Blog Chedet sekarang susah nak masuk. Masalah. Sangat-sangat masalah. Nak kena tunggu berjam baru dapat masuk. Pelik gak aku. Kalau kena block mesti tak boleh masuk langsung. Ini boleh masuk tapi loading dia mak aiii.. aku siap boleh masak nasi, cuci baju, sidai baju kemudian makan nasi yang dah dimasak tadinya tue. Nampak tak betapa sukarnya nak memasuki blog Chedet? Gila betul la. Semua yang serang Najib hadap keadaan macam neh. Bapak gila terbukanya dan demokrasinya pentadbiran Najib kau neh kan.
Hehe.
Penulisan kali neh pasal hudud. Ada point Mahathir yang aku bersetuju. Dan ada yang aku tak bersetuju. Tapi secara kesimpulannya aku melihat Mahathir gagal ulas isu pokok. Hudud yang nak dibentang oleh PAS terbuka kepada penambahbaikan tapi rang undang2 yang nak digubal cuma membabitkan pindaan berkaitan rotan seperti yang disebutkan oleh Husam Musa sebelum ini. Tapi pada pemerhatian aku. PAS bukan nak bawa hudud. UMNO lagi haram nak sokong hudud. PAS bawa isu hudud untuk sakitkan ahti DAP. Dan UMNO sokong hudud untuk pecahkan PR. Ini je matlamat depa yang aku nampak.
Aku punya fikiran senang aje. Kalau satu2 pemimpin itu condong kepada dasar Islam, secara sendirinya dia akan melakukan perkara yang betul. Peringkat demi peringkat. Pengasingan ikut tingkat kepentingan. Contoh kes. Sebelum sibuk bentang hudud selesai masalah banjir. Solusi untuk tahun depan mesti dah siap terlaksana. Siasat pendedahan Sanusi. Parti sendiri bukan sahaja perlu terlihat bersih bahkan betul-betul perlu bersih. Lebih banyak tumpu masa untuk selesai masalah rakyat dari bergaduh di media massa. Aku fikir neh jek. Pada aku. Yang nak laksanakan hudud itu hasrat TGNA. Memang ikhlas dan berkemahuan sungguh. Sebab itu forum dan perbincangan diadakan tahun ke tahun. Tujuan pendidikan. Sesiapa pun boleh nampak usaha tuan guru. Aku tahu betapa bagusnya undang2 Islam itu nanti jika pelaksananya itu seperti tuan guru Nik Aziz. Sebab tue aku sentiasa sokong hudud di bawah tuan guru. Dan aku tahu memang undang2 Islam itu bagus dengan sendirinya. Tapi sungguh pun begitu undang2 itu perlu disokong oleh si pelaksana yang adil dan amanah serta berintergriti juga. PAS pada aku semakin lama semakin hilang kelayakan tersebut. Aku kurang menyakini keikhlasan dan perjuangan parti berkenaan pada masa ini. Mungkin aku terlalu terkesan dengan perwatakan tuan guru Nik Aziz yang berbeza dari pimpinan2 PAS sekarang. Aku tak nafikan. Ada sesetengah dari mereka benar2 memperjuangkan hudud. Mereka mendidik dan membantu kita yang tak faham kepada faham. Aku puji part usaha baik yang berterusan tue. Tapi selepas baton bertukar di Kelantan, pewarisnya nampak macam lebih kepada berpropaganda. Ini yang aku rasa.
1. Saya terkejut mendengar bahawa UMNO Kelantan menyokong hudud PAS. Saya harap mereka faham apa yang dilakukan oleh mereka.
2. Hudud PAS bukan hudud Islam sebab ia sangat tidak adil, sedangkan Al-Quran menuntut keadilan apabila menghukum.
3. Hukum potong tangan, rejam sampai mati dan penggal leher ke atas orang Islam tetapi mengenakan hukum yang amat ringan kepada orang bukan Islam dalam masyarakat yang sama amatlah tidak adil. Justeru itu hudud PAS bukan hukum hudud Islam.
4. Yang kedua ialah niat PAS dan juga UMNO Kelantan apabila memperkenalkan hudud PAS adalah untuk kepentingan politik. Ini menjadikan hukum hudud PAS dan sokongannya oleh UMNO tidak Islam.
5. Bahawa niat PAS adalah untuk politik adalah jelas daripada “Amanat Perdana Pemangku Presiden YAB Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang – Pilihanraya Ke-11 Formula Kemenangan pada 18 Januari 2003, 15 Zulkaedah 1423 Hijrah”.
6. Amanat ini berbunyi demikian, “yang pentingnya perlu ada kerjasama untuk menjatuh atau mengurangkan penguasaan atau hegemoni BN di Parlimen dan kali ini DAP perlu diyakinkan bahawa mudharat kerjasama ini dapat dikurangkan sebab konsep kerjasama ini berbeza dalam strategi 2 Arca berbanding BA-1999”
7. Ini disusuli dengan “Justeru kerana isu Negara Islam dan pelaksanaan Hudud dan Syariah menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan itihad-besar untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan Hudud di peringkat Federal. Peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini di peringkat Federal.
8. Seandainya menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau Pembangkang akan menubuhkan sebuah Kerajaan Demokratik dan Adil di peringkat Federal atau Pusat, yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.”
9. Nawaitu orang Islam semasa membuat ibadat amat penting. Jika niat semasa solat, tawaf dan saii ialah untuk senaman, ia tidak lagi menjadi ibadat. Kerana hudud PAS mempunyai niat menang pilihanraya, maka ia tidak lagi Islam.
10. Atas dua alasan ini, undang-undang yang di lulus oleh dewan undangan negeri Kelantan tidak boleh diterima sebagai hukum hudud Islam. Sebaliknya jika dikenakan ke atas orang bukan Islam ia akan ditentang dan huru hara akan berlaku. Allah s.w.t. tidak suka orang yang mencetuskan huru hara dan melakukan kerosakan. (Surah Al-Baqarah Ayat 27, 123)
11. Di Malaysia, hukum syarak yang sedia ada terhad kepada kepincangan dalam keluarga Islam. Ia tidak menganiaya orang Islam atau orang bukan Islam. Untuk jenayah lain, undang-undang Malaysia tidak membezakan antara agama demi mencapai keadilan bagi semua. Ketegasan Islam berkenaan dengan keadilan dijunjung.
12. Dato Haji Hadi berkata saya tidak tahu syariat Islam. Oleh itu saya tidak layak bercakap berkenaan hukum hudud. Saya juga boleh kata Haji Hadi tidak tahu berkenaan pentadbiran dan tidak layak mentadbir negeri. Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang perubatan saya boleh kenal pasti penyakit, termasuk penyakit pentadbiran dan mengubatinya. Saya tidaklah begitu jahil dalam bidang agama. Hasil semasa pentadbiran oleh saya boleh dikaji.
13. Ingatlah orang-orang yang fasih bahasa Arab dan dipimpin oleh pemimpin yang terpelajar dalam bidang agama; orang-orang inilah yang berperang dan membunuh orang yang seagama dengan mereka. Apakah mereka tidak tahu akan larangan membunuh dalam Islam. Mereka mencipta jenayah yang tidak pun ada dalam Islam dan menjatuh hukum yang ditentukan oleh mereka tanpa menitikberat soal keadilan yang dituntut oleh Islam.
14. Ada yang menjatuhkan hukum bunuh kerana tidak simpan janggut, kerana melihat pertandingan bola sepak, kerana tidak memakai hijab sepenuhnya. Terdapat kes seorang lelaki menembak mati seorang wanita kerana dituduh berzina. Cara perbicaraan dan lelaki yang melakukan zina tidak ditunjuk. Hanya perempuan itu ditembak mati. Islamkah perbuatan ini. Adilkah perbuatan ini.
15. Ada yang akan berkata jika ini menjadikan imej Islam buruk dan tidak adil, tidak mengapa kerana kita melakukan hukum Allah. Tetapi benarkah hukum yang dicipta tanpa mengambilkira keadilan Islam serta dengan niat politik adalah hukum Allah.
16. Memikir bahawa imej Islam di kalangan orang bukan Islam, bahkan orang Islam sendiri tidak penting adalah salah. Islam berkembang meluas dahulu kerana imej tamadun yang didiri oleh orang Islam begitu cemerlang sehingga memikat hati orang bukan Islam. Orang Melayu menerima Islam kerana kejayaan dan kehandalan peniaga Islam dari Negara Arab dan India.
17. Melakukan sesuatu kerana kepentingan lain yang memburukkan imej Islam adalah sesuatu yang tidak menepati ajaran Islam dan menjauhkan orang bukan Islam dari agama suci Islam. Ia adalah perbuatan anti-dakwah.
18. Ingatlah segala yang buruk datang dari kita dan segala yang baik datang dari Allah s.w.t.
Sumber : Chedet.