Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 31 Julai 2014

PAS Bakal Hilang Kuasa Di Selangor Jika Masih Sokong Khalid Kata DAP.


DAP berharap agar PAS akan mengutamakan semangat Pakatan Rakyat (PR) untuk mengotakan janji-janji kepada rakyat Selangor, daripada bertikam lidah tentang krisis Menteri Besar yang melanda negeri itu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata sokongan PAS untuk mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor akan menyebabkan parti itu dilenyapkan sepenuhnya dari negeri itu.

"Sekiranya PKR dan DAP mahu Abdul Khalid digantikan tetapi PAS inginkan Abdul Khalid mengekalkan jawatannya, exco kerajaan negeri tidak akan berfungsi lagi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terbahagi dua tanpa majoriti yang jelas.

"Dalam situasi sebegini, Abdul Khalid mungkin akan mendapat kebenaran daripada Sultan Selangor untuk mengadakan pilihan raya mengejut.

"Sekiranya ini berlaku, maka semua parti PR akan rugi. Kita terpaksa menanggung kerugian yang besar, tetapi tidak ada pihak akan mengalami kerugian yang lebih daripada PAS," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pua yang mengaku bahawa PR mengalami kekurangan keyakinan yang besar ekoran krisis Menteri Besar, desakan PAS untuk menyokong Abdul Khalid akan mendorong kepada pilihan raya mengejut, yang akhirnya akan menyebabkan PAS kalah besar, ataupun kalah semua kerusi yang dimenanginya dengan susah payah.

Pua turut berkata, ini kemungkinan besar hanya akan mengembalikan semula Selangor kepada Umno.

"Kalau PKR dan DAP hilang tiga peratus undi Melayu dan 10 peratus undi bukan Melayu, tujuh daripada 30 kerusi DUN akan hilang termasuk Batu Tiga, Ijok, Kota Anggerik, Taman Medan dan Pelabuhan Klang, manakala DAP akan hilang kerusi Kuala Kubu Baru dan Sungai Pelek.

"Dengan itu, PKR akan hanya tinggal 10 kerusi dan DAP 13 kerusi.

"Walau bagaimanapun, dalam satu situasi optimistik di mana PAS tidak hilang sokongan Melayu dan hilang 15 peratus sokongan bukan Melayu, parti itu juga akan hilang tujuh daripada 15 kerusi DUN yang dimenanginya semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Kerusi DUN terbabit adalah Sabak, Gombak Setia, Dusun Tua, Selat Kajang, Sijangkang, Morib dan Tanjong Sepat," jelasnya.

Pua berkata jika undi bukan Melayu terhadap PAS jatuh sebanyak 25 peratus, PAS akan turut hilang kerusi Taman Templer, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Seri Serdang dan Paya Jaras, menyebabkannya hanya tinggal tiga kerusi sahaja.

"Kerusi di Chempaka, Bangi, dan Meru juga masih dianggap tidak selamat. Jika undi Melayu merosot lima peratus dan undi bukan Melayu menurun sebanyak 30 peratus, PAS akan dilenyapkan dari Selangor.

"Melihat kepada senario di atas, amat sukar untuk PR mempertahankan kuasa mereka di Selangor.

"Kemenangan besar akan menjadi milik Umno apabila dapat mengembalikan semula 30 kerusi dalam DUN," katanya.

Ekoran 'Langkah Kajang', PKR telah mencadangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon untuk menggantikan Abdul Khalid.

Menurut PKR, ketiga-tiga parti PR telah menyokong cadangan pencalonan Wan Azizah.

Namun, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas presiden PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kemudiannya berkata Abdul Khalid harus dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor. - Awani -

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...