Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.
Memaparkan catatan dengan label Blog Chedet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Blog Chedet. Papar semua catatan

Jumaat, 6 September 2019

Sampai Sekarang Melayu Tak Sedar, Enggan Bekerja & Terus Miskin - Tun Mahathir.

TUN MAHATHIR @ CHEDET.CC |TAK BEKERJA
1. Semasa saya berumur belasan tahun, saya dapat perhatikan keadaan di Alor Star. Masa itu Negeri-Negeri Melayu sedang dijajah oleh British. Negeri-Negeri Melayu terima baik penjajahan British.


2. Yang tidak dapat dinafi ialah British membawa sistem Pemerintahan yang lebih baik dan Negeri-Negeri mengalami sedikit sebanyak pembangunan.

3. British membuka ladang-ladang getah dan lombong bijih timah. Yang anehnya tidak ada orang Melayu yang bekerja dalam ladang dan lombong ini. Pekerja terdiri dari orang India dan Cina. Perniagaan kedai runcit dan aneka jenis tukang-tukang semuanya terdiri dari orang Cina.

4. Dimanakah orang Melayu? Mereka bekerja dalam sawah padi mereka, dan ada sedikit yang menjadi nelayan. Sebilangan kecil dari mereka bekerja dengan Kerajaan sebagai kerani. Lebih kecil lagi ialah bilangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan. Mereka ini semua berbangga kerana dibayar gaji tetap dan pencen.

5. Yang tidak terdapat ialah orang Melayu yang berniaga atau bekerja sebagai buruh kasar. Orang Melayu pandang hina bidang-bidang ini.

6. Oleh kerana sikap ini tidak terdapat ramai orang Melayu yang tinggal di bandar-bandar. Pada masa itu pun bandar-bandar didiri dan dipenuhi dengan kedai Cina. Tidak ada kedai Melayu. Ada beberapa buah kedai makan dan rempah cabai orang India.

7. Raja-Raja Melayu tidak iktiraf orang Cina dan India sebagai rakyat. Kepercayaan mereka ialah orang ini, akan kembali ke Negara masing-masing apabila khidmat mereka tidak diperlu lagi.

8. Orang Cina biasanya berhijrah ke Negara lain jika mereka nampak peluang mencari makan. Mereka berhijrah ke Amerika dan Australia dan ke Negara-Negara jajahan British. Melihat kestabilan pemerintahan British dan peluang kerja, mereka datang dengan ramai ke Negeri-Negeri Melayu. Mereka sanggup bekerja keras. Dikenali sebagai kuli mereka sanggup buat kerja kotor, kerja berat dan merbahaya. Mereka sanggup menarik “langca”, dan apa sahaja yang memberi pendapatan kepada mereka. Ramai perempuan Cina yang menjadi “amah” di rumah pembesar Melayu, menjaga anak dan membersih rumah.

9. Orang Melayu berasa senang kerana kerja berat, kotor dan berbahaya serta perniagaan dilakukan oleh orang asing. Jika mereka lihat kekayaan dan kemajuan orang asing ini, mereka tidak berasa khuatir sedikit pun. Kepercayaan mereka ialah Negeri mereka kekal sebagai milik mereka. Itu yang saya lihat. Semasa saya muda di zaman British timbul keinginan melihat orang Melayu berniaga juga. Di Alor Star dibina Pekan Rabu, pekan sari dimana orang kampung boleh menjual sedikit sebanyak pisang dan buah-buahan bakul dan raga anyaman mereka. Perniagaan mereka tidak menjadi besar. Mereka berniaga secara sambilan. Mereka tidak berniat pun untuk membesar perniagaan. Setakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itu sahaja.

10. Tetapi anggapan mereka meleset. Kerana mereka tidak sanggup bekerja kuat, tidak sanggup berniaga secara serius mereka terus miskin. Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Ini sudah ditakdir. Tak perlu buat apa-apa.

11. Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja. Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing. Dan orang asing pun membanjiri Negara kita. Tujuh juta orang asing masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu. Tentulah apa yang sudah jadi dahulu kepada Negara dan orang Melayu, yang akan terus jadi. Ada yang dakwa orang Melayu adalah Tuan. Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain, Tuankah.

12. Nasib kita di tangan kita. Memarahi orang lain tak akan menyelesai masalah kita. Bilangan kita dikatakan bertambah. Tetapi jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya.

Rabu, 24 Julai 2019

Video Intim : PM Tak Rela Diperalatkan Untuk Singkir Azmin.

Tun Mahathir | 1. Saya sering ditanya berkenaan video lucah.

Ummi mengecam Tun Mahathir

2. Video ini dibuat dan diviral jelas untuk tujuan politik. Khusus untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu.

3. Tindakan yang diharap menyusul tayangan ini ialah penyingkiran individu yang disasar.

4. Tindakan ini boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa.

5. Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini.

6. Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk dari mengintip.

7. Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor.

8. Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik.

Jumaat, 21 September 2018

Dan Inilah Sebab-Sebabnya Saya Melawan PAS - Mahathir Mohamed.

Tun Mahathir | 1. Orang PAS amat marah kepada saya. Selain dari mendakwa saya kafir, penyokong PAS tidak langsung sanggup mendengar kritik saya terhadap PAS. Saya percaya sebarang pendapat saya tidak akan dibaca oleh orang PAS termasuklah rencana ini. Tetapi saya harap mereka yang tidak fanatik terhadap PAS akan baca. Terpulanglah kepada pembaca samada menerima atau menolak pendapat saya.


2. Sesungguhnya orang Melayu dahulu tidak bermasalah berkenaan pegangan mereka kepada agama Islam yang semua mereka anuti. Mereka semuanya berpegang kepada tafsiran dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) dan berimam dengan Imam Shafie.

3. Mereka juga tidak menolak ajaran tiga lagi Imam Sunni, iaitu Maliki, Hambali dan Hanafi.

4. Oleh kerana semua orang percaya dan pegang kepada ajaran dan tafsiran yang sama, mereka tidak berpecah dan berpuak-puak. Sudah tentu mereka tidak bermusuh sesama mereka seperti yang berlaku antara Sunni dan Syiah di beberapa negara Islam. Di banyak negara Islam permusuhan disebabkan tafsiran yang berlainan berlaku sepanjang masa sehingga mereka berpuak-puak dan kerapkali mereka berperang pun.

5. Tetapi di Malaysia, walaupun dahulu ada ajaran yang berlainan, umpamanya kaum muda dan kaum tua, kumpulan Hj. Ahmad Matahari, dan lain-lain, tetapi tidaklah sampai kepada permusuhan dan perpecahan yang teruk. Sesungguhnya orang Melayu Islam bersaudara dan mengamalkan ajaran Islam yang sama. Mereka bersatu padu sebagai orang Islam sehingga bangsa Melayu dikaitkan dengan agama Islam. Dalam perlembagaan pun tafsiran orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, beradat istiadat Melayu dan beragama Islam. Jika seseorang itu tidak Islam maka ia tidaklah Melayu, walaupun bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu.

6. Keadaan persaudaraan orang Melayu Islam ini kukuh sehingga dengan mudah mereka bersatu padu diwaktu menentang rancangan British untuk menakluk negeri-negeri Melayu secara langsung melalui Malayan Union. Demikianlah rapatnya perpaduan orang Melayu sehingga British yang baru sahaja menang perang, terpaksa tunduk kepada tuntutan orang Melayu. British mengakui kekuatan orang Melayu dan mengiktiraf parti yang mengalahkan Malayan Union dengan memberi hak kepada pemimpin mereka, Tunku Abdul Rahman menamakan calon-calon badan perundangan seperti Federal Legislative Council dan State Council (Dewan Undangan Negeri-negeri) dalam Persekutuan Tanah Melayu yang mengganti Malayan Union pada 1948.

7. Dalam parti UMNO pada masa itu terdapat semua aktivis Melayu dari yang berpelajaran Melayu, Inggeris dan yang berpelajaran agama. Mereka yang berpelajaran agama dikenali sebagai “ulama UMNO”.

8. Apabila British memberi hak kepada Tunku Abdul Rahman, Yang DiPertua UMNO menamakan calon, Tunku telah pilih pemimpin UMNO yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Hampir semua dari mereka ini berpelajaran Inggeris. Yang berpelajaran agama, “ulama” hampir tidak dipilih sama sekali.

9. Maka kecewalah pemimpin yang berlatar belakang agama. Hasilnya ialah desakan untuk keluar UMNO dan menubuh Pan Malayan Islamic Parti (PMIP). Kemudian namanya dialih kepada PAS, Parti Islam SeMalaya.

10. Orang Melayu semuanya memang kuat pegangan mereka kepada agama Islam. PAS berharap dengan kaitan parti kepada agama Islam maka akan berjayalah PAS dalam pilihan raya.

11. British mencadang diadakan PRU pada 1955 untuk 52 dari 98 kerusi Federal Legislative Council. Bantahan oleh UMNO supaya semua 98 kerusi ditandingi ditolak. Pendapat British ialah tidak mungkin mana-mana parti memenangi lebih dari separuh, iaitu 50, untuk mengambil alih Kerajaan dari British.

12. Dalam PRU itu isu utama ialah kemerdekaan. Sementara UMNO dalam Perikatan tuntut kemerdekaan selepas PRU, PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan.

13. Hasilnya ialah kemenangan besar Perikatan. Dengan Perikatan mendapat 51 kerusi, British terpaksa beri kepada Perikatan, pimpinan Tunku Abdul Rahman, home rule atau Pemerintahan Dalaman. Hanya Kementerian Luar dan Pertahanan sahaja dikuasai oleh British. Maka bermulalah perjuangan untuk kemerdekaan secara bersungguh-sungguh.

14. PAS memenangi hanya satu kerusi. Jelas penolakan kemerdekaan merugi PAS. Maka bermulalah Agama Islam diperalatkan sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu.

15. PAS mendakwa bahawa orang yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir. Oleh kerana UMNO bekerjasama dengan orang Cina (Buddhist) dan India (Hindu) dalam Perikatan, maka PAS mendakwa orang UMNO tidak Islam, orang UMNO kafir.

16. Akibatnya ialah orang Melayu bukan PAS yang semuanya beragama Islam dan mengikut ajaran yang sama, iaitu ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah, berimam dengan Imam Shafie, tiba-tiba dikafirkan. Perpecahan yang teruk dan mendalam berlaku.

17. Orang PAS tidak pun boleh bersama dengan orang UMNO, kenduri orang UMNO diboikot oleh orang PAS. Perkahwinan antara orang PAS dan UMNO tidak boleh diadakan. Mereka tidak boleh sembahyang bersama, tidak boleh diimamkan dengan imam yang sama. PAS sembahyang dengan lain imam di masjid dan mendirikan masjid berasingan dari orang UMNO.

18. Ada juga yang berpendapat perkahwinan ibu bapa mereka tidak sah dan ibu bapa mereka yang tidak jadi ahli PAS adalah kafir.

19. Kemudian Hj Hadi sebagai seorang dari pemimpin PAS telah mengeluarkan “Amanat” yang secara langsung mendakwa bahawa pemerintahan Barisan Nasional pimpinan UMNO adalah kafir. Pejuang-pejuang yang melawan Kerajaan UMNO/BN, jika mati, mereka mati syahid.

20. Dengan kepercayaan kepada amanat Hadi, pengikut Ibrahim Libya telah serang dan membunuh empat orang anggota polis. Dalam pertempuran antara polis dan pengikut Ibrahim Libya, 14 orang pengikutnya dan dia sendiri terbunuh.

21. Maka PAS pun dakwa pengikut Ibrahim yang mati adalah syahid. Mereka dikebumi sebagai syahid tanpa dimandi.

22. Adalah jelas bahawa PAS memecah belah orang Melayu Islam dengan amat mendalam. Sehingga ke hari ini masih ada sembahyang berjemaah berasingan di masjid yang sama.

23. Tiada ada ulama di Malaysia yang berani mendakwa bahawa pengkafiran orang bukan PAS adalah salah dan tidak menepati ajaran Islam. Pegawai-pegawai pemerintah yang bertanggungjawab berkenaan agama Islam juga membisu seribu bahasa.

24. Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaaf. Sebelum adanya PAS orang Melayu tidak berpecah kerana agama. Hanya apabila PAS ditubuh barulah orang Melayu berpecah dan terpisah kepada dua puak yang bermusuh ketat. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu. Demikianlah kelemahan orang Melayu sehingga PAS juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang kafir. Tetapi apabila PAS bekerjasama dengan parti kafir, PAS dakwa mereka tidak jadi kafir. Sebab kononnya, kerana kerjasama PAS dengan orang kafir adalah “Tahaluf Siyasi”. Apa dianya Tahaluf Siyasi jika diterjemah ke bahasa Melayu. Maknanya ialah “Kerjasama politik” dan ini adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC. Jelaslah bahawa Bahasa Arab (Bahasa Quran) diguna untuk mengIslamkan kerjasama PAS dan orang kafir.

25. Dikalangan ahli PAS, penerimaan ajaran pemimpin dan parti lebih utama dari ajaran Islam. Sebab itu walaupun Al Quran menyebut bahawa orang Islam itu bersaudara, ahli PAS sanggup bermusuh dengan orang Islam lain kerana ajaran oleh pemimpin PAS. Kerana sikap inilah orang Islam (Melayu) di Malaysia berpecah sehingga sekarang. Bukan Islam yang memecah orang Melayu tetapi politik PAS yang membawa perpecahan kepada mereka.

26. Walaupun sebahagian dari ahli PAS sudah tinggal PAS tetapi ramai dari ahli PAS yang masih taksub dengan PAS dan ajarannya. Dan perpecahan yang mendalam dikalangan orang Melayu adalah berterusan. Dia akan berterusan selagi PAS menyalahtafsir dan menyalahguna ajaran Islam.

27. Inilah sebabnya yang saya tentang PAS.

Selasa, 17 Julai 2018

Tak Mahu Proton 2.0? Lupakanlah Sahaja Wawasan 2020 - Ini Luahan Sayu Mahathir.

Oleh : Chedet.cc / Mahathir Mohammad
1. Saya diberitahu bahawa tidak ada siapa yang ingin lihat kereta nasional kedua. Cukuplah dengan Proton yang dikatakan gagal.




2. Kita tidak layak dan tidak mampu mengada industri otomotif. Rakyat Malaysia lebih rela beli kereta import, termasuk dari Negara China. Pilihan mereka ialah kereta Jepun, dan yang ada banyak duit kereta Jerman.

3. Saya masih ingat kereta Jepun sejurus selepas perang. Kata pengguna kalau kita toreh dengan kuku, kita akan lihat tin Milo. Tetapi dari kereta tin Milo inilah datang aneka model Toyota, Nissan dan Suzuki yang kita guna sekarang.

4. Demikian juga kereta Pony buatan Hyundai. Masa berlalu dan keluaran kereta Jepun dan Korea semakin baik. Demikian di pasaran hilang kereta Austin, Morris dan lain-lain dari Eropah.

5. Tentulah ini tidak akan berlaku dengan Malaysia. Kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya.

6. Kita tidak cadang membuat kereta nasional kedua oleh Kerajaan. Swasta kita sudah mampu reka bentuk, buat model tanah liat, model ujian dan mengeluar secara besar-besaran kereta bermotor. Tetapi kerana awal-awal lagi kita sudah tolak cadangan kereta nasional kedua, maka kita akan halang segala cadangan untuk mengeluar kereta bermotor oleh swasta. Sudah tentu Kerajaan tidak akan ada industri otomotif milik Kerajaan.

7. Kita akan beli kereta yang diimport. Jika kita pergi ke negara pembuat kereta seperti Jepun, Korea kita tidak akan lihat kereta yang bukan buatan negara mereka. Di Jepun kereta Jepun, di Korea kereta Korea. Kenapa?

8. Kerana mereka tidak benar kereta asing diimport. Hasilnya kualiti kereta mereka meningkat. Dan mereka mengeksport bermillion kereta mereka. Mata wang asing pun mengalir dengan banyaknya ke negara mereka.

9. Pekerja mereka mendapat kerja dan hidup mewah. Ekonomi mereka tumbuh sehingga mereka menjadi negara maju. Industri kejuruteraan mereka maju dan mampu membantu industri kejuruteraan yang lain.

10. Tetapi tidak di Malaysia. Apa juga jenis kereta, dari mana negara, berkualiti baik atau jenis tin Milo boleh masuk Malaysia. Dikeluar oleh syarikat gergasi, mereka membolot pasar kereta Malaysia sehingga tertimbuslah Proton. Akhirnya Proton dijual kepada orang asing. Tidak ada kereta nasional lagi. Tidak ada industri otomotif lagi. Pekerja, engineer, pengurus pun tidak punyai kerja lagi. Segala-galanya merosot.

11. Malaysia menjadi negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan.

12. Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat.

13. Lupakanlah sahaja Wawasan 2020.

Khamis, 12 April 2018

Inilah Cara-Cara Penipuan Yang Akan Dilakukan Oleh Najib Dalam #GE14 - Mahathir Mohammad.

Oleh : Chedet.cc / Tun Mahathir Mohammad.

1. Najib berada dalam keadaan cemas. Sentimen rakyat 90% menolak Najib. Mereka tidak akan undi BN dalam PRU 14.

2. Oleh itu sudah ternampak penipuan yang dilakukan dan akan dilakukan oleh Najib.

3. Demikianlah dunia percaya Najib akan tipu sehingga “The Economist” U.K. telah siar berita bertajuk Najib akan curi PRU 14 di Malaysia.

4. Apakah jenis penipuan yang sedang dilakukan oleh Najib. Saya senarai dibawah penipuannya.



i. Senarai pengundi sudah diubah sehingga 4 juta tidak ada alamat yang penuh.

ii. Beratus pengundi mempunyai nama yang sama, umur sama tetapi tinggal di negeri-negeri berlainan.

iii. Hingga 70 pengundi memiliki alamat yang sama – iaitu tinggal di satu rumah – walaupun berlainan kaum. Apabila diselidik terdapat hanya 2 orang di rumah itu.

iiii. Pengundi pos dan pengundi awal bertambah hingga 1 juta. Cara mengundi pos tidak jelas dan terbuka untuk penipuan. Peti undi boleh disembunyi dari pemerhati parti lawan. Besar kemungkinan kertas undi ditambah.

v. Sempadan kawasan pilihanraya diubah supaya kaum-kaum diasingkan. Kononnya Melayu mudah disogok supaya mengundi BN. Mengikut Najib orang Cina sukar disogok. Ini dilihat dalam PRU 13.

vi. Pengundi terutama kakitangan Kerajaan ditakutkan dengan dakwaan kononnya Najib tahu siapa undi siapa. Pegawai dan kakitangan Kerajaan diberi amaran oleh Najib sendiri bahawa mereka mesti undi BN atau tindakan akan diambil terhadap mereka. Sebenarnya tiada siapa yang akan tahu siapa undi siapa apabila perkiraan dibuat.

vii. Bantuan wang kepada parti lawan disekat dengan tindakan oleh LHDN dan MACC menambah cukai atau membeku wang di bank supaya perniagaan tidak dapat diteruskan.

viii. Semua kawan-kawan pemimpin parti lawan ditegah berdekat dengan pimpinan parti lawan. Maka pemimpin parti lawan kehilangan semua kawan. Sudah tentu mereka tidak boleh bantu P.H. Kontrak mereka, perniagaan mereka, hutang bank mereka akan dihentikan jika masih berjumpa pemimpin parti lawan. Tindakan-tindakan ini menentukan parti lawan tidak ada kewangan yang diperlukan untuk biayai pilihanraya. Sebaliknya Najib memiliki banyak duit yang diselewengkan dari 1MDB dan lain-lain dana Kerajaan.

ix. Sogokan wang dan barangan kepada bakal pengundi dibuat secara terbuka oleh Najib dan UMNO sebab polis atau MACC tidak dibenar oleh Najib mengambil tindakan undang-undang.

x. Tempat mengundi ditukar tanpa diberitahu pengundi supaya apabila mereka pergi ke tempat mengundi biasa nama mereka tidak ada disitu. Tempat undi mereka dipindah jauh dari tempat tinggal pengundi. Dengan itu mereka tidak dapat mengundi. Hak mereka dicabul.

xi. Daftar pengundi baru disembunyi daripada parti lawan sehingga tidak dapat parti lawan berkempen dikalangan mereka.

xii. Pada kebiasaannya parti politik yang baru ditubuh didaftar oleh Pendaftar Pertubuhan dengan segera. Tetapi permohonan gabungan parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan tidak dijawab setelah sembilan bulan berlalu. Keadaan tidak menentu ini meletak Pakatan Harapan dalam keadaan serba salah. P.H. tidak dapat membuat persiapan sebagai sebuah parti dengan mengguna satu logo dan satu simbol baginya. Jika diketahui P.H. tidak akan didaftar maka parti-parti dalam P.H. perlu guna 4 simbol sendiri. Ini akan mengelirukan pengundi berkenaan yang manakah simbol bagi parti-parti lawan yang bergabung dalam P.H.

xiii. Kononnya P.H. tidak dilulus pendaftarannya ialah kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah tidak mengikut perlembagaannya. Ini disebut dalam ucapan ROS tetapi tidak disampaikan secara bertulis kepada PPBM. PPBM tidak dapat perbetulkan kesalahannya untuk mendapat kelulusan ROS. Arahan mahkamah kepada ROS untuk jawab surat PPBM hanya menghasil surat dari ROS meminta tambahan maklumat yang sudahpun lama diberi oleh PPBM. Di antara sebab-sebab yang banyak ialah kerana mesyuarat agung PPBM tidak mengikut perlembagaan. PPBM mesti adakan mesyuarat cawangan dahulu. PPBM parti baru dan belum ada cawangan jauh sekali mengadakan cawangan yang disahkan oleh ROS. PPBM hanya dapat tubuh bahagian dan tidak semua diluluskan oleh ROS. Sebab itu PPBM terpaksa mengadakan mesyuarat agung PPBM dengan dihadiri oleh wakil bahagian yang dilulus sahaja. Ternampak jelas ROS hendak cari salah supaya P.H. tidak didaftar. Sekarang ROS telah bubar sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia supaya tidak boleh bertanding dalam pilihanraya. Bermacam syarat dikenakan termasuk ditegah pamer gambar pengerusinya. Pembubaran selama 30 hari didapati sama dengan pilihanraya. Niat jahat Kerajaan dan ROS amat jelas.

Undi Pos.

5. Peraturan mengundi pos tidak jelas. Pengundi boleh undi di rumah dan hantar undinya kepada SPR. Tidak ada polling agen parti pembangkang mengawasi pengundi atau sesiapa lain semasa mengundi. Parti lawan tidak dapat mengetahui siapa yang mengundi, ke mana undi itu dihantar, siapa yang menyimpannya, di mana peti undi (jika ada) disimpan.

6. Pengundi pos juga disenarai dalam senarai pengundi biasa dan boleh mengundi secara biasa. Besar kemungkinan pengundi undi dua kali. Juga undi mungkin tidak dapat dirahsiakan; yang mana ini mendedahkan kepada ugutan tindakan tertentu oleh Kerajaan.

7. Amatlah jelas proses PRU 14 akan dipenuhi dengan aneka jenis penipuan oleh Najib. Ia tidak akan bersih. Benarlah Najib akan mencuri PRU ke -14.

8. Namun penipuan ini boleh dibantut oleh rakyat dengan keluar mengundi lebih dari 85% pengundi dalam tiap-tiap kawasan pilihanraya.

9. Dan sekarang hari mengundi ditetapkan pada hari Rabu, hari bekerja. Ini satu lagi cara Najib untuk sekat rakyat dari mengundi. Ya, semasa saya PM pernah hari mengundi ditentukan pada hari Isnin. Tetap diberi cuti pada hari itu.

10. Jangan takut.

11. Undi biasa di tempat mengundi adalah rahsia. Jika kelebihan mengatasi 10,000 bagi P.H., undi pos tidak akan mencukupi untuk disumbat ke dalam peti undi.

12. Jika disogok – ambil sahaja wang dan hadiah. Wang dan hadiah ini datang dari wang pengundi sebagai rakyat yang dicuri oleh Najib.

13. Pengundi tidak perlu terima kasih kepada Najib atau mengundi BN.

14. Jika disuruh bersumpah, bersumpahlah. Tetapi buat niat lain – niat untuk menolong P.H. Niat lebih diterima dari sumpah paksa yang dilafaz.

Ahad, 1 April 2018

Rogol Perlu 4 Saksi, Adilkah? Inilah Hudud PAS Kata Mahathir.

Oleh : Chedet.cc / Mahathir

1. Bukan sahaja saya terlalu tua untuk jadi Perdana Menteri, sekarang saya diberitahu saya tidak layak kerana pemikiran Islam saya tidak betul.

2. Kenapa tidak betul? Kerana rekod-rekod saya tidak mempunyai kefahaman Islam yang betul berasas pada sebutan oleh Almarhum Datuk Dr Harun Din. Saya dikatakan dalam golongan “muktazilah” yang utamakan akal, iaitu saya guna akal fikiran.



3. Tetapi Al-Quran menyebut berkali-kali akan mustahaknya mengguna akal fikiran.

Sila rujuk :


Surah Al-Baqarah Ayat 164, 179
Surah Al Imran Ayat 7, 65, 190
Surah Al Maidah Ayat 100,103
Surah Hud Ayat 51
Surah Yusuf Ayat 111
Surah Ar-Rad Ayat 3, 4,19
Surah Taha Ayat 54
Surah Az-Zumar Ayat 9
Surah Al-Hasyr Ayat 2

 
Tidak disebut dalam Al-Quran larangan berfikir dan terima sahaja semua pendapat dari pakar Islam bahawa fahaman Islam kamu tidak betul. Ia lebih tidak betul kerana tidak menerima bulat-bulat hadith Nabi.

4. Hadis Nabi termasuk dalam bahagian sunnah dalam Islam. Mengamal sunnah adalah baik dan mendapat pahala untuk akhirat. Tetapi jika tidak mengamalnya tidak berdosa. Tidak ada larangan jika diutamakan Al-Quran apabila ada kelainan antara hadis dengan Al-Quran.

5. Saya dapati hukum hudud Islam berbeza dengan hukum hudud PAS. Mengikut Al-Quran yang diutamakan dalam Islam ialah keadilan. Terdapat lebih 40 ayat yang menegas apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.

Sila rujuk :


Surah Al Maidah Ayat 8, 42
Surah Al-Araf Ayat 29
Surah Yunus Ayat 54
Surah Yusuf Ayat 26, 27
Surah An-Nahl Ayat 90
Surah Sad Ayat 22, 26
Surah Az-Zumar Ayat 29,75
Surah Al-Ghafir Ayat 20,78
Surah Asy-Syura Ayat 40
Surah Ar-Rahman Ayat 7, 8
Surat Al-Hadid Ayat 25
Surah Al-Mumtahanah Ayat 8
Surah At-Tin Ayat 8


6. Tetapi Hudud PAS utamakan empat saksi dan hukuman yang terberat, termasuk rejam dengan batu dan pancung kepala.

7. Jika seorang wanita lapor ia dirogol oleh sipolan-sipolan, oleh kerana tidak ada empat saksi yang tidak menanggung dosa besar, maka laporannya dianggap palsu. Ia akan dihukum sebat. Jika ia mengandung dan lahir anak maka ia akan dituduh berzina dan sekali lagi akan dihukum rejam dengan batu oleh orang ramai sampai mati.


8. Perogol walaupun dikenali oleh mangsanya tidak akan didapati bersalah dan akan bebas dari sebarang tuduhan.

9. Adilkah apabila mangsa dihukum dan pencabul bebas dari dituduh kerana tidak ada empat saksi. Jika dianggap tidak adil, maka ia tidak Islam. Islam tidak zalim.

10. Tetapi inilah hudud PAS. Ternampak terlalu ghairah untuk menunjuk betapa kuatnya pegangan mereka kepada kononnya ajaran Islam. Dengan ini Islam mendapat imej yang amat buruk.

11. Hudud PAS ini akan dikenakan kepada orang Islam sahaja. Jika orang Islam mencuri tangannya akan dipotong.

12. Tetapi jika orang bukan Islam mencuri, ia akan dipenjara dua bulan.

13. Dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia, adilkah perbezaan hukum yang ketara ini?

14. Pendapat saya yang kerdil ini, hukuman ini tidak adil. Oleh kerana ia tidak adil maka ia bukan Islam. Ia adalah hudud PAS.

15. Hukum tanpa saksi empat. Dalam Surah Yusuf, terkoyaknya baju Yusuf disebelah belakang diterima dalam Quran sebagai bukti yang mengejar ialah Zulaikha dan bukan Yusuf seperti yang didakwa oleh Zulaikha.

16. Apakah pengajaran bagi orang Islam dalam cerita Yusuf dengan Zulaikha. Yang jelas ialah empat orang saksi tidak selalu perlu. Hanya kerana baju Yusuf koyak dari belakang, maka ini diterima sebagai bukti bahawa yang mengejar ialah Zulaikha.

17. Cerita ini adalah diantara ayat mutasyabihat, iaitu ayat Al-Quran yang tidak khusus seperti ayat muhkamat. Ayat mutasyabihat memberi panduan yang tidak kurang penting bagi cara hidup Islam. Terpulanglah kepada orang Islam mengguna akal fikiran untuk mendapat panduan dirinya.

18. Keghairahan sesetengah pentafsir menunjuk betapa kerasnya hukum Islam sehingga tidak mengendah keadilan menjadikan agama Islam agama yang tidak berperikemanusiaan. Walhal Islam adalah agama yang adil, bertimbang rasa dan suka bermaaf-maafan dan mengampun dalam menghukum.



19. Berhubung dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong para 39 berkata “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain”. Para 40 berkata “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat”

1. Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak dibawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini: tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

1(A). Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

2. Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi berikut, iaitu:


a. melantik seorang Perdana Menteri;


b. tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran parlimen;


c. meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.


Kuasa memelihara pada setiap masa Agama Islam ada pada Yang di-Pertuan Agong. Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan.



Hadis, Sunnah Nabi

20. Di waktu Al Bukhari mengkaji hadis, terdapat 600,000 hadis. Dari 600,000 ini Bukhari mengesahkan hanya 7000. 593,000 adalah tidak sahih. Pendapat Tarmizi Muslim dan lain-lain pengkaji juga demikian walaupun ada yang tidak sama yang disahkan oleh seorang dan tidak oleh pengkaji lain.

21. Mereka ini adalah manusia biasa dengan kelemahan-kelemahan manusia.

22. Al-Quran adalah catitan wahyu Allah Subhanahu Wataala. Semua Al-Quran adalah sama. Salahkah jika kita pegang kepada wahyu Allah yang disampaikan kepada Muhammad untuk disampaikan kepada umat manusia.

23. Dalam Al-Quran jika hukum sebat hendak dikenakan tentukan dahulu kesalahan. Jika tidak, ada kemungkinan ketidakadilan akan berlaku.

Perdana Menteri

24. Perdana Menteri diberi ramai penasihat, diantaranya ialah penasihat agama, bukan seorang tetapi ramai. Yang rasmi dan tidak rasmi.

25. Nampak penulis berpendapat bahawa Perdana Menteri sekarang sedang mengamal maarof, menolak yang mungkar apabila ia anggap “Cash is King” “Wang itu Raja” dan terus guna wang bermillion untuk sogokan dan beli undi. Ya. Sembahyang didirikan dan zakat diberi dari wang yang disamun.

26. Bagi penulis yang menyoal kebetulan Islam saya, tentulah ia anggap kebetulan Najib lebih betul dan beliau lebih layak jadi Perdana Menteri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...