Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 20 Jun 2020

Bantuan Prihatin Elektrik RM77 Sebulan Dari April Hingga Jun Kepada Semua Pengguna Domestik.

Kenyataan Media | YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH, MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI

4 JUTA PENGGUNA MENIKMATI BIL ELEKTRIK PERCUMA UNTUK 3 BULAN PKP MELALUI BANTUAN PRIHATIN ELEKTRIK.

1. YAB Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan kepada semua pengguna elektrik dalam kategori domestik di Semenanjung bagi mengurangkan beban mereka ekoran peningkatan bil elektrik yang dialami sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Jumlah pengguna elektrik yang akan mendapat manfaat ialah seramai 7.66 juta.



2. Daripada jumlah tersebut, seramai 4 juta atau 52.2% pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan RM77 ke bawah atau penggunaan elektrik 300kWj ke bawah akan menikmati bekalan elektrik secara percuma bagi bulan April, Mei dan Jun 2020. 

3. Pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan untuk April, Mei dan Jun 2020.

4. Bantuan ini merupakan tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang telah dilaksanakan sejak 1 April 2020 dan akan disalurkan melalui bil elektrik bulan Julai 2020. Sekiranya pengguna dengan penggunaan sebulan 300kWj ke bawah telah membuat bayaran bil bagi bulan April, Mei dan Jun, bayaran tersebut akan dikreditkan semula ke dalam bil bulan Julai 2020. Pengguna dengan penggunaan elektrik 300kWj ke atas akan menerima potongan bil sehingga RM231 untuk tempoh 3 bulan tersebut di dalam bil bulan Julai 2020 nanti.

5. Kajian yang dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati sebahagian besar pengguna elektrik yang terkesan semasa PKP ialah pengguna dalam blok tarif 301-600 kWj dengan kadar tarif 51.6 sen/kWj. Kumpulan ini telah terkeluar dari blok tarif tersebut disebabkan oleh penggunaan elektrik yang lebih tinggi semasa tempoh PKP. Mereka telah memasuki blok tarif seterusnya dengan kadar 54.60 sen/kWj yang menyebabkan bil elektrik melonjak naik sekaligus mengalami pengurangan diskaun daripada 15% kepada 2%.

6. Bagi membantu pengguna yang termasuk dalam kategori tersebut, Kerajaan telah memperkenalkan diskaun tambahan kepada pengguna elektrik dalam blok tarif di antara 601-900kWj dengan bil elektrik di antara RM232.35 hingga RM395.60. Mereka akan menikmati diskaun tambahan 8% menjadikan 10% sebulan bagi bil elektrik bulan April hingga September, berbanding hanya 2% yang dinikmati sejak April 2020. Jumlah pengguna yang terlibat ialah seramai 916,000 orang atau 12% daripada keseluruhan pengguna domestik.

7. Keseluruhan kos Bantuan Prihatin Elektrik tambahan ini adalah sebanyak RM942 juta. Dengan pelaksanaan bantuan ini, jumlah diskaun yang diberikan kepada pengguna elektrik bagi tempoh 1 April sehingga 30 September 2020 akan meningkat kepada RM2.2 bilion. Dana Bantuan Prihatin Elektrik ini dibiayai oleh Kerajaan menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), Kementerian Kewangan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

8. Dalam pada itu, TNB bersetuju untuk menghentikan aktiviti pemotongan elektrik sehingga 30 September 2020. Justeru, pengguna tidak perlu risau bahawa bekalan elektrik tidak akan dipotong sekiranya mereka menghadapi kesukaran dalam memenuhi komitmen kewangan mereka. Tatacara pengiraan TNB adalah teratur dan telah diluluskan oleh ST.

9. Kerajaan berharap agar penjimatan melalui Bantuan Prihatin Elektrik tambahan ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat dari segi perbelanjaan isi rumah.

YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH, 
Menteri Tenaga & Sumber Asli
20 JUN 2020

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...