Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 24 Disember 2019

Perobohan Kampung Segambut Permai, Ini Jawapan Hannah Untuk Pengkritik.

KENYATAAN MEDIA | Kampung Segambut Permai

Merujuk kepada isu perobohan rumah di Kampung Segambut Permai.




Perobohan tersebut telah dilaksanakan oleh pemilik tanah tersebut melalui satu perintah mahkamah bertarikh 26 September 2019. Proses untuk tujuan ini telah bermula sejak zaman pemerintahan BN dahulu dan kami difahamkan bahawa sebahagian penduduk telah berpindah keluar dalam tempoh tersebut (fasa pertama).

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan untuk membantu keluarga di Kampung Segambut Permai yang menerima notis perintah Mahkamah yang bertarikh 26 September 2019:

(1) Pada 29 September 2019, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Segambut yang diketuai oleh Dr Abdul Basir dan Encik Irwan Bin Sabei telah membantu mengaturkan satu perbincangan antara pihak pemilik tanah dan penduduk. Pihak pemilik tanah juga bersetuju untuk menangguhkan tindakan perobohan sehingga bulan Disember 2019 selepas sesi persekolahan 2019 berakhir. Sebahagian penduduk juga telah berpindah keluar dalam tempoh tersebut (fasa kedua);

(2) Pada 27 November 2019, saya telah bertemu dengan wakil Persatuan Penduduk Segambut Permai Kuala Lumpur di Parlimen dan YB Ramkarpal Singh daripada DAP turut hadir membantu menjelaskan mengenai proses yang melibatkan perintah mahkamah tersebut. Penduduk telah dinasihati untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman untuk mengetepikan perintah mahkamah tersebut.

(3) Pada 9 Disember 2019, penduduk telah gagal mengetepikan perintah mahkamah dan tindakan perlaksanaan meroboh telah sedia untuk dilaksanakan. Saya sendiri telah ke tapak bersama wakil Pejabat YB Khalid Samad, Menteri Wilayah untuk berunding dan berjaya menangguhkan tindakan perobohan selama 2 minggu untuk tujuan membantu mendapatkan rumah PPR bagi penduduk yang terlibat.

(4) Pada 12 Disember 2019 dan 13 Disember 2019, pihak DBKL telah menjalankan bancian untuk menentukan jumlah ahli keluarga yang masih berada di tapak bagi tujuan tawaran rumah transit PPR.

(5) Pada 16 Disember 2019, YB Khalid Samad, Menteri Wilayah telah menyampaikan surat tawaran rumah transit PPR kepada 19 keluarga yang berkelayakan berdasarkan syarat-syarat permohonan PPR yang ditentukan oleh DBKL seperti:

(a) suami dan isteri pemohon mestilah merupakan warganegara Malaysia (ada yang tidak memenuhi syarat ini);

(b) satu alamat rumah layak mendapatkan satu unit PPR sahaja (ada yang mempunyai saudara mara dan unit keluarga lain yang tinggal di satu alamat di sana);

(c) pemohon mahu semua dipindah ke lokasi PPR yang sama (ini tidak dapat dipenuhi kerana tertakhluk kepada kekosongan unit PPR sedia ada);
dan

(d) pemohon layak menduduki unit PPR selama 6 bulan dan ini boleh dilanjutkan jika mereka memenuhi syarat gaji tidak melebihi RM3000 (ada yang tidak layak kerana gaji melebihi syarat. DBKL mempunyai lebih daripada 50,000 pemohon dalam senarai menunggu).

(6) Pada 20 Disember 2019, DBKL telah menawarkan rumah transit PPR kepada 6 lagi keluarga tambahan setelah pejabat saya merayu bagi pihak mereka.

(7) Setelah dimaklumkan semalam mengenai hasrat Surau Al-Firdaus oleh pengerusi Surau, Datuk Abdul Hadi Md Zam, saya juga telah memohon pertimbangan pihak pemilik tanah untuk menangguhkan perobohan Surau Al-Firdaus sehingga perbincangan lanjut dengan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak Kerajaan untuk membantu penduduk di Kampung Segambut Permai namun saya dan pejabat Menteri Wilayah tidak dapat memenuhi semua permintaan segelintir daripada mereka. Saya berharap isu ini tidak dipolitikkan lagi dan saya percaya semua pihak telah berusaha sedaya upaya untuk membantu.

Hannah Yeoh
Ahli Parlimen Segambut
24 Disember 2019

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...