Khamis, 6 Julai 2017

Isu Perdagangan Karbon Di Kelantan, Ini Penjelasan Dari Menteri Besar.

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN BERKAITAN PERDAGANGAN KARBON DI KELANTAN
Inisiatif Perdagangan Karbon adalah merupakan satu mekanisme insentif yang amat baik dalam usaha menggalakkan negara-negara membangun mengurangkan kadar pelepasan Green House Gas (GHG) daripada aktiviti penyahhutanan dan kemerosotan hutan serta meningkatkan kadar penyerapan GHG daripada aktiviti pengurusan hutan secara berkekalan.
Inisiatif insentif ini juga dapat meningkatkan program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di negeri Kelantan yang berfungsi dalam mengawal kestabilan alam sekitar, menjamin air bersih dan keberkekalan kepelbagaian biologi. Seterusnya secara tidak langsung inisiatif program ini dapat memberi pulangan hasil kepada pembangunan negeri Kelantan.
Untuk merealisasikan hasrat tersebut, maka pihak kerajaan negeri Kelantan telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. pada 9 januari 2017 yang lalu. Pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan tempoh selama 24 bulan atau 2 tahun sebagaimana tertera dalam dokumen perjanjian untuk dilakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh para saintis bertauliah bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri. Fasa pelaksanaan seterusnya adalah bergantung kepada tempoh kajian ini dengan melihat kepada keupayaan syarikat mengendalikan projek terbabit.
Dalam tempoh kajian dan semakan semula ini juga, pihak kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan pihak ketiga daripada institusi kewangan yang berwibawa ke atas perjalanan urusniaga yang akan dilaksanakan oleh Syarikat bagi memastikan urusniaga ini sah dari segi perundangan tempatan dan antarabangsa. Ini termasuklah dengan mengadakan perbincangan dengan mana-mana institusi atau negara yang sedang atau telah melaksanakan projek REDD ini. Pihak kerajaan negeri juga mengambil kira pandangan daripada YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam hal ini.
Terdapat dakwaan bahawa kerajaan negeri mengutip wang haram dalam mengendalikan program ini sebagaimana yang disebarkan melalui media sosial. Kerajaan negeri membuat penegasan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan atau meminta Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. atau mana-mana syarikat mengutip wang untuk melaksanakan projek karbon trading tersebut.
Kerajaan negeri amat mengharapkan kepada sesiapa yang ada membuat apa jua bayaran agar dapat membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berwajib.
*USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB*
*(DATO’ BENTARA KANAN)*
Menteri Besar Kelantan

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...