Zikri Zulkifli | Semalam tular satu video berkenaan ucapan YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Senator Wan Fayhsal menjanjikan surat sokongan kepada Ketua-Ketua ARMADA di peringkat bahagian dan cawangan sebagai sebahagian dari janji kempennya untuk jawatan Ketua ARMADA Nasional.
Saya lihat, ramai yang telah salah faham dan menyalah ertikan janji tersebut sebagai satu cubaan untuk menyogok para perwakilan ARMADA dengan surat sokongan bagi mendapatkan projek ataupun tender kerajaan.
Sebagai seseorang yang berada di situ sewaktu ucapan tersebut dibuat, izinkan saya memberi sedikit penerangan. Surat sokongan ada banyak jenis kegunaan. Yang dimaksudkan oleh YB Senator di dalam video tersebut bukanlah surat sokongan untuk mendapatkan projek atau tender kerajaan dengan mudah.
Sebaliknya, surat sokongan yang dimaksudkan adalah surat sokongan yang akan dibuat bagi membantu ahli-ahli ARMADA di akar umbi supaya dapat menjadi lebih efisien di dalam gerak kerja membantu masyarakat setempat terutama golongan belia dan anak muda.
Kita ambil contoh; jika di sebuah kampung ada anak muda yang memerlukan tiang gol baru di padang bola sepak mereka, Ketua ARMADA di kawasan tersebut boleh memanjangkan perkara tersebut kepada YB Senator berserta surat sokongan dari Ketua ARMADA tersebut.
Untuk permasalahan yang melibatkan kementerian lain atau 'cross ministries' pula, kita boleh ambil contoh jika ada anak muda yang menjalankan perniagaan tani. Anak muda ini mahu kembangkan perniagaannya dan memerlukan tambahan dana. Ketua ARMADA di kawasan tersebut boleh memanjangkan perkara tersebut kepada YB Senator. Pada waktu itulah YB Senator akan menulis pula satu surat sokongan kepada YB Menteri Pertanian agar memberikan perhatian kepada keperluan petani muda tersebut.
Jadi, apa yang diterang serta dirangka oleh YB Senator itu adalah untuk memperkasakan pemimpin muda di akar umbi agar dapat memberi khidmat kepada masyarakat setempat menggunakan segala jentera dan kemudahan kerajaan secara penuh.
Dari sudut pandang peribadi saya, impian dan niat YB Senator itu jelas, dia mahukan pemimpin akar umbi ARMADA dilihat betul-betul mampu menabur bakti serta berupaya menyelesai masalah masyarakat terutama perkara yang melibatkan kerajaan, bukanlah untuk menyogok para perwakilan dengan projek atau tender.
Wallahualam, saya serahkan pada tuan puan untuk menilai.