Rabu, 26 April 2017

Jentera Kami Kerja Percuma Yang Mengharapkan Pahala, Turun Rumah Ke Rumah Bukannya Guna Telefon Kata PAS Bidas Kajian Invoke.

Pas sama sekali tidak mempercayai kajian yang dilakukan oleh NGO, Invoke Malaysia, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. 

Logo Parti PAS
Menurutnya, daripada mempercayai kajian yang dibuat oleh badan luar itu , adalah lebih baik Pas mempercayai kajian dalaman yang dilakukan parti itu, lapor Sinar Harian.

“Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) seorang yang tidak boleh dipercayai, sudah banyak penipuan yang di buat. Begitu juga, Invoke Malaysia, bukan pusat kajian yang boleh dipercayai.

“Pas pun ada kajian sendiri, kita ada tiga pusat kajian. Tapi, kita buat untuk maklumat dalaman, bukan untuk hebahan umum,” ujarnya, memetik laporan portal itu.

Mohd Khairuddin berkata, kajian dilakukan Pas adalah strategi parti bagi memastikan parti Islam itu menang pada setiap kerusi yang ditandingi. 

“Oleh sebab itu, kita tak hebah kajian kerana kita buat strategi berdasarkan kajian itu. Malah, kajian jentera Pas lebih telus, mereka turun padang pergi rumah ke rumah.

“Kita ada jentera tidak bergaji, yang hanya mengharapkan pahala dan kajian kita paling lengkap hingga ke akar umbi, berbanding kaji selidik guna telefon. 

“Kita yakin Pas boleh menang meskipun Amanah akan bertanding menyebabkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang. Insya-ALLAH Pas masih boleh menang kerusi yang banyak,” katanya.  

Mengulas lanjut, beliau berkata, keyakinan Pas juga didorong sokongan rakyat setelah Pas tidak lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. 

“Rakyat sudah bersama Pas, orang Islam terutamanya bersama dengan Pas,” katanya lagi seperti dalam laporan itu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...