Isnin, 22 Mei 2017

Mohon Pengampunan Diraja, Anwar Jadi PM - Ini Strategi Lengkap Rafizi Untuk PMkan Anwar.

UCAPAN PENANGGUHAN 
NAIB PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Sdr Rafizi Ramli.

Kongres Nasional KEADILAN Ke-12

https://youtu.be/5pj9pwa5P0w

Assalamualaikum wbth, taa chia hau dan vanekam.

YB Dato' Seri Presiden, YAB Dato' Seri Timbalan Presiden, sahabat-sahabat yang saya kasihi.



1) Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang masih kekal sehingga ini. Ada yang datang dengan motor, ada yang datang dengan bas, ada yang datang dengan kereta. Ada yang tinggal di hotel, ada yang tinggal di homestay, ada menumpang di rumah orang, ada yang tidur di dalam van. 

2) Tetapi saya ucapkan tahniah kepada perwakilan dari Terengganu kerana tidak mengikut perangai Mat Ober dari Terengganu, belum ada yang kena pelempang setakat ini.

3) Kongres Nasional KEADILAN setiap tahun adalah pertemuan yang merayakan kepelbagaian kita. Ada Melayu, ada Cina, ada India, ada Iban Bidayuh Kadazan Murut, malah ada Orang Asal. Tidak ada satu parti pun yang parti yang mempunyai semua bangsa seperti KEADILAN.

4) 18 tahun lalu semasa parti ini ditubuhkan, pendapat umum (atau "conventional wisdom") pada ketika itu mengatakan bahawa parti berbilang bangsa yang melangkaui batas perkauman dan tidak hanya memperjuangkan nasib satu kaum, tidak akan kekal lama. Tetapi 18 tahun kemudian, KEADILAN adalah satu-satunya parti yang diterima semua bangsa dan ada wakil rakyat di setiap negeri dari Perlis ke Sabah dan Sarawak.

5) Selepas PRU 2004, KEADILAN tinggal hanya 1 kerusi Parlimen. Kita diejek sebagai parti nyamuk yang akan terkubur. Maka apabila Anwar Ibrahim mengatakan pembangkang ada peluang merampas beberapa buah negeri dan menafikan majoriti 2/3 BN dalam PRU 2008, semua memperlekehkan keyakinan Anwar dan KEADILAN itu. Tetapi dalam PRU 2008, pembangkang menidakkan majoriti 2/3 dan sebab itu kita berjaya mentadbir Selangor sejak 2008. 

6) Apabila Anwar Ibrahim menubuhkan Pakatan Rakyat selepas PRU 2008, ramai pula yang tidak yakin pakatan pembangkang itu boleh kekal lama. Kata mereka ini gabungan "tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain". Tetapi Pakatan Rakyat jugalah yang mencipta sejarah sebagai pakatan pembangkang pertama yang memenangi undi popular menewaskan BN dalam pilihanraya umum.

7) Apabila Presiden KEADILAN menubuhkan Pakatan Harapan tanpa penyertaan PAS, pendapat umum ketika itu mengatakan pakatan pembangkang tanpa PAS tidak mempunyai harapan. Malah ada yang mengkritik, termasuk dari kalangan pimpinan NGO dan media, kononnya tindakan Presiden KEADILAN itu gopoh dan cuai. Tetapi hari ini, seluruh Malaysia meyakini bahawa pakatan pembangkang yang berpotensi untuk mengalahkan BN adalah Pakatan Harapan, bukannya Gagasan Sejahtera. Sebab itu persoalan siapa calon Perdana Menteri timbul jika PH menang kerana keyakinan menang itu hanya ada kepada PH.

8) Saya sebut semua ini untuk menunjukkan bahawa selama 18 tahun, kesemua keputusan besar kita mendahului pendapat umum atau "conventional wisdom" tetapi lama kelamaan kita dibuktikan benar. Sebabnya ialah kerana kita adalah parti reformasi, memang idea dan pandangan kita banyak mendahului pendapat umum ketika itu kerana kita membawa idea yang menongkah pemikiran ketika itu.

9) Begitu juga dengan persoalan siapa Perdana Menteri: jawapan kita adalah jelas, Perdana Menteri setelah PH menang adalah Anwar Ibrahim. Sudah tentu pendapat umum akan berkata "KEADILAN syok sendiri" dan "KEADILAN gila" kerana Anwar Ibrahim masih dipenjara.

10) Tetapi kita tahu ada kaedah pengampunan diraja yang boleh digunakan dan membolehkan Anwar Ibrahim dibebaskan segera dan bertanding segera dalam pilihanraya kecil. Kaedah ini boleh digunakan dalam kes-kes ehsan, apatah lagi dalam kes Anwar Ibrahim ia kes fitnah oleh musuh politik beliau.

11) Sebab itu walaupun pendapat umum masih tidak dapat menerima, kita tahu bahawa apabila Pakatan Harapan menang PRU14, sahabat-sahabat kita DAP dan Parti Amanah Negara bersetuju agar Kak Wan menjadi Perdana Menteri interim yang akan mengusahakan pembebasan Anwar Ibrahim. Saya yakin dalam masa sebulan dari tarikh kemenangan PRU14 Anwar akan dibebaskan dan sebulan kemudian bertanding dalam pilihanraya kecil dan seterusnya angkat sumpah menjadi Perdana Menteri.

12) Memang ia bukan perkara yang mudah tetapi selama 18 tahun kita lawan Umno/BN walaupun ada yang dipukul, dipenjara, dianiaya dan dihukum. Kalau setahun lalu saya katakan Tun Mahathir akan hadir dalam kongres nasional KEADILAN hari ini, sudah tentu pendapat umum ketika itu mengatakan saya sewel, tetapi hari ini Tun Mahathir hadir sebagai rakan dalam PH.

13) Kita parti reformasi, memang jadi tanggungjawab kita mendahului pendapat umum dan menyediakan masyarakat kepada idea-idea yang masih belum diterima rakyat ketika itu.

14) Saya ingin mengakhiri ucapan pada hari ini dengan dua pesanan:

- Pertama, kepada perwakilan, ada diantara saudara saudari yang akan menjadi menteri, mungkin menggantikan Pandikar Amin sebagai Speaker, walaupun saya harap tidak ada yang menggantikan Ahmad Maslan. Saya berdoa Allah SWT memberi kecekalan, keazaman dan tidak terpesong dari perjuangan kita supaya tidak ada seorang pun dari kalangan saudara saudari yang tewas dengan ujian berkuasa iaitu rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.
- Kedua, pesanan ini kepada Dato' Seri Najib, supaya dia jangan mencuri slogan kerana #lawantetaplawan itu adalah slogan kami di pihak pembangkang. Kalau Najib sudah melaungkan #lawantetaplawan maksudnya dia sudah mula bersedia untuk jadi pembangkang!

15) Selamat pulang ke kawasan masing-masing. Saudara saudari ada berhutang budi dengan Anwar Ibrahim, kalau tidak kerana Anwar tidak ada yang jadi wakil rakyat, ahli majlis dan penjawat awam. Saudara saudari bekerja kuatlah untuk membalas budi Anwar itu dengan memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen agar kemenangan kita dan PH kelak akan mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-7.

Reformasi Reformasi Reformasi
Lawan Tetap Lawan

Terima kasih, sei sei nandri vanekem.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...