Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 28 Januari 2020

Audio Skandal #1MDB, Polis Sahkan Panggil Azeez Untuk Beri Keterangan.

THE MALAYSIAN INSIGHT | POLIS mengesahkan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dipanggil untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio berkaitan skandal 1MDB yang didedahkan agensi antirasuah.


 
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata beberapa individu lain yang dikaitkan dengan rakaman itu juga akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Setakat ini kita belum dapat perkembangan lanjut berhubung kesahihan rakaman audio. Setakat semalam baru panggil Azeez untuk memberi keterangan,” katanya.

Dalam sidang media di Maktab Polis Cheras hari ini, Hamid berkata kes rakaman audio itu terganggu kerana unit yang menyiasatnya terbeban dengan kes lain.

Katanya Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah perlu menangani kes seperti hasutan dan kebencian kaum.

“Buat masa ini, D5 terbeban dengan banyak sangat kes. Kes perkauman yang sekarang ini macam-macam suka menghasut. Hentikanlah kempen membenci.

“Kenapa harus semasa kita membenci antara satu sama lain?”
katanya.

SPRM pada 8 Januari mendedahkan sembilan rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Rakaman itu juga didakwa mengandungi perbualan bekas timbalan pendakwa raya awam Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Menurut SPRM, individu lain terbabit dalam perbualan itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, dan Abdul Azeez.

Perbincangan dalam rakaman itu didakwa berkaitan siasatan dan pendakwaan kes 1MDB, termasuk berkenaan pengubahan wang haram.

Polis sudah mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan timbalannya, Azam Baki serta lima pegawai lain yang berkaitan dengan pendedahan rakaman itu.

Mengulas lanjut, Hamid memberi amaran kepada orang ramai supaya menghentikan sebaran maklumat palsu dan menakut-nakutkan orang awam berhubung jangkitan koronavirus.

Hamid yang menyifatkan ia perbuatan tidak bertanggungjawab individu tertentu dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Sekarang terlalu ramai sangat ‘doktor pakar’ dalam kalangan masyarakat kita, ada ‘doktor separuh masak’ yang mengeluarkan pendapat sendiri.

“Entah daripada mana sumber yang diperoleh tidak diketahui asal-usulnya selepas itu disebar secara meluas sekali dengan memberi nasihat untuk menakutkan orang ramai,”
katanya.

Hamid berkata, orang ramai seharusnya mendapatkan maklumat sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk perkembangan mengenai wabak berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya bekerjasama rapat dengan KKM dan beberapa agensi lain bagi menangani isu berkaitan wabak itu dan setakat ini ia ditangani dengan baik. – 28 Januari 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...