Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 2 Februari 2020

Skandal Projek Bekalan Elektrik : Rosmah Mula Dibicarakan Esok.

THE MALAYSIAN INSIGHT | ROSMAH Mansor akan dibicarakan esok dengan pertuduhan rasuah ratusan juta ringgit membabitkan projek bekalan elektrik kepada sekolah luar bandar di Sarawak.

Ini akan merupakan kali pertama isteri bekas perdana menteri Najib Razak hadir di mahkamah, yang dijangka berterusan sehingga akhir April.



Rosmah, 69, meminta dibicarakan bagi pertuduhan meminta suapan sebanyak RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima RM6.5 juta bagi projek membekalkan elektrik kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa menerima suapan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya Rizal Mansor.

Puluhan saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan terhadap Rosmah.

Rizal, yang dibebaskan pada 8 Januari tahun ini, daripada empat pertuduhan rasuah membabitkan projek yang sama, dijangka dipanggil untuk memberi keterangan terhadap bekas bosnya itu.

Kedua-dua mereka pada asalnya dijangka dibicarakan bersama.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan akan mengadili perbicaraan itu. Bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram akan mengetuai pendakwaan sementara K Kumaraendran akan bertindak sebagai peguam utama pihak pembelaan.

Rosmah pertama kali didakwa berkaitan kes itu pada November 2018. Pihak pendakwaan berkata wang itu adalah suapan bagi syarikat itu untuk mendapatkan projek, melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan, untuk memasang sistem hibrid solar dan penyelenggaraan serta operasi penjana diesel.

Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid itu bernilai RM1.25 bilion dengan RM187.5 juta mewakili 15% daripada jumlah itu.

Rosmah dituduh menerima wang itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra, Kuala Lumpur antara Mac dan April 2016.

Beliau dituduh menerima RM1.5 juta dan RM5 juta lagi di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016 dan Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2018.

Semua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Rosmah akan didenda RM10,000 dan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tarikh pebicaraan ditetapkan 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 6 hingga 9 April, 13 hingga 16 April, 20 hingga 23 April dan 27 hingga 30 April.

Ini bukan satu-satunya kes jenayah Rosmah kerana beliau turut berdepan perbicaraan pengubahan wang haram pada 11 Mei.

Beliau didakwa dengan 12 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM7,097,750, dan lima tuduhan kerana gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Perbicaraan juga akan didengar di depan Zaini. – 2 Februari 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...