan sebagai usul 6 yang berbunyi (rujuk Aturan Mesyuarat):
6. Menteri Kewangan akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan iaitu menurut kuasa yang ditetapkan padanya oleh subseksyen 17(5), subseksyen 18(3) dan subseksyen 56(2), subseksyen 160(2), subseksyen 163(2), Akta Cukai Barang Dan Perkhidmatan 2014 supaya Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan yang dibentangkan di hadapan majlis ini sebagai Kertas statut, bilangan ST.17/2017, ST.18/2017, ST.19/2017, ST.20/2017 dan ST.21/2017 disahkan.”
3. Usul ini dibentangkan oleh Dato’ Wira Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan seperti yang terkandung di dalam Hansard Dewan bertarikh 4 April 2017 yang disertakan bersama (rujuk mukasurat 209 Hansard Dewan yang mengesahkan Timbalan Menteri Kewangan membentangkan usul ini)
4. Timbalan Menteri Kewangan secara khusus menghuraikan mengenai barang-barang makanan yang akan dicukai seperti laksa kering, kue tiaw kering dan mi kuning kering seperti laporan Hansard Dewan di mukasurat 212 yang saya lampirkan bersama
Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan dan Dato’ Seri Johari Ghani sebagai Menteri Kewangan II perlu bertanggungjawab ke atas keputusan mengenakan GST kepada 60 barang makanan, walaupun ditarikh balik di saat akhir.
Adalah sangat tidak bertanggungjawab dengan mencuci tangan dan menyalahkan Jabatan Kastam dan Eksais setiap kali keputusan kerajaan mengutip GST dibantah rakyat, kerana keputusan mengutip GST itu datangnya dari Menteri Kewangan dan hanya dilaksanakan oleh Jabatan Kastam dan Eksais.
Saya mengesyorkan Dato’ Seri Johari Ghani meminta maaf kepada seluruh kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais di seluruh negara.

Rabu, 21 Jun 2017

Nak Raya Ni, DBKL Tolong Jangan Sita Barang Kami Rayu Peniaga.

Oleh : Fadli Salleh
Siapa friend dengan Dato Bandar Kuala Lumpur, menteri-menteri dan pengarah DBKL tolong panjangkan pada mereka hal ini.
DIGEMPUR TERUK! 😓. Teruk yang amat. Semalam operasi besar-besaran betul. Dari jam 9 malam hingga 2 pagi. DBKL dan polis berpadu tenaga. Mengepung setiap lorong-lorong di Jalan TAR dan sekitar.
Mereka di arah untuk menggempur Anak-Anak Lorong habis-habisan. Salah apa anak-anak muda ini?


Salahnya hanya berniaga tanpa permit. Mereka bukan sengaja nak berniaga secara 'rambo'. Mereka ada pohon permit, namun tidak diluluskan.
Semalam,banyak tong disita. Operasi semalam memang sangat menguji Anak-Anak Lorong 786. Berniaga dalam takut-takut. Silap langkah, dipegang dan dirampas semua jualan.
Tapi mereka terpaksa juga. Hari raya bakal menjelang. Baju raya anak isteri mesti dibeli. Duit poket untuk balik kampung lagi. Kos segala macam lagi. Semua perlukan duit.
Dan untuk dapatkan duit, mereka perlu berniaga!
Dato Bandar, Dato Menteri, dan pegawai-pegawai atasan sana. Tolonglah faham situasi kami peniaga air jalanan ini.
Kami tidak mencuri. Kami tak jual dadah. Kami sekadar jual air untuk menghilang dahaga pengunjung sahaja.
Ya, kami tahu kami salah berniaga tanpa permit. Tuan-tuan yang berkuasa dah tunjukkan kuasa kalian. Tuan-tuan dah tunjukkan pada semua rakyat ketegasan kalian. Tuan-tuan dah rampas banyak tong air dan troli kami.
Namun tuan-tuan, dalam diri manusia ada satu perasaan dipanggil empati dan simpati. Dalam diri setiap manusia ada sikap tolak ansur.
Bukan semua kesalahan perlu dihukum keras. Terkadang ada kesalahan boleh dimaafkan demi kepentingan yang lebih besar.
Sisi tegas tuan kami dah lihat. Seluruh negara dah lihat. Apa kata tuan-tuan tunjukkan dunia sisi tolak ansur tuan-tuan pula.
Tunjukkan dunia bahawa kalian pun ada sifat empati dan simpati. Tunjukkan pada Tuhan kalian pun masih hamba dan bergantung padaNYA.
Puasa berbaki 5 hari saja lagi.
5 hari sahaja lagi kami peniaga-peniaga air di Jalan TAR dan sekitar akan bertahan demi sesuap rezeki.
5 hari Dato Bandar. 5 hari Dato Menteri. 5 hari para pegawai atasan yang berpangkat tinggi.
5 hari ini mohon sangat kalian permudahkan urusan kami untuk berniaga.
5 hari ini mohon dengan sangat tong kami tidak lagi disita.
5 hari yang tinggal inilah tempoh yang tinggal untuk kami 'merempit' mencari rezeki untuk disuap pada anak isteri.
5 hari ini janganlah kacau kami. Tolonglah.
* Mudahkan urusan kami dan semoga Allah permudah urusan kalian.
* Jika ada sahabat friend dengan menteri, Dato Bandar atau pegawai berpangkat tinggi di DBKL, mohon tag mereka.
* Bagi muka la sikit kat aku.

Ego, Berlagak, Tak Ikhlas - Mohon Maaf Apa Macam Tu, Netizens Kritik Razman.

Post yang mengundang kemarahan Amanah terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria ialah tentang satu poster yang membayangkan Amanah adalah barua kepada DAP - dan AMANAH ditubuhkan kononnya atas arahan DAP seperti penubuhan PKM suatu ketika dahulu.


Pagi semalam, AMANAH yang diwakili oleh peguamnya Mohamed Hanipa Maidin telah memberikan masa selama 14 hari kepada Razman untuk memohon maaf kerana beliau dianggap membuat provokasi terhadap pemimpin parti berkenaan.
Menurut laporan Malaysiakini yang menghubungi Razman bagi mendapatkan maklum balas, Razman dikatakan membuat permohonan maaf melalui media itu. "Dah mereka terasa hati, kita minta maaf sajalah. Daripada pergi (ke mahkamah) membuang masa, minta maaf sajalah.
"Kalau dia (AMANAH) terasa hati dengan perkataan itu, sekurang-kurangnya dia tak sukalah perkataan itu, tetapi itulah hakikatnya.
"Tak apalah dia minta (permohanan maaf), itu proses saja," katanya seperti yang dipetik dari portal itu.
Razman bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan tentangnya di facebook beliau. Bagaimanapun respon Razman itu menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan penyokong-penyokong Amanah yang beranggapan Razman tidak ikhlas dalam permohonan maafnya itu.

Reaksi penyokong




Kebanyakan dari penyokong meluahkan perasaan marah kerana melihat Razman tidak bersungguh dalam membuat permohonan maaf malahan tidak kelihatan beliau seperti mengakui kesalahannya juga kata mereka.

Sesetengahnya pengomen pula ada yang membela Razman dan mengatakan Razman tidak mengaitkan Amanah dengan komunis sebaliknya poster perbandingan adalah merujuk  persamaan tentang perpecahan yang wujud disebabkan arahan sesetengah pihak.

Gambar atas kononnya merujuk penubuhan rejimen ke 10 bagi mempengaruhi melayu untuk mendekati fahaman komunis manakala gambar bawah membayangkan Lim Guan Eng adalah dalang disebalik penubuhan Amanah bagi memecahkan PAS dan menarik sokongan melayu ke arah parti DAP.

Menjelang PRU yang kami percaya akan diadakan awal tahun hadapan, lebih banyak poster berbaur perkauman, sentimen keagamaan dan kebencian akan bertebaran dan  disebarkan oleh pihak tertentu bagi menimbulkan ketakutan orang ramai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...