Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.
Memaparkan catatan dengan label Tun Mahathir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tun Mahathir. Papar semua catatan

Khamis, 26 November 2020

Tun Mahathir Kritik PH Kerana Tak Bantah Belanjawan 2021.

Tun Mahathir | 1. Apabila Cuma 13 ahli Parlimen bukan Kerajaan bangun untuk tolak belanjawan 2021, undi belah bahagi tidak dapat dilakukan kerana ia memerlukan 15 ahli.

2. Apabila ini berlaku, ia bermakna bahawa Kerajaan yang dipilih rakyat boleh dijatuhkan di tengah jalan dan diganti dengan Kerajaan pintu belakang. Pilihanraya tidak bermakna lagi.


3. Kerajaan yang didiri melalui rasuah dan sogokan pada Ahli Parlimen, dan Kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikitpun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.

4. Inilah apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat hari ini.

5. Bagi saya dan semua ahli Parti Pejuang, serta beberapa ahli Parlimen yang lain, kami tetap berpegang kepada janji kami untuk menolak belanjawan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

6. Apabila kami mengambil pendirian, kami tidak berganjak atas dasar amanah dan tanggungjawab kami sebagai wakil kepada rakyat.

7. Kami tetap dengan pendirian menentang apa sahaja bentuk rasuah dan kami berharap yang rakyat juga akan sedar dan menolak rasuah. Hanya dengan penolakan rasuah sahaja yang kehancuran negara dapat di elak.

8. Perasuah, penjenayah dan segala bentuk penyamun boleh bentuk Kerajaan hanya dengan mengguna wang untuk membeli undi dan wakil pilihan rakyat.

9. Apabila mereka yang tidak berprinsip, yang tidak berkualiti, yang sanggup menggadai amanah rakyat demi kepentingan peribadi mendiri Kerajaan, maka negara akan dijual untuk memenuhi ketamakan diri mereka.

10. Saya, Ahli Parlimen Langkawi, dan tiga lagi Ahli Parlimen Pejuang, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shaharuddin Md Salleh (Sri Gading) tetap tidak berganjak dengan pendirian kami menolak Belanjawan 2021. - 26 November 2020.

Rabu, 25 November 2020

Jika Belanjawan 2021 Gagal, TSMY Perlu Letak Jawatan Dan Ahli Parlimen Pilih PM Baru.. - Tun Mahathir.

Tun Mahathir | MENOLAK BELANJAWAN 2021

1. Kita telah melihat betapa mengecewakan proses perbahasan Belanjawan berjalan beberapa hari kebelakangan. Selain dari perbahasan yang terhad, tidak ada sebarang tanda dipihak Kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang telah diajukan oleh ahli-ahli parlimen mahupun kritikan rakyat yang boleh kita dengar rintihan mereka melalui laman-laman media sosial dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat. 


2. Sebaliknya, pihak Kerajaan bertindak mengugut ahli-ahli Parlimen dengan naratif bahawa jika Belanjawan 2021 tertolak maka gaji, elaun dan pencen penjawat awam dan “frontliners” tidak dapat dibayar. Selain itu, ugutan juga menjurus kepada cubaan menimbul rasa kurang senang dikalangan rakyat bahawa jika Belanjawan tidak lulus maka bantuan-bantuan kewangan tidak akan sampai kepada rakyat yang amat memerlukannya pada ketika ini.

3. Saya telah terangkan sebelum ini bahawa jika Belanjawan tidak lulus ia tidak akan menghalang penyaluran gaji, pencen dan elaun penjawat awam dan “frontliners”. Begitu juga dengan bantuan kewangan untuk keperluan rakyat tidak akan terjejas.

4. Penyaluran kewangan tanpa Belanjawan diluluskan telah berlaku pada tahun 1999 untuk sesi Belanjawan tahun 2000.

5. Selain itu, Kerajaan juga memilih tidak menerangkan bahawa segala perbelanjaan untuk penjawat awam dan “frontliners” sudah diperuntukkan sehingga akhir bulan Januari tahun 2021.

6. Yang kelihatan menjadi keutamaan Kerajaan ialah untuk memastikan Belanjawan yang tidak mementingkan rakyat tetapi mementingkan kelangsungan politik ini dilulus seberapa segera yang mungkin.

7. Kita dapat lihat bagaimana isu kuarantin ahli Parlimen dari Sabah yang menyokong Kerajaan mendapat layanan “double-standard”. Tiba-tiba sahaja, kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan kepada mereka yang terlibat di dalam pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dan kembali tidak lagi menjadi satu ketetapan.

8. Kerana apa dasar atau ketetapan ini tidak berkuat-kuasa? Ia kerana undi ahli-ahli Parlimen ini perlu kepada Kerajaan untuk meluluskan Belanjawan. Setiap perlakuan dan pertukaran dasar dan ketetapan dibuat seperti menukar pakaian semata-mata untuk kepentingan politik.

9. Yang menjadi mangsa ialah rakyat. Apabila rakyat tidak mengikut peraturan atau ketetapan itu, mereka didenda dan dihukum. Jika ahli Parlimen dipihak Kerajaan melakukannya, peraturan ditukar dan mereka bebas dari sebarang hukuman.

10. Jadi, apakah yang akan berlaku jika Belanjawan 2021 tidak lulus?

11. Pertamanya, ia akan bukti bahawa Kerajaan telah hilang “legitimacy” kerana ia tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk melulus Belanjawan.

12. Apabila ini berlaku, jika Perdana Menteri seorang yang bermaruah ia akan meletak jawatan.

13. Seterusnya, jika di dalam suasana biasa, ia boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Palimen.

14. Tetapi masa sekarang, ketika Negara dilanda pandemik COVID-19, keadaan adalah amat luar biasa dan pengalaman pilihanraya di Sabah baru-baru ini memperlihat bahawa mengadakan pilihanraya umum bukanlah satu pilihan malahan jika dipilih boleh membawa kemudaratan.

15. Kerana itu, proses yang mungkin boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah dikalangan ahli-ahli Parlimen yang ada yang mempunyai sokongan majoriti.

16. Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi Perdana Menteri untuk menubuh Kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihanraya umum ke-15 diadakan.

17. Ini akan dapat memastikan bahawa Kerajaan baharu ini mempunyai legitimacy dan tidak dipersoalkan seperti Kerajaan pintu belakang sekarang ini.

18. Setelah Kerajaan baharu dapat ditubuh, maka Kerajaan ini boleh memilih untuk membentangkan Belanjawan yang baru ataupun mengambil Belanjawan yang telah ditolak dan dilakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu.

19. Semua ini dapat dilakukan di dalam sidang Parlimen khas dan tidak akan mengambil masa yang begitu lama.

20. Kerana itu, saya dan rakan-rakan mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 dan kami lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang kami pegang bagi pihak rakyat sehingga penggal perkhidmatan kami sebagai wakil rakyat tamat.

Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...