Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 18 Jun 2017

Saksi Kes Wang Perlindungan Di Melaka Hilang Kata SPRM.

PENYIASATAN kes memberi perlindungan kepada perniagaan haram terbesar di Melaka yang melibatkan polis dan kumpulan penjenayah mungkin terbantut selepas pendedahan kehilangan beberapa saksi utamanya, hari ini lapor The Malaysian Insight.

Gambar - The Malaysian Insight
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata kepada portal itu bahawanya kesemua saksi berkemungkinan sama ada bersembunyi atau telah meninggalkan negara ini.

"Siasatan masih berjalan tetapi terdapat beberapa saksi tidak dapat dikesan kerana mereka sudah melarikan diri dan tidak lagi berada dalam negara," katanya seperti dipetik dari portal itu.

Laporan itu turut menyebut, tentang orang awam bernama Gopi yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti jenayah. Sebelum ini laporan Sarawak Report mendedahkan, kononnya Gopi mempunyai hubungan tertentu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Gopi sebelum ini ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai orang tengah yang mengutip wang perlindungan dari beberapa premis judi dan urut dan kemudiannya turut mengedarkan wang berkenaan kepada pegawai polis tertentu. 

Khalid kemudiannya mengakui dalam laporan media bahawanya beliau mengenali Gopi dan suspek juga pernah ke rumahnya. Namun hubungan mereka setakat kenalan dan Khalid menafikan dakwaan jenayah yang dikaitkan ke atasnya. 

Dalam pada itu ketika diminta mengulas tentang dakwaan hubungan Gopi - Khalid, Dzulkifli berkata, ia hanya dakwaan laporan dalam talian. 

Beliau berkata SPRM akan menjalankan siasatan sendiri dan tidak menolak kemungkinan Khalid akan disoal. "Ia bergantung kepada siasatan kami. Sama ada terdapat keperluan (untuk memanggil beliau atau tidak) kita akan lihat," kata Dzulkifli. 

Berikutan operasi SPRM di Melaka, Khalid mengarahkan rombakan besar-besaran di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka. 

Pegawai polis yang ditangkap dan kemudian dibebaskan dengan jaminan serta-merta dipindahkan ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman manakala pegawai baru dihantar untuk menggantikan mereka di Melaka.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...