Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 16 September 2019

Ada Kaki Fitnah & Perkauman Tunggang #BMF, Boleh Rosakkan Imej Kempen.

RF8 MEDIA | ULASAN: Terlalu banyak fakta tidak sahih atau fitnah yang direka-reka telah tersebar di media sosial kebelakangan ini.


Seolah-olah pembuat fitnah tidak malu atau merasa bersalah. Ia merimaskan.

Cerita-cerita bohong direka dan dijaja mungkin atas agenda tertentu, atau sekurang-kurangnya demi kepuasan diri sendiri.

Fitnah bagi memberi stigma negatfi itu tanpa disedari boleh memberi impak besar kepada hidup bermasyarakat di negara ini.

Terbaharu, tersebar fitnah mengenai penjualan telur murah oleh seorang peniaga Melayu di Seksyen 7, Shah Alam.

Memetik laporan Sinar Harian pagi tadi, ‘seruan fitnah’ yang ditularkan itu menggesa orang ramai membantu peniaga terbabit yang didakwa diboikot kaum Cina.

Lebih menarik perkongsian itu juga meminta orang ramai membantu atas nama jihad ekonomi untuk orang Islam.

Niat sebaran itu nampak cukup baik, tapi bukankah ia juga membuktikan ada pihak tertentu telah menggunakan agama sebagai senjata ampuh menyebar fitnah?

Susulan itu Muhammad Hassif Mad Saad terpaksa tampil membuat penjelasan, malah katanya tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan kawasan perumahannya didatangi ramai orang.

Bukankah ia mencetuskan gangguan kepada penduduk setempat dan menyusahkan pelanggan?

“Saya sendiri terkejut foto berkenaan kembali tular dan ia tiada kaitan isu diboikot seperti ditularkan.

“Foto berkenaan diambil pada tahun 2015 ketika saya menjalankan perniagaan sambilan menjual telur berdekatan rumah.

“Saya minta supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya percaya apa yang ditularkan dan berhenti berkongsi perkara terbabit di media sosial,”
kata Muhammad Hassif.

Walaupun dosa fitnah itu lebih besar dari membunuh, ia jadi terlalu mudah dikongsikan di laman sosial.

Fitnah-fitnah itu jika diamati kebanyakkanya lebih cenderung kepada sentimen tertentu. Namun lebih bertumpu kepada isu serangan perkauman, agama dan politik.

Kesan fitnah ini telah dapat kita saksikan hari ini, selain kes Muhammad Hassif, kaum-kaum atau individu tertentu juga pernah jadi mangsa ‘belasahan’ natizen.

Semuanya kerana percaya bulat-bulat kepada informasi tidak benar dilaman sosial yang kongsikan dengan terlalu meluas.

Tindakan itu sebenarnya tidak menguntungkan siapa-siapa.

Fitnah yang disebar hari ini boleh menjadi punca prasangka. Jika tidak ditangani bakal menjadi luka dan kudis yang akan membusuk di kemudian hari.

Sebenarnya tidaklah mengejutkan, jika kebanyakkan fitnah ini datang dari pemimpin atau penyokong pemimpin parti-parti politik tertentu?

Adakah kita kurang cerdik untuk sedar jika ia datang dari golongan itu ia akan bersifat politik? Dan dalam politik yang bakal menjadi mangsa tetap-lah rakyat termasuk si pereka fitnah itu sendiri.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, benarkah budaya fitnah itu memang sudah bermaharajalela?

Jika kita mengikuti perkembangan semasa, kita akan sedar adanya beberapa kes Mahkamah atau laporan polis yang bersangkut isu fitnah telah dilapor media.

Justeru, kita perlu ingatkan diri bahawa kita lupa pada firman Allah yang berbunyi “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka bertabayun (selidikilah untuk menentukan kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah Al-Hujurat: 6)

Jadi jika kita ini dalam golongan tidak bertabayun ketika menerima berita, tak usahlah menyebar-nyebar cerita yang mengajak persengketaan.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...