Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 31 Disember 2020

Selepas Najib, Kini Anwar Mahu Zeti Jawab Dakwaan Terkait Skandal 1MDB.

POLITIK | Sudah beberapa hari Najib Razak mempersoalkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam skandal 1MDB.

Najib menggunakan portal Malaysia Today sebagai rujukan bagi mendesak Zeti menjawab pertuduhan tersebut.

Kali ini Anwar pula mahu Zeti menjawab dakwaan-dakwaan yang membabitkan ahli keluarga Zeti bagi membersihkan namanya.

Berikut adalah kenyataan media tersebut;

KENYATAAN MEDIA | Pertuduhan terbaru mengaitkan keluarga mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam kes 1MDB yang melibatkan transaksi dengan Jho Low dan bank-bank di negara jiran Singapura menampakkan Malaysia masih jauh dalam mencari jalan keluar dari skandal ini. Imej dan reputasi buruk kepada negara kesan dari skandal ini masih belum pulih sepenuhnya. 

Mereka yang mendapat faedah dan laba dari kes 1MDB ini mesti dibawa ke muka pengadilan. Mereka yang bersekongkol mesti juga bertanggungjawab kerana tidak mungkin skandal maha dahsyat ini terwujud tanpa persetujuan dari pelbagai lembaga kewangan dan peraturan.

Kegagalan untuk menghadapkan mereka ke muka pengadilan juga akan meletakkan Malaysia dalam keadaan terdedah kepada skandal semacam 1MDB di masa hadapan. Ia juga akan menjadikan Malaysia sebagai bahan gurau senda tatkala kita gah berbicara soal ketelusan. kebertanggungjawaban dan melawan rasuah.

Maklumat terkini berhubung kemungkinan keterlibatan Dr. Zeti dalam skandal 1MDB ini adalah berkait dengan pembekuan wang yang berasal dari dana haram 1MDB oleh pihak berkuasa di Singapura. Akaun-akaun luar pesisir yang berdaftar memberi petunjuk bahawa ia adalah milik ahli-ahli keluarga Dr. Zeti. 

Beliau yang kini menjawat jawatan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) harus segera mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini terkait pengetahuannya tentang aliran dana haram 1MDB, dan apakah atas kapasiti sebagai Gabenor BNM beliau telah dengan sedar membenarkan aliran dan transaksi masuk dan keluar dari akaun-akaun bank di Malaysia yang dimiliki oleh pemain-pemain politik. 

Beliau juga mesti memberi penjelasan tentang sebarang pengetahuan yang beliau ada saat kes 1MDB terdedah, dan apakah ahli-ahli keluarganya turut mendapat manfaat kewangan hasil dari kesepakatan dengan Jho Low. 

Kegagalan untuk menjawab persoalan-persoalan ini akan mewujudkan prasangka dan keraguan terhadap integriti pengawal selia kewangan di negara ini. 

Pemerintah Republik Singapura juga harus tampil dan memberi penjelasan kerana skandal ini akan memberi dampak buruk kepada reputasi republik itu sebagai pusat kewangan terkemuka. 

Sejak penyiasatan terhadap 1MDB bermula, banyak negara telah melakukan yang sepatutnya, termasuk mengenakan denda dan penalti ke atas bank-bank dan para eksekutif kewangan yang bersekongkol dalam skandal ini. 

Walhal di Malaysia, tempat asal dana haram ini, masih belum berbuat apa-apa yang ketara dan meyakinkan.

ANWAR IBRAHIM

Harakah Lakukan Migrasi Server, Bukannya Delete Post Kata Zuhdi.

POLITIK | SU Politik kepada Menteri Alam Sekitar, Mohd Zuhdi Marsuki menafikan portal Harakah Daily memadamkan berita berkaitan judi yang disiarkan pada tahun 2010.

Menurut Zuhdi artikel lama terbitan Harakah hilang disebabkan migrasi server yang berlaku pada setahun dua yang lepas. Disebabkan itu banyak berita-berita dari server lama hilang.

"Untuk pengetahuan empunya FB Page, Harakahdaily telah melakukan migrasi server Harakahdaily setahun dua yang lepas. Banyak berita-berita dari server yang lama hilang semasa migrasi tersebut. 

PAS tidak pernah membuat pusingan U dalam isu pengharaman judi. InshaAllah saya akan keluarkan kenyataan akhbar dalam tempoh terdekat tentang perkara itu.

Saya berikan contoh link Harakahdaily yang tidak dapat diakses, iaitu artikel saya semasa Ustaz Azizan Abdul Razak meninggal dunia.

https://bm.harakahdaily.net/.../22333-catatan...

Satu lagi contoh link yang sudah terputus disebabkan migrasi server ialah artikel tentang isu sentuh anjing.

http://www.harakahdaily.net/.../31623-sentuh-anjing... ," katanya.

Zuhdi membuat kenyataan itu ketika menjawab post Ustaz Rozaimi Ramle atau lebih dikenali sebagai RORA yang mengulas mengenai dakwaan Harakah telah memadamkan berita berkaitan judi dan pelacuran.

Sebagai rekod, sebelum ini sememangnya Harakah kerap memadamkan berita-berita tertentu dari portal mereka sehingga ditroll sebagai Harakah Delete bagi memerli portal itu. - 31 Disember 2020.

MN Di Ambang Perpecahan, Mokhtar Senik Salahkan PH, Ku Li.

Ustaz Mokhtar Senik | USAHA BERTERUSAN MEMECAHKAN MUAFAKAT NASIONAL.

Saya lihat agak konsisten jugak pendokong PH menyerang Muafakat Nasional. Termasuk pimpinan yang agak kanan dalam PAN, DAP, PKR dan Veteran UMNO. Itu tidak kira lagi cybertroopers yang sedang kelaparan. Presiden PAN minta ahli PAS kenang balik peristiwa Memali. Ku Li minta UMNO jangan biarkan PAS tumpang tuah UMNO. 

Pendek kata semua statement-statement itu sarat dengan harapan agar PAS dan UMNO kembali berperang dan MN terburai ikatannya. Sakit benar hati mereka melihat persaudaraan PAS UMNO. Saya yakin mereka tidak akan berjaya kecuali jika ada pimpinan UMNO atau PAS yang menari mengikut irama sumbang mereka. Persaudaraan Aus dan Khazraj ini perlu dijaga rapi. Kerana orang-orang Abdullah bin Ubai sentiasa mencari ruang dan peluang.

Salakan mereka jangan dilayan. Cantiknya kalau pimpinan-pimpinan yang tak berkenaan tutup mulut. Biar pucuk pimpinan tertinggi sahaja yang bercakap dan buat statement. Harap-harap tidak ada dikalangan PAS atau UMNO ini pimpinan yang "gila mic". Elakkan membuat statement balas yang bukan pandangan parti. Waktu-waktu sebeginilah pentingnya walak diamalkan.

Saya yakin saranan Mat Sabu agar ahli-ahli PAS mengenang peristiwa Memali tidak memberi apa-apa kesan kepada PAS. Kami orang PAS telah diajar dengan akhlak Islam. Berbaik dengan UMNO tidak bermakna menafikan kemurnian perjuangan para syuhada Memali. 

Kerana kedua-dua zaman itu berbeza. Yang mengajak para sahabat Nabi mengingati kejahatan dan perseteruan dengan Abu Sufian hanyalah para munafik Madinah. Mereka tidak senang melihat persaudaraan berlaku antara para sahabat dengan Abu Sufian selepas Fathul Makkah.

Manakala Ku Li pula cuba menyemarakkan kembali semangat asobiyyah UMNO. Dengan memberi amaran agar UMNO jangan biarkan tuah UMNO di kongsi dengan PAS dan Bersatu. 

Hakikatnya tiada siapa yang bertuah samada PAS atau UMNO atau BERSATU jika meninggalkan Islam dan penyatuan ummat Melayu. 

Rupanya-rupanya Ku Li sudah jauh tertinggal dibelakang berbanding ahli-ahli UMNO yang lain. 

Ketika ahli-ahli UMNO yang lain sedang bercakap soal gagasan penyatuan Ummat Melayu Muslim dalam MN, Ku Li masih terkial-kial mencari jati perjuangan yang sebenar. Tidak hairan jika Ku Li sudah berkali-kali menjadi pelanduk yang masuk perangkap Tun.

INSYALLAH.. sinar suria permuafakatan ini akan lebih bersinar bila kedua-dua pihak dalam MN saling berteguh janji dan tidak berjoget mengikut paluan rebana PH dan para munafik yg berkeliaran dimana-mana. - 31 Disember 2020.

Mana-Mana Pihak Tak Perlu Minta PAS Memilih MN Ataupun Tidak - Takiyuddin Hassan.

POLITIK | Pagi ini, SU Agung PAS, Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan satu kenyataan media yang menggaris beberapa penjelasan penting mengenai penyertaan PAS dalam gagasan Muafakat Nasional.

Isi penting dalam kenyataan media tersebut adalah seperti berikut;

- Tak perlu mana-mana pihak membuat desakan terhadap PAS agar memilih mahu bersama Muafakat Nasional (MN) ataupun tidak.

- PAS adalah antara watak utama yang merangka penubuhan MN.

- PAS berpegang teguh pada Piagam MN, iaitu bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraannegara.

MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok.

- Tiada halangan pada UMNO mahupun PAS untuk menyertai atau bersama mana-mana kerjasama politik demi mengekalkan agenda besar.

Berikut dibawah adalah kenyataan media lengkap dari Takiyuddin Hassan;

KENYATAAN MEDIA | MUAFAKAT NASIONAL DITUBUHKAN DEMI UNTUK PENYATUAN UMMAH

Mana-mana pihak tidak perlu meminta PAS memilih sama ada hendak bersama Muafakat Nasional (MN) atau tidak kerana PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah.
 

PAS berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai antara UMNO dan PAS pada 14 September 2019 yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraannegara.

PAS turut mempertegaskan betapa MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnya secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan.

Justeru itu PAS berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di dalam negara ini.

Dengan mengekalkan komitmen yang mantap dalam Agenda Besar MN, adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk UMNO daripada kekal bersama Barisan Nasional (BN) mahupun untuk PAS dari menyertai mana￾mana gabungan atau kerjasama politik.

Apa yang penting adalah gabungan UMNO dan PAS boleh malah perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi PRU15 dengan suatu persefahaman yang jitu khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain. 

PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HAJI HASSAN
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 31 Disember 2020.

Rabu, 30 Disember 2020

Nama Muafakat Nasional Sudah Didaftarkan Oleh Orang Lain - Nik Amar.

MALAYSIAKINI | Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mendedahkan usaha pendaftaran Muafakat Nasional (MN) menghadapi sedikit masalah kerana dia difahamkan nama itu sudah digunakan oleh pihak lain.


"Saya difahamkan ada usaha-usaha untuk daftarkan, tetapi tidak dapat didaftar kerana nama itu sudah orang lain guna.

"Nama (MN) itu sudah ada dalam pendaftaran ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), tak tahu macam mana, itu yang saya difahamkan.

"Sebab itu kita tak boleh daftar, kalau nak daftar kena ada perubahan nama,"
katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu Mohd Amar berkata, setakat ini belum ada sebarang cadangan terhadap perubahan nama tersebut.

"Setakat ini belum ada (cadangan), jadi kita berjalan dengan kekalkan nama MN tetapi tidak didaftarkan," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Sebagai rekod, Setiausaha Agung BN Annuar Musa sebelum ini dilaporkan pendaftaran MN akan memakan masa sebelum didaftarkan dengan ROS.

Ini kerana katanya, pimpinan gabungan itu perlu menguruskan bagi kerja-kerja prapendaftarannya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan ROS dan pemimpin-pemimpin lain MN berkaitan perkembangan itu. - 30 Disember 2020.

RM80 Juta Dan Peranan Ahli Politik Dalam PRASARANA, Apa Yang Kita Faham Setakat Ini.

POLITIK | Portal The Edge melaporkan wujudnya usaha untuk membuat keputusan secara politik dalam menentukan kepimpinan, halatuju dan matlamat Prasarana.

2. Prasarana Malaysia Bhd merupakan syarikat milik kerajaan Malaysia 100% dan ditubuhkan untuk transformasikan dan menstrukturkan semula perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.

3. Apa yang didedahkan oleh portal The Edge adalah seperti berikut;

- Pada 13 Mei 2020, Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato Sri' Tajuddin Abdul Rahman, 72 tahun telah dilantik sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad.

- The Edge mendakwa Tajuddin menggunakan autoritinya untuk melakukan perubahan signigfikan dalam Prasarana.

- Beberapa perubahan yang ingin dilakukan itu, dikatakan telah menimbulkan persoalan dan pertikaian mengenai kepimpinan dan hala tuju syarikat.

- Tajuddin didakwa berusaha menamatkan kontrak Latitud 8 bernilai RM1.2 bilion, yang merupakan projek pembinaan komersial pelbagai guna dekat stesen LRT Dang Wangi di Kuala Lumpur.

- Tajuddin didakwa mahu melakukan itu atas tujuan untuk membolehkan Prasarana memainkan peranan lebih besar dalam projek itu dan akhirnya memindahkan pejabatnya di situ.

- Sokongan lisan dari Kementerian Kewangan juga telah diperolehi,
atas alasan kawasan yang bakal menempatkan pejabat baharu lebih strategik kerana berada di segi tiga emas Kuala Lumpur. Pejabat kini berada di Bangsar.

- Prasarana dikatakan mampu untuk menanggung
kos RM80 juta bagi menamatkan Perjanjian Pembangunan Tanah (JLDA) dengan dua syarikat yang terlibat.

- Syarikat yang terlibat dalam pembinaan Latitud 8 adalah Crest Builder Holdings Bhd dan Intan Sekitar Sdn Bhd.

- Crest Builder ada pegangan sebanyak 51%.

- Manakala Detik Utuh Sdn Bhd ada pegangan sebanyak 49%.

- Pemegang saham Detik Utuh ialah Tindakan Juara Sdn Bhd (40 peratus), Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd (35 peratus) and Vignesh Naidu Kuppusamy Naidu (25 peratus).

- Anak Tajuddin, Sri Rahayu merupakan ahli lembaga pengarah Detik Utuh.

- Tindakan Juara pula dimiliki oleh ahli keluarga Tajuddin. 35 peratus pegangan dalam syarikat itu dimiliki anak perempuannya, isterinya Rohkiah Abd Samat (35 peratus) dan anak lelakinya Firdaus (30 peratus).

- Rohkiah dan Firdaus dilantik sebagai pengarah Tindakan Juara pada awal 2007, kira-kira empat bulan selepas syarikat itu didaftarkan. Sri Rahayu pula dilantik pada Feb 2010.

- Pada Mac 2012, Crest Builder dan Detik Utuh dianugerahkan projek pembangunan di Dang Wangi itu.

- Prasarana, pemilik 2.72 ekar tanah di mana projek itu dibina, akan menerima RM46.64 juta atau 21.2 peratus daripada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV), iaitu kira-kira RM220 juta.

- Pada mulanya, Latitud 8 dijadual dilancarkan pada 2016 tetapi ia tidak terlaksana. Bagaimanapun, Crest Builder dalam laporan tahunan pada 2019 menyatakan kerja-kerja utama telah pun bermula.

- Kerja pembinaan dilaporkan tergendala dan dijadual dilancarkan semula pada tahun ini. Tetapi ia sekali lagi tidak terjadi. Pejabat Latitud 8 berkata pelancaran hanya akan dibuat dalam masa satu atau dua tahun susulan sentimen pasaran.

- Projek itu melibatkan sebuah bangunan 43 tingkat, dengan 17 tingkat untuk ruang pejabat dan 418 unit SoHo (small office, home office), selain kawasan perniagaan.

4. Portal Malaysiakini telah mendapatkan respon dari Ahli Parlimen Pasir Salak untuk mengulas laporan The Edge.

5. Setakat ini Malaysiakini masih lagi menunggu maklum balas dari bekas Menteri Pertanian itu.

6. Dalam perkembangan lain di sosial media, netizens dilihat merumuskan laporan itu seperti berikut;

- Kemungkinan besar usaha untuk mendorong PRASARANA membatalkan perjanjian adalah supaya pembayaran PAMPASAN boleh dilakukan terhadap syarikat yang terlibat.

- Syarikat tersebut mungkin mengalami masalah kewangan memandangkan projek masih tergendala.

Kita akan tunggu laporan susulan dalam perkembangan kes ini kelak. - 30 Disember 2020.

Harakah Padam Artikel Lama Berkaitan Judi Dan Pelacur.

POLITIK | Entah kenapa Harakah telah memadamkan beritanya yang bertarikh18 Mei 2010 atas tajuk : Selepas Judi, Mungkin Zon Pelacur Selamat Pula.

Artikel tersebut tidak dapat diakses dan menunjukkan paparan error 404, seperti error yang biasanya akan berlaku jika mana-mana kandungan berita dipadamkan dari portal.

Sebelum ini, Facebook rasmi Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (MPIC) juga bertindak memadamkan ucapan Selamat Hari Krismas yang memaparkan gambar Menterinya, Dato' Dr. Khairuddin.

Tindakan itu dipercayai dua hari selepas PAS dikecam ramai pihak kerana berbeza pendirian sebelum dan selepas menjadi kerajaan dalam isu ucapan sambutan Hari Krismas.

Pada 28 Disember lalu, Liew Chin Tong mendedahkan kerajaan Perikatan Nasional telah menambahkan bilangan hari cabutan khas Judi Ramalan 4 Digit kepada 22 kali dalam setahun.

Bilangan ini sebenarnya diturunkan secara berperingkat oleh kerajaan PH iaitu kepada 11 kali pada tahun 2019 dan 8 kali pada tahun 2020. Namun selepas Perikatan Nasional mengambilalih pentadbiran negara, ianya dinaikkan kembali kepada 22 kali sama seperti yang dilakukan pada zaman Barisan Nasional.

Disebabkan pendedahan tersebut, beberapa rakaman video lama dan ceramah PAS termasuklah gambar-gambar melawan dan mempertikaikan judi serta kutipan cukai judi kembali tular di laman sosial.

Tindakan oleh segilintir netizens ini dipercayai ada kaitan dengan pendirian PAS sebelum ini, yang mana agak lantang melawan amalan perjudian sejak dahulu.

Sehingga kini PN khususnya PAS belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu judi tersebut. - 30 Disember 2020.

Selasa, 29 Disember 2020

Sanusi Nak Pantau Sendiri, Saifuddin Kata Mana Ada Pembalakan Terkawal!

POLITIK | Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyanggah kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata kegiatan pembalakan di luar kawasan Hutan Simpan Ulu Muda terkawal dan tidak menjejaskan kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan bagi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Kata Saifuddin, amat mustahil untuk mengawal pembalakan tanpa menjejaskan alam sekitar.

"Berita 28 dis 2020 tentang pembalakan di ulu muda Kedah amat mengejutkan.

Seluas 25,000 hektar telah diluluskan. Lesen tebang balak pun telah dikeluarkan oleh kerajaan Kedah.

MB sanusi masuk tinjau kawasan pembalakan ahad lepas dan katanya kpd media “.. aktiviti membalak terkawal dan tidak jejas kawasan tadahan air”

Kalau dah namanya membalak .. hutan ditebang, tanah terdedah, aliran air bawah tanah bertambah, sungai jadi cetek. Alam jadi musnah, muka bumi terganggu.

Saya saksikan sendiri apabila hutan simpan di kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu diberi lesen balak. 

Kesannya banyak kampung alami banjir biarpun hujan 45 minit ! Sehingga sekarang penduduk tinggal dalam kebimbangan dek masalah banjir.

Masih percaya .. kalimah membalak yang terkawal?," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Saifuddin turut menafikan dakwaan kononnya beliau membiarkan pembalakan di Kedah sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat dan negeri.

Menurut Saifuddin sebaik sahaja memenangi PRU14, beliau melakukan pelbagai cara untuk membatalkan pembalakan di Kampung Sungai Tengas.

"Posting terbaru saya darihal pembalakan di Ulu Muda mengundang pelbagai reaksi. Lari tajuk paling top  

Maki hamun pula akibat tak mampu berhujah dgn fakta.
Paling banyak disebut kerajaan tak boleh batal sebab nanti pembalak saman!

Teringat saya 2 minggu selepas PRU14 penduduk kampung Sg. Tengas dalam kawasan saya mengadu jentera berat pembalak dah cerahkan hutan buka jalan.

Hutan simpan di situ punca air kegunaan harian penduduk kampung.

Saya turun berdialog dengan JK bertindak KG. Sg. Tengas.

Mengenalpasti punca dan merangka plan bertindak.

Sementara itu pembalak terus keluarkan kayu. Penduduk semakin resah. 

Pertama, saya bawa dalam mesyuarat kabinet dan KSN Tan Sri Ali Hamsa diarah hubungi kerajaan negeri menyampaikan duduk perkara masalah itu.

Kedua, saya utus surat kepada MB Mukhriz.

Ketiga, memo penduduk KG. Sg. Tengas kepada kjaan negeri dengan hujah tersusun kesan dan akibat membalak kepada kehidupan penduduk.

Hasilnya .. pembalakan dihentikan di kawasan terbabit. Penduduk kampung gembira dan bersyukur. Hutan pun selamat," katanya.

Dalam laporan portal Awani, MB Sanusi sendiri jelaskan beliau akan memantau kawasan pembalakan bagi memastikan segalanya mengikut peraturan.

Bagaimanapun kenyataan tersebut sebenarnya tidak cukup menyakinkan. Bagaimana mungkin MB ada masa nak memantau dan menjaga kawasan pembalakan sendiri. Menteri Besar ada banyak kerja dan urusan lain. Kenyataan ini akan memakan dirinya semula pada masa-masa akan datang. Tunggu dan lihat. - 29 Disember 2020.

Isnin, 28 Disember 2020

Netizens Mahu KJ Jatuh Basikal Di Semua Jalanraya Malaysia Supaya JKR Cepat Baiki Jalan Rosak.

SOSMED | Nampaknya tindakan JKR Kuala Langat yang meminta maaf secara terbuka kepada Menteri Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi mendapat perhatian netizens.

Terdahulu, portal Bernama melaporkan Setiausaha Akhbar Khairy, Raja Syahrir Raja Abu Bakar‏ memberitahu menteri itu terjatuh selepas basikal ditunggangnya melanggar lubang di atas jalan raya pada Ahad.

Khairy dilaporkan cedera di bahagian muka selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti berbasikal di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.

JKR Kuala Langat kemudiannya membuat permohonan maaf terbuka menerusi Twitter rasmi agensi berkenaan.

"JKR Hulu Langat memohon maaf atas kejadian yang menimpa YB menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh," kata JKR Kuala Langat.

Namun tindakan JKR itu kemudiannya mengundang reaksi negatif dari para netizens yang nampaknya tidak berpuas hati. Rata-rata dari mereka beranggapan tindakan JKR Kuala Langat itu sebagai membodek dan mengamalkan sikap double standard kerana selama ini sudah jenuh pengguna jalanraya melaporkan kerosakan jalanraya namun tak ada diambil tindakan drastik seperti memperbaiki kelemahan dan SOP kerja mereka.

Bukan itu sahaja, sudah ramai yang terkorban nyawa dan cedera. Tak ada satu pun permohonan maaf dibuat kepada mana-mana mangsa baik di mana-mana negeri sekalipun. 

Hal itu kemudiannya mencetuskan polemik di media sosial. Netizens juga membuat grafik bagi menyindir perlakuan double standard oleh JKR itu.

Sebagai rekod, jalanraya di Malaysia dan lubang berpisah tiada. Disebabkan itu jugalah tampil NGO seperti Brotherhood bagi membaiki sendiri jalanraya di seluruh Malaysia. Hal ini berlaku kerana kelemahan agensi yang sepatutnya memainkan peranan menjaga kualiti jalanraya.

Antara respon netizens adalah;

1. Mencadangkan KJ berbasikal di seluruh Malaysia dan buat-buat terjatuh supaya JKR di kawasan tersebut akan membaiki jalan dengan laju.

2. Mahu semua VVIP dan para menteri buat-buat kemalangan di semua jalan rosak di Malaysia supaya jalan-jalan itu dibaiki dengan cepat.

3. Semua aduan perlu disalurkan menerusi Twitter, mengikut cara Menteri. Kalau Menteri dapat respon, tak akan pengguna jalanraya tak dapat respon.

4. Pakat-pakat doa agar semua menteri-menteri jatuh lopak dan jatuh atas jalan berlubang agar JKR semakin prihatin tentang keadaan jalanraya di Malaysia.

Bila baca sekali imbas memang nampak lucu tetapi ia bukan lucu sebenarnya. Inilah perasaan pengguna jalanraya di Malaysia. Mereka sudah habis iktihar untuk mendesak JKR agar lebih proaktif dalam membaiki jalan dan menjaga kualiti jalan. Entah di mana silapnya, walaupun sudah ramai yang terkorban, cedera parah mahupun ringan, tetap tak ada perubahan. Malahan di sesetengah kawasan bukan setakat kualiti jalanraya teruk, bahkan tak ada jalanraya tar pun. Itu belum lagi cerita tentang prasarana jalan awam seperti lampu jalan dan traffic light.

Di mana silapnya sehingga nyawa rakyat dipandang enteng. Entahlah.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata portal online sepatutnya diwujudkan untuk menanggani masalah seperti jalan berlubang supaya JKR dapat membaiki masalah jalan rosak dengan cepat.

Cadangan itu katanya akan dibincangkan bersama Kementerian Kerja Raya.

Kita sama-sama tunggu dan lihat. Adakah cadangan tersebut mampu menyelesaikan masalah yang menghantui pengguna jalanraya selama ini ataupun tidak. - 28 Disember 2020.

Cabutan Judi Nombor Ekor Naik Dari 8 Kali Zaman PH Kepada 22 Kali Di Zaman PN - Liew Chin Tong.

Liew Chin Tong | Saya dimaklumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah meningkat kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit daripada 8 kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada tahun 2021.

Mungkin ramai Yang Berhormat di sini tidak tahu; cabutan khas dimulakan pada tahun 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah ketika itu. 

Kerajaan pada masa itu mengizinkan syarikat judi mengadakan cabutan khas selain daripada tiga hari cabutan seminggu yang ditetapkan. Justeru, dalam setahun, ada 156 hari cabutan biasa dan, 22 hari cabutan khas.

Sebahagian besar pendapatan daripada cabutan khas ini disumbang terus kepada aktiviti kerajaan. Pada tahun 2017, kerajaan telah mengutip sebanyak RM238juta melalui cabutan khas walaupun wabak virus Nipah pun sudah tiada lagi.

Dalam aspek ini, kerajaan sebenarnya sedang mengutip cukai daripada golongan bawahan yang seringkali mencuba nasib mereka dalam aktiviti judi.

Majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini juga merupakan golongan B40. 

Mereka mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan boleh memperoleh habuan lumayan. Ramai mereka yang menjadi ketagih kepada perjudian dan ini mengakibatkan masalah-masalah sosial yang lain. Mereka ini akan terus menerus mencuba nasib dengan cabutan khas.

Oleh itu, pada November 2018 Kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil keputusan untuk mengurangkan kekerapan cabutan khas. Daripada 22 kali pada tahun 2018 yang ditetapkan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kami mengurangkan jumlah cabutan khas kepada11 kali sahaja pada tahun 2019, dan kekerapan cabutan khas terus dikurangkan lagi pada tahun 2020 kepada 8 kali sahaja setahun. 

Malangnya, kerajaan Perikatan Nasional kini menambah kembali jumlah cabutan khas kepada tahap zaman Barisan Nasioal. 

Saya sarankan agar kerajaan ikut langkah kerajaan PH dulu dan kurangkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit. - 28 Disember 2020.

#Covid19, Najib Kata Kadangkala Tak Faham Dengan Keputusan Kerajaan PN.

Najib Razak | Kadangkala saya pun tak faham keputusan kerajaan PN.

Bila kes rendah dan Covid masih terbendung di 2 negeri, kerajaan tak mahu sekat rentas negeri dengan saranan Rakyat perlu bertenang sebab keadaan Covid masih terkawal.

Bila kes sudah mula cecah 1,000 sehari dan sudah menular ke hampir seluruh Malaysia, kerajaan baru nak larangkan rentas negeri.
Bila jumlah kes lagi tinggi menghampiri 2,000 kes dan selepas permintaan darurat kesihatan ditolak, kerajaan tarik balik semua sekatan rentas negeri pulak!

OKT 5: Najib cadang sekat rentas negeri supaya Covid tak merebak ke seluruh Malaysia. Masa itu baru lepas PRN Sabah. Penularan Covid masih rendah dengan kebanyakan kes di Sabah dan utara semenanjung.

NOV 9 (sebulan kemudian): Sekatan rentas negeri bermula.

NOV 23: Kerajaan minta darurat tapi ditolak. Alasan ialah keadaan Covid sudah susah untuk kawal.

DIS 7: Kerajaan tarik balik semua sekatan rentas negeri.

DIS 28: KKM kata jumlah kes Covid sudah melebihi kapasiti sistem kesihatan dan mereka yang disahkan positif Covid tapi tidak bergejala perlu kurung kendiri di rumah sendiri. Amat rugi sekali kita tak lebih tegas untuk sekat rentas negeri pada awal bulan Oktober itu.
---

"5 Okt 5: Najib cadang sekatan rentas negeri bendung Covid-19"
https://malaysiagazette.com/.../najib-cadang-sekatan.../

Siapa Dalang Import Daging Haram Soal Ketua Pemuda UMNO.

Kenyataan Media, Dr Asyraf Wajdi Dusuki | LAPORAN POLIS TERHADAP ISU KARTEL DAGING HARAM 

1. Hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah membuat satu laporan polis berhubung dengan pendedahan media massa berkaitan kegiatan kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status Halal.

2. Pendedahan ini telah menimbulkan keresahan dan kegusaran di kalangan masyarakat khususnya umat Islam kerana melibatkan status bekalan daging import Halal yang meluas di pasaran dan didakwa sudah berlaku sejak 40 tahun lalu.

3. Pemuda UMNO juga telah memperolehi beberapa maklumat penting yang melibatkan agensi Kerajaan yang terlibat secara langsung dalam aspek pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan pemprosesan daging, rumah sembelih dan loji pemprosesan hasilan haiwan di luar negara.

4. Sebagaimana yang sedia maklum, urusan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap pemprosesan daging di luar negara melibatkan beberapa agensi termasuk yang utamanya Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

5. Manakala bagi aspek keselamatan makanan halal pula, beberapa agensi lain juga terlibat bersama JAKIM seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Bahagian Penguatkuasaan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM).

6. Memandangkan banyak agensi dan institusi yang terlibat dalam urusan kawal-selia, pensijilan, pemeriksaan dan penguatkuasan industri Halal di negara ini, maka PEMUDA UMNO mendesak agar ditubuhkan segera PASUKAN KHAS yang turut melibatkan Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segala siasatan dapat dijalankan secara pantas dan bersepadu.

7. Beberapa persoalan yang rakyat berhak mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai isu kartel daging haram ini termasuklah:

(i) Siapakah dalang yang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status Halalnya?

(ii) Mengapakah berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal terutamanya di China, Thailand dan India?

(iii) Kenapakah Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) hanya menghadkan beberapa kilang sahaja di China, India dan Thailand untuk mengeksport ayam dan daging ke Malaysia?

(iv) Apakah DVS dan JAKIM melakukan pemeriksaan secara berkala setiap tahun untuk memastikan status Halal, kesihatan (pencegahan penyakit berjangkit daripada binatang) dan kebersihan kilang-kilang yang diberikan kelulusan status Halalnya? (Daripada maklumat yang Pemuda UMNO perolehi, kali terakhir dua kilang utama yang membekalkan daging ayam di China dibuat pemeriksaan adalah pada 20 Januari 2016 setelah mendapat pensijilan).

(v) Apakah benar DVS tidak pernah mengeluarkan sebarang Permit Import (AP) ekor lembu (Oxtail)? Justeru apakah status halal ekor lembu yang begitu banyak berada di pasaran tempatan yang dikatakan kebanyakannya diimport dari luar negara terutamanya dari Argentina?

8. Berdasarkan beberapa persoalan dibangkitkan di atas, Pemuda UMNO mendesak agar siasatan segera secara bersepadu harus dilakukan melalui PASUKAN KHAS melibatkan PDRM dan SPRM, bagi segera mendakwa dan mendedahkan individu-individu dan syarikat-syarikat yang terlibat dan disyaki terlibat dalam segala bentuk penyelewengan termasuk melibatkan rasuah.

9. Pemuda UMNO juga menuntut agar siasatan secara telus dan pantas dilakukan agar keyakinan dan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap logo Halal Malaysia dapat segera dipulihkan dan dipelihara. - 28 Disember 2020.

Jumaat, 25 Disember 2020

Ucapan Krismas, PAS Dulu Dan Sekarang Lain.

POLITIK | Tindakan Tuan Ibrahim Tuan Man membuat ucapan Selamat Menyambut Hari Krismas nampaknya mencetuskan polemik politik dan perdebatan awam di laman sosial.

Sebaik sahaja grafik ucapan krismas itu bertebaran di laman sosial, tak semena-menanya kenyataan lampau Facebook rasmi PAS Pusat mengenai hukum mengucap Selamat Hari Krismas menjadi tular.

Ini kenyataannya;

Rujuk;

https://www.facebook.com/paspusat/posts/783540668329346  

Pemuda PAS turut membuat kenyataan yang serupa pada tahun 2018, yang disiarkan oleh portal The Malaysian Insight bertarikh 24 Disember 2018.

Rujukan;

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/120765


Bagaimanapun hukum tersebut nampaknya berubah pada 23 Disember 2020 apabila Dewan Pemuda PAS Malaysia menyiarkan dalil terbaru mengenai ucapan Selamat Hari Krismas.

Rujuk;

https://www.facebook.com/DPPMalaysia/photos/a.480411171976090/4260955643921605/

Satu-satunya perkara yang berubah pada tahun 2018 dan 2020 ialah, pada tahun 2018, PAS ialah pembangkang dan Pakatan Harapan ialah kerajaan.

Manakala pada tahun 2020, PAS ialah kerajaan manakala Pakatan Harapan adalah pembangkang.

Tidak dapat dipastikan samada hukum berubah-ubah ini ada kaitan dengan kedudukan PAS yang berubah. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ustaz Rozaimi Ramle atau lebih dikenali sebagai RORA turut mengulas mengenai isu ini;

"Saya melihat ada beberapa orang mula menyebarkan gambar tangkap layar ini. Sebahagian mereka mula mempertikaikan kerana terdapat kontradiksi antara isi kandungannya. 

Pada 2013 melarang ucapan. Manakala pada tahun ini mereka sendiri mengucapkan selamat pada hari raya Krismas/Natal. Post asal boleh dilihat di link berikut:  

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=783540668329346&id=220590201291065

https://www.facebook.com/333762569997423/posts/5097063960333903/ 

Respon saya adalah seperti berikut:

1. Ulama semasa berbeza pendapat tentang hukum mengucapkan selamat pada hari raya orang kafir selagi mana ia tidak mengiktiraf kekufuran mereka. Ia isu khilaf yang kita semua tahu. 

2. Jika diperhatikan, tangkap layar 1 adalah dari Page FB Pas Pusat. Manakala tangkap layar 2 pula dari pimpinan parti tersebut. Ia dari individu yang mungkin berbeza. Mungkin mereka mempunyai pandangan yang berbeza. Kita perlu adil dalam masalah ini kerana tidak mustahil pimpinan parti mempunyai 2 atau lebih pandangan dalam isu-isu ijtihad. 

3. Cuma kita perlu bertanya kepada pemilik Page FB Pas Pusat yang menulis hukum haram pada tahun 2013 adakah mereka telah mengubah pandangan atau masih memegang pandangan haram? Jika mereka mengubah pandangan mereka ia perkara biasa kerana perkara ijtihad adakalanya seseorang boleh mengubah pandangan. Ia bukanlah suatu yang mengejutkan dan memalukan. 

4. Jika mereka masih memegang pandangan haram hukumnya, adakah mereka akan menegur mana-mana pihak yang mengucapkan selamat pada hari raya Natal dari kalangan pimpinan mereka? 

5. Jika mereka telah mengubah pandangan dari haram kepada harus selagi lafaz ucapan itu tidak mengandungi pengiktirafan kepada kekufuran, adakah sewaktu mereka menulis hukum haram itu mereka tidak memakai "teropong putih bersih yang boleh melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap"? 

6. Jika mereka berbeza pendapat dengan 2 pimpinan ini sedari awal lagi, siapakah yang memakai teropong tersebut ketika memilih pandangan ini sehingga terlahir daripada mereka 2 pandangan yang tidak selari? 

Saya sebagai rakyat juga teringin tahu penjelasan mereka dalam isu ini. 

Dr Rozaimi Ramle," katanya dalam kenyataan itu. - 25 Disember 2020.

Rabu, 23 Disember 2020

Kenaikan Kos Haji 2021, Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini.

SEMASA | Nampaknya laporan yang tersiar di akhbar versi cetak Sinar Harian telah mencetuskan kebimbangan di kalangan penganut Islam yang berasa gusar dengan kenaikan kos haji.

Laporan yang disiarkan pada semalam (22 Disember 2020) telah mendatangkan pelbagai reaksi kepada umat Islam di negara ini.

Laporan itu menyebut;

- Pendeposit Tabung Haji disarankan menambahkan simpanan mereka.

- Ini kerana, kos menunaikan haji dijangka akan meningkat pada tahun hadapan (2021).

- Kenaikan itu dipercayai ada kaitan dengan penularan pandemik covid19.

- Dimana kerajaan Arab Saudi akan menguatkuasakan SOP dan langkah keselamatan yang lebih ketat bagi mengekang penyebaran covid19.

- Walaupun kerajaan berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan yang terbaik untuk bakal jemaah haji tetapi semua pihak perlu juga bersedia dengan apa yang akan diumumkan oleh Arab Saudi kelak.

- Bagaimanapun andai kata berlaku sebarang kenaikan, ianya tidak akan dilakukan secara mengejut.

- Kerajaan dalam masa yang sama akan berunding dan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi bagi mengetahui kos yang terbaik serta memperincikan beberapa perkara berkaitan ibadat haji.

- Sebarang keputusan termasuklah menaikkan kos haji akan dimuktamad selepas melalui proses perbincangan termasuklah membawa isu ini ke dalam kabinet.

- Pada ketika ini kos jemaah haji muassasah TH ialah RM9,980. Kos sebenarnya ialah RM22,900. Selebihnya ditanggung kerajaan bagi mereka yang menunaikan ibadat tersebut buat kali pertama.

Laporan ini menjelaskan bahawa sebarang pertambahan kos yang akan berlaku di masa hadapan adalah hasil dari tindakan Arab Saudi dan bukannya kerajaan Malaysia. 

Satu lagi, kenaikan itu pun nampaknya belum muktamad. Boleh jadi kerajaan akan menyerap kos tambahan ataupun melepaskan ia kepada bakal jemaah haji, tertakluk kepada hasil perbincangan bersama.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Sinar Harian bertindak membetulkan tajuk laporan mengenai berita tersebut.

Tajuk akhbar versi cetak : Bakal jemaah kena tanggung sendiri kenaikan kos haji.

Tajuk akhbar versi online yang dikemaskini : Jemaah haji diminta bersedia berdepan caj tambahan baharu.

Meskipun berlaku perubahan tajuk, ia nampaknya tidak mengubah maksud laporan asal, yakni pendeposit perlu bersedia dengan sebarang pertambahan kos di masa-masa akan datang dan haruslah membuat persediaan awal dengan menyimpan lebih. - 23 Disember 2020.

Isnin, 21 Disember 2020

Belgium Dedah Harga Vaksin #Covid19, Timbalan Menteri Nafi Dakwaan Zaharin, HM Tukar Tajuk.

POLITIK | Portal The Guardian melaporkan tindakan seorang Menteri Belgium yang mendedahkan harga yang akan dibayar negara itu (yang dipersetujui Kesatuan Eropah) bagi membeli vaksin covid19 dari beberapa pengeluar berbeza.

Eva De Bleeker mendedahkan senarai harga itu di Twitternya tetapi dipadamkan selepas itu. Bagi kumpulan pendesak yang mahukan ketelusan perubatan, tindakan Eva itu dipuji.

Namun ianya mengundang ketidakpuasan hati dikalangan syarikat farmaseutikal kerana melanggar klausa kerahsiaan yang tertakluk sebagai rahsia komersil sensitif.

Pfizer antara yang mempertikaikan perkara tersebut.

"Harga tersebut dilindungi oleh klausa kerahsiaan dalam kontrak bersama EU komisi," kata pembuat ubat, Elisabeth Schraepen. 

Berikut senarai harga yang didedahkan Eva. EU membeli setiap dos vaksin;

Oxford/AstraZeneca pada harga €1.78 (RM8.81); 

Johnson & Johnson (AS$8.50 atau RM34.35

Sanofi/GSK (€7.56 atau RM37.45) 

Pfizer/BioNTech dijual pada harga €12 (RM59.43)

CureVac (€10 atau RM49.52)

Moderna (AS$18 atau RM72.73).

Oxford memberikan harga yang paling murah, sementara yang paling mahal adalah dari Moderna namun hal tersebut sememangnya sudah diketahui umum.

Bagaimanapun, maklumat itu memberikan kelebihan kepada negara lain yang mungkin masih dalam proses berunding harga dan terma bagi mendapatkan vaksin tersebut.

Belgium dilaporkan membeli 33 juta vaksin dengan harga 279 juta. Jika ditukarkan kepada matawang ringgit, ia bermakna 33 juta vaksin pada harga RM1.376 billion. 

Pada 13 Oktober, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia bersetuju untuk menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global (COVAX).

Pada 16 Oktober, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata penyertaan Malaysia ke dalam COVAX akan membuatkan Malaysia tertakluk kepada perjanjian jualbeli vaksin.

"Kita juga terikat untuk membeli vaksin dari COVAX ini dengan nilai RM600 juta dan ia satu jumlah yang cukup besar tapi tidak halang kita mendapat bekalan dari pembekal luar seperti China dan negara pembekal lain," katanya, lapor Berita Harian.

Sehingga 19 November, Malaysia dilaporkan telah membayar RM94.08 juta wang pendahuluan COVAX. 

"Keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti ini akan membabitkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko berjumlah AS$22,656,200 atau secara anggarannya RM94.08 juta," kata Khairy Jamaluddin pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat. (Berita Harian).

Selain COVAX, Malaysia juga memeterai perjanjian mendapatkan vaksin dari Pfizer.

COVAX akan membekalkan 10% dan Pfizer akan membekalkan 20% bagi keperluan negara.

Pada 27 November lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia bersetuju membeli 12.8 juta dos vaksin dari pembekal Pfizer yang akan tiba seawal suku pertama 2021.

Namun harga pembelian tidak dinyatakan.

Perjanjian antara Malaysia dan Pfizer dimeterai pada 24 November 2020.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam kenyataan bertarikh 21 Disember berkata kerajaan akan memeterai perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca dari United Kingdom pada Isnin ini bagi pembelian vaksin Covid-19 bagi memenuhi keperluan imunisasi 20 peratus rakyat Malaysia.

Dengan ketiga-tiga perjanjian tersebut, ini bermakna Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai bekalan vaksin sehingga 50% bagi penduduknya.

Vaksin tersebut juga akan diberikan secara percuma kepada warganegara dan bayaran akan dikenakan bagi bukan warganegara.

Sementara itu, tindakan Belgium mendedahkan senarai harga pembelian vaksin juga mengundang tanda-tanya dikalangan rakyat Malaysia.

Bahkan ada yang mendakwa Malaysia bayar mahal untuk tujuan dana pilihanraya.

Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan bertarikh 16 Oktober berkata Malaysia akan mengadakan rundingan mengenai harga yang perlu dibayar kepada COVAX kerana kini harga untuk satu vaksin sudah ditetapkan pada harga AS$20 (kira-kira RM82).

Ini bermakna harga yang diberikan kepada Malaysia lebih mahal dari perjanjian EU bersama pengeluar. Bagaimanapun harga itu mungkin tidak tertakluk kepada kos penghantaran, simpanan dan agihan.

Laporan bercelaru Harian Metro;

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim dilaporkan berkata kos pembelian vaksin ialah RM2.3 billion, lebih rendah dari apa yang diperuntukan.

Bagaimanapun laporan itu hanya dapat diakses menerusi portal Harian Metro versi AMP. Bagi versi web kenyataan tersebut tidak terpapar. Tajuk awal laporan tersebut ialah : Covid-19 : Kos Beli Vaksin RM2.3 Billion.

Kini ditukar kepada : Covid-19: Kos beli vaksin lebih rendah.



Dalam laporan yang sama, Ahmad Amzad Hashim juga menafikan dakwaan Zaharin Mohd Yassin kononnya kos Malaysia membeli vaksin adalah sebanyak RM3b. - 21 Disember 2020.

Jumaat, 18 Disember 2020

Kenapa Nak Sokong Grand Coalition?

NURUL ASYIKIN | Kita telah difahamkan apa matlamat Grand Coalition secara asasnya setakat ini.

Baca sini dan sini.

Tetapi kenapa mesti Grand Coalition? Kenapa tak je jemput parti Pejuang dan Warisan masuk Pakatan Harapan? Nama Pakatan Harapan dah busuk sangat ke sampai mereka menyampah (btw, memang dah busuk yer, please terima hakikat ini 😅).

Sebagai rekod, ada juga yang beranggapan idea GC merupakan strategi Tun untuk mengekalkan PN di puncak kuasa pada PRU15. 

Kalau nak diikutkan, masuk Pakatan Harapan lagi senang. Hanya perlu isytiharkan bahawa Pejuang dan Warisan nak masuk ke dalam PH. Jalan Pejuang mungkin sedikit sukar kerana belum diluluskan ROS tetapi bila dah buat pengumuman sedemikian, publik akan faham PEJUANG sebahagian dari PH meskipun belum rasmi.

Kalau anggap nama PH dah tercalar teruk, boleh tukar nama lain. Walaupun ia tak mampu mencuci imej pemimpin-pemimpin dalam parti gabungan tu at least boleh ada pendirian baharu disamping belajar dari kesilapan lampau. 

Proses pembelajaran tu sepanjang hayat. Benda biasa je gagal, yang penting selepas gagal nak berputus asa atau terus bangkit dan memperbaiki kelemahan atau tidak.

Tapi kenapa PEJUANG dan WARISAN tak buat macam tu? Benda ini cukup mudah dan diketahui oleh umum. Pejuang dan Warisan tak mahu Anwar. Mereka boleh bersama PKR. Tapi mereka tak mahu Anwar berada di posisi teratas dalam gabungan baru ataupun ringkasnya, Grand Coalition.

Jika Anwar berada di hierarki tertinggi Grand Coalition (GC selepas ini), maka siapa yang akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke 9 bagi parti-parti gabungan pembangkang? Anwar lah. Inilah masalahnya. Tun dan Shafie taknak Anwar.

Jadi macam mana nak plan singkirkan Anwar dari posisi tersebut?

Grand Coalition adalah jawapan dia. Dan ketika ini GC berada di fasa dua. Iaitu mengolah persetujuan umum dan parti. Persetujuan ahli, penyokong. 

Sepanjang dua minggu lepas GC berada di fasa 1, iaitu fasa memperkenalkan ia kepada umum.

Mereka gunakan ayat seperti pembangkang perlu disatukan, Anwar gagal lawan Belanjawan 2021. Logiknya, tiap-tiap tahun memang pembangkang gagal melawan Belanjawan pun. Tetapi apabila gagal melawannya pada tahun ini ia merupakan satu kesalahan serius.

Naratif ini dimainkan supaya apabila Anwar disingkirkan dan diletakkan Tun Mahathir, penyokong tidak akan protes.

Dan apa yang paling kelakar dalam naratif ini ialah, PKR perlu mendapatkan numbers. Lebih tepat, Anwar. Ini ialah satu misi yang diletakkan atas bahu Anwar jika mahukan sokongan DAP dan Amanah.

Tetapi siapa yang tumbangkan kerajaan PH? Tun Mahathir.

Siapa yang diletakkan beban dan perlu bertanggungjawab atas tertumbangnya PH? Anwar.

Yang buat masalah Tun Mahathir, yang kena cuci Anwar. Sejak dari awal lagi PKR telah memilih untuk move on dan bertembung melalui jalan pilihanraya, tetapi disebabkan desakan dan tekanan, maka PKR perlu mendapatkan numbers. Jika tunggu PRU15, ini bermakna PKR dianggap tak kisah kerajaan dirampas cara khianat dan tak serius dalam mempertahankan mandat rakyat.

Setelah ikut flow yang dua parti komponen PH ingin PKR lakukan, maka inilah adalah harga yang Anwar perlu bayar.

Pertama. Anwar tak berada dalam kabinet PH pun semasa Tun menjadi PM. Tapi selepas PH tertumbang, Anwar perlu membersihkan imej PH dengan membahas isu polisi, pentadbiran dan tindakan merugikan rakyat yang dilakukan PN. Sepanjang melakukan proses itu, penyokong PN memaki hamun Anwar dan menyalahkan Anwar sepanjang 22 bulan PH menjadi kerajaan. Dimana Tun Mahathir pada ketika ini? Buat roadshow menyalahkan Anwar dan Najib. Tak sekalipun mencuci dan membersihkan imej PH. Yang masih tinggal dalam PH, perlu membersihnya sendiri.

Kedua. PKR mendapat tawaran dari PN. PKR tidak tinggalkan PH. Anwar memilih setiakawan. PKR mahu terus bersama DAP dan Amanah walaupun disebabkan tindakan itu Anwar dianggap liberal. Tetapi hari ini Anwar dan PKR yang ditinggalkan.

Yang anehnya pun orang kita. Dengan menggunakan perkataan sahaja, Anwar ialah liberal. Tak pernah nampak keluarga Anwar buat majlis tarian, mandi berbikini tepi kolam ataupun terlibat dalam aktivisme LGBT. Tetapi Anwar ialah liberal. Anwar anti melayu. Anwar tak pernah cakap melayu malas, tetapi Anwar musuh melayu. Di satu sisi, kumpulan-kumpulan liberal anti Anwar kerana dia membawa elemen keislaman ke dalam pentadbiran Malaysia semasa menjadi Menteri Pendidikan dan seterusnya Timbalan Menteri, di satu sisi yang lain, kumpulan-kumpulan pro Mahathir berkata Anwar liberal dan musuh melayu. Mereka even tak konsisten pun dalam tuduhan mereka. Dua kumpulan berbeza membawa dua tuduhan berbeza dan tuduhan-tuduhan itu pula contradiks antara satu sama lain.

Fasa mengolah persetujuan umum ini cukup penting dalam pembinaan jenama GC. Apa yang ingin dilakukan ialah;

- Tak boleh tidak PKR mesti bersama-sama barisan pembangkang, gagal mengikuti flow ini PKR ialah PEMECAH kepada GABUNGAN PH dan PENGKHIANAT.

- Anwar tak lagi patut berada di posisi teratas. Seat itu harus diberikan kepada Tun Mahathir. Pilihan pertama. Jika gagal menyakinkan pimpinan dan penyokong, maka Shafie dan Mukhriz akan menjadi calon proxy.

- Penting salah satu dari tiga nama di atas ialah kerana mereka ialah calon PM seterusnya dari gabungan pembangkang.

Macam mana PKR boleh selamatkan diri mereka dari tekanan ini? Keluar dari PH bermaksud menghancurkan PH dan akan dihina sampai mati oleh penyokong-penyokong PH.

Menerima kembali Tun dan membiarkan beliau mengetuai barisan pembangkang membuat ahli-ahli sendiri meninggalkan PKR.

Option ketiga. Bersetuju GC. Tetapi Anwar ialah leader untuk mengelak skim pengkhianatan berulang kembali. Rekodnya Tun Mahathir PENGKHIANAT. Rekodnya, Shafie langsung tak boleh dibawa berunding dan berada di rumah Tun semasa membincangkan langkah-langkah pengkhianatan.

Bagaimana PH patut menyerahkan kunci kuasa ini kepada KUMPULAN PENGKHIANAT?

Dan bagaimana mampu penyokong PH menerima semua tindakan di atas dengan hati yang terbuka? Maka, dalam fasa mengolah persetujuan inilah, penyokong-penyokong PH, khususnya PKR kena bersatu melawan tindakan GC yang mahu meletakkan kembali Tun Mahathir atau proxynya di puncak kuasa.

Sehingga GC keluarkan kenyataan. Kita tak akan calonkan Tun, Shafie dan Mukhriz sebagai CALON PERDANA MENTERI KE 9 ataupun mengetuai GC. Selagi mereka tak cakap ini, tak payahlah kita memperbodohkan diri kita sokong GC. 

Cukuplah 22 bulan Manifesto Bukan Kitab Suci. Dan membina kerajaan dengan lompatan UPKO dan UMNO. 

Kita memang perlukan pembaharuan. Benar Anwar memang banyak kelemahan dan kecuaian. Tetapi selagi kewujudan Anwar membuatkan Mahathir serba tak kena, maka dia perlu diletakkan disana. Kita akan letak Anwar. Supaya kita boleh sekat langkah ketamakan Mahathir. Anwar tak jadi Perdana Menteri pun takpe. Janji dia boleh buat Tun Mahathir dan proxynya tak dapat seat PM9, itu lebih dari cukup. - 18 Disember 2020.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...