Pendedahan mengenai status sijil ijazah Universiti Cambridge YB Senator Datuk Marzuki Yahya yang didakwa palsu sebelum diubah kepada nama universiti lain yang tidak diiktiraf oleh mana-mana badan akreditasi pendidikan adalah amat memalukan negara.
Saya tidak bermaksud seseorang itu harus berkelayakan tinggi jika ingin menjadi ahli politik. Namun sebagai seorang Timbalan Menteri Luar yang menjadi 'wajah' Malaysia di mata dunia, tindakan beliau yang cuba memalsukan status akademik mempamerkan tahap integriti seorang pemimpin. Bagaimana seorang pemimpin yang mempertaruhkan moral dan etikanya mampu bertindak selaku perunding utama mewakili Malaysia dalam pelbagai perjanjian antarabangsa akan dihormati oleh negara luar?
Saya juga kecewa dengan kenyataan beberapa pimpinan tertinggi PPBM yang mempertahankan dan menganggap tindakan Marzuki tidaklah seburuk mencuri wang rakyat, seolah-olah PPBM menghalalkan penipuan dan perbuatan memalsukan sijil akademik. Apakah ini nilai perjuangan PPBM yang kononnya berjuang atas prinsip integriti, moral yang tinggi dan amalan tadbir urus yang baik?
Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar YB Senator Datuk Marzuki untuk mengambil tanggungjawab moral bagi melepaskan jawatan secara terhormat demi kredibiliti sebuah kepimpinan. Sebagai pemimpin parti yang kononnya berjuang atas prinsip integriti, beliau harus mengotakan apa yang diperjuangkan oleh parti! - 7 Februari 2019.