Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 15 Julai 2014

Luahan Adun Selangor Isu Perebutan Kerusi MB.


 


MUHASABAH RAMADHAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Ramadhan 1435 H,

Semoga dengan keberkatan bulan Ramadhan pada tahun ini akan dapat mengembalikan semangat roh jihad perjuangan yang ada di dalam diri setiap insan untuk melawan dan menumpaskan segala sifat-sifat Mazmumah yang kotor lagi menjijikkan kepada sifat-sifat Mahmudah yang suci lagi menyelesakan.

Tanggal 11 Julai 2014 bersamaan 13 Ramadhan 1435 H pada hari ini telah memasukkan kita semua ke dalam fasa ke 2 bulan Ramadhan iaitu Fasa Pengampunan seperti Sabda Rasulullah S.A.W. , : "Ramadhan awwaluhu rahmah, wa awsotuhu maghfirah, wa akhiruhu itqun minnar" yang bermaksud “Bulan Ramadhan yang pada permulaanya (10 hari pertama) penuh dengan rahmat dan pertengahannya (10 hari seterusnya) keampunan dan akhirnya (10 hari terakhir) pembebasan dari api Neraka!”. Ada sesetengah pendapat mengatakan ianya hadith dhoif, namun bukanlah salah. kerana ia mampu menjadi pendorong untuk seseorang meningkatkan ibadahnya di bulan yang penuh barakah ini. Dalam hadith lain Nabi s.a.w pernah bersabda "Man sooma ramadhanan imanan wahtisaban ghufirolahu ma taqaddama min zabik" yang bermaksud "Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan, akan diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang telah lalu". MasyaAllah, Maha Pemurah Allah yang telah mengurniakan manusia khususnya ummat Islam bulan yang penuh barokah, penuh dengan keampunan dan rahmah "Sesungguhnya apabila Ramadhan tiba, akan dibuka segala pintu syurga dan akan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan akan dibelenggu"

Disini menunjukkan bahawa Allah membuka seluas-luasnya pintu taubat dan keampunan, serta dibelenggu syaitan-syaitan laknatullah, kerana apa? Tidak lain, semata-mata untuk manusia beramal ibadah tanpa sebarang gangguan dan godaan syaitan. Pada waktu ini barulah kita nampak, adakah kita termasuk daripada golongan yang telah ditarbiyah oleh syaitan atau orang-orang yang sentiasa bermujahadah untuk menundukkan nafsu mereka. Sedar atau tidak memang itulah hakikat, hatta kita merasa sendiri kurang untuk melakukan maksiat pada bulan ini. Terasa perbezaan dengan 11bulan yang kita lalui, seakan-akan ada sesuatu yg mempengaruhi kita untuk melakukan maksiat. Oleh itu marilah kita meneruskan agenda muhasabah diri kita sepanjang tempoh berbaki Ramadhan pada kali ini dengan sebenar-benarnya dan mengharapkan semoga kita sekalian dipertemukan dengan Ramadhan Kareem yang akan datang dengan izin Allah Taala.

Alhamdulillah, tanggal 8 Mei 2014 lalu, Pakatan Rakyat (PR) Selangor sekali lagi telah diyakini oleh rakyat Selangor untuk meneruskan pemerintahan negeri dengan majoriti kerusi DUN yang bertambah seusai Pilihanraya Umum (PRU) ke 13. Dengan majoriti selesa 46 kerusi DUN Pakatan Rakyat berbanding 20 kerusi DUN untuk Barisan Nasional telah menunjukkan betapa usaha Kerajaan PR Selangor sesudah diberikan kemenangan di dalam PRU ke 12 lepas untuk berkhidmat kepada rakyat Selangor dengan menitikberatkan pengurusan kerja yang telus, cekap, efisien serta mendahulukan rakyat telah mendapat pengiktirafan daripada rakyat Selangor.

Segala janji dan manifesto yang pernah ditawarkan oleh PR Selangor kepada rakyat Selangor telah dapat dipenuhi secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan dan keperluan yang mendesak. Dengan dasar pengurusan kerja yang efektif di bawah kepimpinan Dato’ MB Selangor yang cukup berhemah dan telus telah melonjakkan penambahan dana Kerajaan Negeri Selangor sehingga kini berjumlah RM 3 bilion. Satu jumlah yang amat dicemburui Kerajaan Persekutuan serta negeri-negeri yang diperintah oleh parti Barisan Nasional. 

Selain dari itu, pihak kakitangan awam kerajaan negeri kini telah dapat menerima dasar dan budaya kerja yang diterapkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor. Bahkan tahap keprofesionalisma kerja buat kakitangan awam kerajaan negeri Selangor kini semakin meningkat dan sentiasa bermotivasi untuk melakukan yang terbaik. Walaupun ada segelintir penjawat awam yang masih berasa sangsi dengan keutuhan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tetapi ianya masih tidak mampu untuk menangkis segala kejayaan yang di tempa oleh kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor melalui polisi pentadbiran yang berhemah dan baik. Kini pihak kakitangan awam negeri Selangor amat bertuah apabila dihujani dengan ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh kerajaan Negeri semenjak ditadbir oleh kepimpinan Pakatan Rakyat. 

Kini rakyat di seluruh negara telah melihat sendiri kejayaan negeri-negeri yang diterajui dan ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang telah berjaya melakukan pembaharuan terhadap sistem pemerintahan dan pentadbiran berbanding semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional. Segala salah laku dan kebobrokan kepimpinan Barisan Nasional sebelum ini telah digantikan dengan kepimpinan yang beramanah, berintergriti, telus, bertanggungjawab serta berjiwa rakyat dari kalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Rakyat Selangor khususnya telah menikmati keuntungan hasil daripada keberanian mereka menukar tampuk pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

Namun haruslah dingat kepada para pimpinan Pakatan Rakyat dan ahli-ahli di peringkat bawahan bahawa setiap kejayaan yang ditempa masakini adalah hasil daripada perjuangan yang penuh dengan ranjau dan onak duri yang tidak boleh dipinggirkan atau dikesampingkan. Perlu diingat bahawa pihak Barisan Nasional sentiasa mengawasi dan mencari sebarang peluang terluang di dalam usaha dan agenda mereka untuk merampas semula negeri Selangor ini daripada Pakatan Rakyat. Perlulah juga diingat bahawa pihak Barisan Nasional Selangor kini semakin lemah dan lesu kerana mereka semakin hilang cengkaman utama mereka terhadap rakyat Selangor iaitu penggunaan wang sebagai umpan untuk membeli jiwa rakyat Selangor. Kini dengan kekalahan kedua secara “Teknikal Knock Out (TKO)” di dalam PRU 13 lalu menyebabkan kantung mereka semakin kering. Kini sudah pasti pihak musuh politik Pakatan Rakyat Selangor akan berpaut dengan apa sahaja isu yang boleh dijadikan modal untuk mereka merosakkan imej dan kesepaduan Pakatan Rakyat Selangor. Pihak Barisan Nasional Selangor kini akan mula terjun ke dalam tong-tong najis, lubang-lubang kumbahan, menelusuri lorong-lorong tikus untuk mencari isu-isu yang boleh memalitkan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat dengan isu-isu yang memualkan dan menjijikkan. Oleh itu kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor janganlah pula cuba untuk bermurah hati dengan memberikan senjata dan peluru hidup kepada pihak musuh untuk menembak secara tepat ke jantung Pakatan Rakyat Selangor sehingga boleh menyebabkan kematian yang sangat ngeri.

Kepimpinan Pakatan Rakyat perlu juga mengingati bahawa rakyat Selangor kini telah terdidik untuk menghukum sebarang kesalahan kepimpinan yang cuba untuk memenuhi kehendak diri sendiri berbanding keutamaan kepada rakyat. Rakyat Selangor kini sedang memerhati keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mengemudikan pentadbiran kerajaan negeri untuk tempoh penggal kedua ini. Adakah kepimpinan kerajaan negeri melihat secara teliti hasrat dan aspirasi sokongan rakyat pada kali ini? Adakah segala permasalahan dan harapan rakyat untuk mendapat lebih keuntungan berbaloi dengan pengorbanan mereka membantu memenangkan Pakatan Rakyat pada PRU ke 13 lalu? Adakah kerajaan negeri dapat menyediakan kemudahan-kemudahan yang lebih baik dan sempurna pada kali ini untuk rakyat Selangor? Adakah semua peringkat rakyat Selangor sangat berpuashati dengan prestasi Menteri Besar dan EXCO Kerajaan Negeri Selangor? Sekiranya rakyat sangat berpuashati serta tetap berdiri teguh dengan kepimpinan negeri Selangor apakah perlu berlaku ribut di dalam cangkir kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor.

Ribut apakah yang melanda Pakatan Rakyat Selangor sehingga menyebabkan kapal yang sudah selesa belayar teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan lalu menyebabkan rakyat menjadi tidak selesa dan muntah meloya. Adakah kini tradisi membela rakyat kini menjadi agenda terkebawah di dalam keutamaan pimpinan Pakatan Rakyat Selangor dan agenda perubahan tampuk tertinggi selaku Penguasa Utama Negeri Selangor menjadi impian dan harapan mutlak untuk penggal kedua pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor kali ini. Janganlah kerana hasutan musuh dan matlamat peribadi insan bertopengkan haiwan menyebabkan kekalutan yang berterusan sehingga menyimpangkan perjuangan hakiki Pakatan Rakyat Selangor selama ini. Tidakkah disedari oleh kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor keributan permasalahan dalaman ini secara terbuka boleh mengundang persepsi meluat dan menyampah di kalangan rakyat Selangor yang akan menyamakan kepimpinan Pakatan Rakyat kini tidak ubah seperti kepimpinan Barisan Nasional yang cukup suka berbalah dengan agenda perebutan jawatan. 

Apakah tiada cara yang paling baik dan halus untuk melakukan transisi perubahan sekiranya perlu secara berhemah dan teratur. Kenapa perlu diributkan sehingga boleh memberikan tanggapan yang salah kepada rakyat Selangor. Adakah kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor kini sedang dihinggapi virus dengki dan iri hati yang menjadi penyakit wajib pimpinan Barisan Nasional? Adakah segelintir kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor mempunyai agenda untuk membantu musuh dengan mengikis kepercayaan rakyat Selangor terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor? Amatlah malang sekiranya kejatuhan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di dalam Pilihanraya Umum ke 14 nanti adalah akibat daripada kerosakan-kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Selangor itu sendiri yang menyebabkan kehilangan sokongan rakyat Selangor. Di saat itu akan terasalah keperitan untuk bangkit semula sebab nilai Pakatan Rakyat yang baik sebelum ini telah dihakimi oleh rakyat dengan nilaian yang buruk dan keji.

Menjadi hasrat saya supaya coretan ini akan difikirkan secara terbuka oleh sekalian kepimpinan Pakatan Rakyat di semua peringkat supaya agenda kebajikan dan cakna rakyat yang kita war-warkan selama ini tidak akan ditenggelami dengan agenda peribadi yang tidak berkesudahan. Boleh jadi ada kebenaran dan kesilapan di dalam warkah coretan ini yang memerlukan teguran dan komentar yang bernas. Namun saya masih mengharapkan semoga roh permesyuaratan Pakatan Rakyat yang pernah diamalkan sebelum ini akan dapat diteruskan dengan suasana mahabbah dan penuh kebertanggungjawaban.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama selaku kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor bermuhasabah kembali terhadap isu-isu dan titik bengik yang melanda kita mutakhir ini secara tuntas dan berhemah supaya bahtera yang sedang teroleng-oleng ini dapat dikemudikan secara stabil oleh kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor yang mendapat restu semua pihak. Rakyat Selangor perlu diyakinkan bahawa polisi dan agenda Pakatan Rakyat Selangor di dalam mengutamakan rakyat adalah sangat jelas dan tidak berubah. Tampuk kepimpinan kerajaan Negeri Selangor boleh berubah tetapi agenda mengagihkan keuntungan dan laba kerajaan negeri kepada rakyat Selangor tetap akan berterusan. Akhirul kalam, semoga Allah Taala merahmati dan memberkahi segala kerja buat kita selama ini dengan ganjaran yang mulia dan baik serta mengukuhkan kesepaduan kita semua di dalam melawan kezaliman pihak-pihak yang mungkar. InsyaAllah.

Y.B. Dr. Ahmad Yunus Bin Hairi
ADN Sijangkang / YDP PAS Kawasan Kuala Langat
11 Julai 2014 bersamaan 13 Ramadhan 1435 H.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...