Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 9 Februari 2019

PSM Lapor Polis, 3 Soalan Untuk Kerajaan Perak.

PARTI SOSIALIS MALAYSIA PERAK | Aduan Polis

Kami dari Parti Sosialis Malaysia membuat aduan polis terhadap kerajaan negeri Perak kerana membiarkan pembersihan hampir 10 hektar hutan dan penanaman kelapa sawit di Bukit Kledang Saiong. Kenyataan pada 8/2/19 oleh MB Inc bahawa mereka tidak tahu tentang pembersihan kawasan luas ini, serta rancangan pembangunan mereka amat merisaukan dan kami mahu polis siasat perkara-perkara berikut:


1. Mengapakah badan-badan penguatkuasaan berkaitan dengan tanah, penjagaan bukit dan hutan, dan polis tidak menghentikan dengan serta merta pencerobohan haram Bukit Kledang?

Adalah mustahil pihak berkuasa (Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Daerah, dan Pejabat Polis Ipoh) tidak memperhatikan pemusnahan kawasan hutan seluas 10 hektar yang berlaku di depan mata, dan yang melibatkan sebilangan besar jentera berat. Orang awam pun sudah mula sedar bahawa satu kawasan luas di lereng Bukit Kledang dibersihkan secara tiba-tiba pada hujung bulan Januari tahun ini.

Mengapakah semua jabatan ini gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengambil tindakan tegas dan serta merta untuk hentikan pembersihan haram ini?

2. Siapakah individu/pihak yang mencerobohi 10 hektar hutan ini, dan siapakah yang melindunginya?

Pencerobohan secara terang-terang satu kawasan hutan yang sangat luas, yang dimiliki kerajaan dan syarikatnya MB Inc, dan penanaman dengan kelapa sawit tanpa sebarang permit atau lesen, menunjukkan bahawa tindakan ini dilakukan oleh pihak yang rasa dirinya kebal, dan tidak risau tindakan akan diambil terhadapnya.

Polis harus menyiasat siapakah pihak ini, siapakah yang melindunginya dan bagaimana dia berjaya mencerobi Bukit Kledang secara haram tanpa diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa.

3. Mengapakah kerajaan negeri Perak tidak berunding dengan rakyat tentang pembangunan Bukit Kledang ?

Kenyataan MB Inc pada 8/2/19 merisaukan sebab pegawainya memaklumkan bahawa rancangan MB Inc adalah untuk membuat projek ‘hartanah bercampur’ untuk penempatan rakyat. Kami juga mendengar ura-ura bahawa ada rancangan untuk ‘plantation forest,’ dan bahawa jumlah keluasan hutan yang akan dibersihkan adalah 24 hektar lebih.

Apakah perlukah Bukit Kledang yang merupakan satu aset semulajadi indah dan tempat kegemaran untuk ‘hikers’ dan pelancong dimusnahkan untuk projek perumahan. Rumah untuk siapa? Mengapa tidak menggunakan tanah rata di tempat lain disekitar Ipoh? Mengapa tidak memakai Akta pengambilan Tanah untuk ambil tanah ladang untuk melaksanakan projek perumahan?

Pembangunan dilereng bukit boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh terutamanya semasa hujan lebat yang kini menjadi satu kebiasaan. Adakah MB Perak sebagai Pengerusi Exco Tanah dapat menjamin pembangunan di lereng bukit ini tidak akan mengancam nyawa dan keselamatan penduduk-penduduk berhampiran, dan juga pengguna Lebuhraya Ipoh - Lumut? Adakah MB Perak dapat menjamin bahawa pembersihan hutan untuk projek perumahan tidak akan menyebabkan hakisan tanah, pemendapan sungai dan banjir besar di kawasan perumahan berhampiran dan juga di kawasan hilir sungai? Apakah keputusan kajian EIA terhadap skim pembangunan ini?

Kami mahu polis menyiasat perkara-perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap penceroboh 10 hektar hutan di Bukit Kledang, dan terhadap semua pihak dan pegawai kerajaan dan penguatkuasa yang cuai ataupun bersubahat dalam pencerobohan ini.

Sekian aduan kami. - 9 Februari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...