Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 8 Februari 2019

Marzuki Mempertahankan Sijil Cambridge Adalah Tulen, Nafi Tipu Kelulusan.

YB Senator Dato’ Hj Marzuki bin Yahya, Timbalan Menteri Luar Negeri | 1. Saya menyedari bahawa kelayakan akademik saya telah menjadi perbincangan umum beberapa hari kebelakangan ini.

 
2. Ada pihak yang mengatakan bahawa saya tidak bercakap benar kerana di Wikipedia tertulis saya mendapat pendidikan dari University of Cambridge sedangkan universiti tersebut tidak menawarkan kursus Bachelor of Business Administration in Logictics dan tidak menawarkan program pengajian secara jarak jauh.

3. Sepertimana yang kita sedia maklum, sesiapa sahaja boleh memasukkan maklumat ke dalam laman web Wikipedia. Ianya juga boleh diedit oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Sejujurnya saya tidak pernah memasukkan apa-apa maklumat berkaitan pendidikan saya di dalam Wikipedia. Saya juga tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk melakukannya. Bahkan, ketika ditanya oleh media sebelum ini, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya mendapat kelulusan dari Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat dan bukannya University of Cambridge.

4. Saya langsung tidak pernah berniat untuk menggambarkan seolah-olah saya mendapat pendidikan di University of Cambridge. Saya memulakan pengajian jarak jauh bersama CIU pada sekitar tahun 2002, iaitu 17 tahun dahulu. Ketika itu saya sedang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan dan lojistik milik sendiri di Pulau Pinang. Seikhlasnya, niat saya ketika itu ialah untuk menimba ilmu kontemporari dan terkini mengenai industri perkapalan dan lojistik di negara maju, termasuklah di Amerika Syarikat. Harapan saya ialah agar ilmu yang diperolehi akan dapat membantu mengembang dan memajukan perniagaan perkapalan yang saya usahakan.

5. Sewaktu mengikuti pengajian, selain beberapa subjek asas, saya mengambil subjek-subjek yang berkaitan dengan bidang perkapalan dan lojistik iaitu Pengurusan Lojistik I; Pengurusan Lojistik II; Pegurusan Kawalan Stok; Pengurusan Rantaian Bekalan dan; Pengurusan Strategik. Saya sertakan transkrip dari CIU untuk rujukan. Semasa mengikuti pengajian, saya menyiapkan tugasan-tugasan untuk subjek-subjek yang diambil sepertimana yang diminta oleh universiti.

6. Sewaktu saya memulakan kursus pada sekitar tahun 2002 dan mendapat kelulusan pada tahun 2005, masyarakat Malaysia dan juga masyarakat dunia masih belum membincangkan tentang akreditasi universiti secara meluas. Bahkan, pada ketika itu masih belum ada sistem ranking universiti yang terkenal dan tersusun seperti pada hari ini. Pada masa itu juga masih belum ada senarai universiti yang dikatakan sebagai “bogus university”.

7. Oleh itu, apabila mengetahui mengenai kursus yang ditawarkan oleh CIU yang berkaitan dengan bidang perniagaan yang saya ceburi, saya mendaftarkan diri tanpa memberikan penekanan kepada aspek akreditasi kursus yang ditawarkan.

8. Sejujur dan seikhlasnya saya tidak pernah berniat untuk menggunakan kelayakan akademik yang ada bagi mengelirukan sesiapa. Ini kerana niat asal pengajian saya 17 tahun dahulu adalah untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan yang saya ceburi. Ketika itu tidak pernah terlintas di hati saya bahawa suatu hari nanti saya akan berada pada kedudukan hari ini sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan.

9. Saya berharap agar penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan yang ada. Dengan ini juga, saya menyerahkan kedudukan saya sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu kepada YAB Perdana Menteri dan kepimpinan parti. - 8 Februari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...