Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 22 Mac 2018

Sengaja Undi Pemimpin Korup, Itu Bermaksud Rakyat Bersubahat - Rafidah.

Oleh : The Malaysian Insight

BEKAS menteri kabinet Rafidah Aziz hari ini mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mengundi pemimpin politik yang korup.

Beliau berkata, tindakan memilih pemimpin yang rasuah itu samalah seperti membenarkan salah laku yang dilakukan ahli politik berkenaan. 



Dalam satu tulisannya di Facebook, bekas menteri perdagangan itu turut memberi amaran bahawa rakyat Malaysia akan "bersubahat" dengan perbuatan rasuah dan pengkhianatan sekiranya mereka secara sukarela mengundi ahli politik yang korup.

"Wahai rakyat Malaysia, sila ingat kata-kata peringatan ini. Rakyat yang terus memilih ahli politik yang korup atau rasuah, yang menyamar (sebagai terbaik), pencuri dan pengkhianat, tidak menjadi mangsa. Sebaliknya mereka dianggap sebagai bersubahat."

"Ini kerana secara langsung, rakyat itu membenarkan (ahli politik terbabit) terus melakukan perkara yang tidak betul,"
kata Rafidah.

Rafidah dilihat semakin lantang mengkritik kerajaan, dengan kritikan terbaharu disasarkan terhadap blogger pro-BN, Raja Petra Kamaruddin, yang menuduh Rafidah menyalahgunakan permit yang diluluskan (AP) ketika ia menjadi menteri perdagangan antarabangsa.

Rafidah menganggap pembohongan terhadapnya itu merupakan cubaan untuk mengalihkan isu sebenar yang dihadapi negara, dan menuduh blogger itu dibayar untuk mengkritik dirinya.

Sebelum ini Rafidah menyelar pihak berkuasa kerajaan kerana tidak proaktif dalam mengesan kapal mewah The Equinimity, selepas pihak berkuasa Indonesia merampas kapal berkenaan di Bali atas pemintaan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).

Rafidah mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak dapat mengesan kapal terbabit sedangkan beliau menemuinya ketika menjalani aktiviti selam skuba di Thailand tahun lalu.

Pada Januari tahun ini, Rafidah turut menyelar polis kerana menjalankan siasatan terhadap isteri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Dr Siti Hasmah Mohd Ali berhubung perhimpunan wanita di ibu negara.

Selepas Doakan "Pakatan Hancur", MAIS Tarikbalik Tauliah Ustaz Dusuki.

Oleh : Malaysiakini
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggantung sementara tauliah anggota perhubungan PAS negeri itu Ahmad Dusuki Abd Rani selepas terpalit kontroversi mendoakan kehancuran "pakatan yang jahat".
Sepucuk surat dikatakan daripada JAIS kepada Dusuki kini mula beredar di Internet selepas dimuat naik ke Facebook oleh pegawai penerangan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin petang ini.

“Tauliah Ustaz Dasuki ditarik oleh Majlis Agama Islam Selangor.

"Agak-agak kalau dia mengajar juga, JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) datang tangkap tak?”
soal ustaz muda itu.
Surat itu antaranya berkata tauliah mengajar dan berceramah Dusuki digantung serta-merta sementara menunggu siasatan susulan aduan dan laporan media berkaitan kontroversi itu.
Sumber-sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan tindakan Mais itu tetapi enggan mengulas berkaitan keaslian surat yang dikatakan dikeluarkan oleh jawatankuasa tauliah majlis itu.
“Digantung sahaja sementara jawatankuasa tauliah Mais bersidang.

"Jawatankuasa ini yang akan tentukan keputusan sebenar,” kata sumber kepada Malaysiakini.
Dusuki selepas solat hajat sempena 10 tahun PAS dalam kerajaan Selangor di Shah Alam pada 18 Mac lalu dilapor berdoa menyamakan pertempuran antara PAS dan parti lain pada pilihan raya umum akan datang seperti Perang Ahzab.
Peperangan Ahzab atau Perang Khandak merupakan peperangan antara tentera kafir di sekitar tanah Arab yang berkumpul untuk memerangi Nabi Muhammad yang ketika itu berada di Madinah.

Dusuki berdoa antaranya memohon agar PAS diberi kemenangan pada pilihan raya umum akan datang serta dapat memerintah di Selangor.
Dusuki yang juga seorang pendakwah turut berdoa agar 'pihak' yang meninggalkan PAS serta 'memungkiri' baiah mendapat balasan daripada Allah.

Selepas kritikan, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu itu tidak patut timbul atau dimanipulasikan kerana ia dibuat untuk mengharapkan kemenangan parti itu, serta mengalahkan musuhnya.
Mais, Jais dan Dusuki ketika dihubungi enggan mengulas isu itu.

Dusuki bagaimanapun memberitahu Malaysiakini beliau akan menyentuh isu itu di Facebook beliau dalam sehari dua lagi.

Selasa, 20 Mac 2018

SKMM, PDRM Perlu Siasat Cambridge Analytica Terlibat Politik Malaysia.

KENYATAAN MEDIA

Polis, SKMM Perlu Siasat Cambridge Analytica

Pendedahan besar berkenaan salahguna data peribadi pengguna Facebook oleh pakar data Cambridge Analytica serta anak-anak syarikatnya amat memeranjatkan. 



Lebih dari itu, pendedahan bahawa Cambridge Analytica atau anak-anak syarikatnya terlibat dalam aktiviti politik di Malaysia cukup menggusarkan, memandangkan media melaporkan bahawa aktiviti politik yang dimaksudkan mungkin melibatkan aktiviti jenayah seperti rasuah, penipuan dan perangkap seks.

Di Malaysia, SCL Malaysia merupakan syarikat yang berkait dengan Cambridge Analytica, dan berdasarkan laman web Cambridge Analytica dan SCL Malaysia, difahamkan dua syarikat ini mempunyai pejabat sama di Malaysia iaitu di 16, Jalan Kenyalang 11/4G, 47810 Kota Damansara, Selangor Darul Ehsan. Namun, media melaporkan bahawa ‘pejabat’ tersebut adalah sebuah rumah peribadi dan penghuni tidak tahu alamat rumah itu diguna sebagai pejabat bagi kedua-dua syarikat tersebut.

Memandangkan Cambridge Analytica didakwa menyalahguna data peribadi pengguna Facebook serta terlibat dalam aktiviti-aktiviti politik yang mungkin mempunyai elemen jenayah, saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk membuka siasatan terhadap kedua-dua entiti ini pada kadar segera.

Pada masa yang sama, DS Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional perlu segera memberi penjelasan setakat mana Cambridge Analytica dan SCL Malaysia terlibat sebagai perunding politik bagi aktiviti politik parti pemerintah. Jika wujud sebarang kontrak di antara UMNO-BN dengan syarikat-syarikat ini, demi demokrasi dan kebaikan orang ramai, saya mohon DS Najib untuk mendedahkannya.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

20 Mac 2018

Ahad, 18 Mac 2018

Semakin Ramai Warga Asing Meniaga Sehingga Menjejaskan Peluang Orang Tempatan.

Oleh : Sinar Harian

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot telah menyuarakan kebimbangan dengan kebanjiran warga asing yang didakwa sudah mencecah angka 6.7 juta orang.

Ujar beliau lagi warga asing mempunyai kemampuan untuk menguasai ekonomi jika diberi peluang selain menguasai bidang pekerjaan profesional.



Apa yang dibimbangi sudah hampir menjadi kenyataan. Warga asing yang dahulunya jadi pekerja sudah menjadi majikan dan memiliki perniagaan sendiri di seluruh negara.

Isu lambakan pekerjaan pekerja asing dalam sektor pekerjaan sudah tidak diperkatakan lagi kerana seakan sukar dibendung. Meskipun data kerajaan pada 2017 menunjukkan ada penurunan ketara pekerja asing yang datang secara sah, angka pekerja berstatus PATI tidak diketahui secara tepat.

Kerana itu rakyat tetap merasakan bilangan pekerja asing sudah melebihi hadnya apabila boleh bekerja di mana sahaja kecuali di sektor awam.

Warga asing mampu menguasai bidang perniagaan kerana mereka ini golongan yang cekal berusaha dan tahan lasak. Manakala penduduk peribumi tempatan yang sudah biasa hidup senang cukup makan meskipun tidak kaya tidak mampu untuk berdepan dengan kemaraan agresif golongan imigran.

Premis perniagaan warga asing berkembang dengan cepat di seluruh negara. Warga asing mengambil alih perniagaan di tempat mereka bekerja dahulu. Cawangan-cawangan baharu di buka di tempat lain.

Warga tempatan tidak menjadi pelanggan utama tidak mengapa kerana bilangan rakyat asing daripada rakan senegara sudah cukup ramai.

Sebab itu mereka berani memasang papan tanda dalam tulisan Urdu, Nepali, Burma dan Bengali untuk menarik perhatian warga senegara.

Tidak pasti sama ada pekerja asing ada membuka perniagaan di negara-negara lain yang mengimport pekerja asing dalam jumlah ramai seperti Singapura dan negara-negara Arab tetapi yang pasti di Malaysia warga asing berani berniaga tanpa rasa gentar. Moto ‘Pantang Undur Kecuali Operasi’ menjadi azimat.

Di Bukit Bintang, majoriti peniaga asing terutama warga Pakistan dan Bangladesh secara terang-terang berniaga produk tiruan kepada pelancong asing dan menguasai perniagaan telekomunikasi dan IT di Low Yat Plaza.

Mungkin warga asing ini memiliki sokongan kuat daripada persatuan mereka hingga jumlah kedai milik mereka akhirnya mengatasi kedai peniaga tempatan. Contoh baik ialah kedai tukang jahit milik warga asing di Sungai Besi.

Dahulu warga Pakistan keluar masuk kampung menaiki basikal dan motosikal menjaja karpet. Kini sudah mampu membuka kedai tekstil, kedai runcit dan kedai perabot di seluruh negara terutama di negeri Pantai Timur dan Sabah. Di Sarawak pun sudah ada.

Nilai di Negeri Sembilan sudah menjadi lubuk emas peniaga Pakistan.

Di Selangor peniaga Acheh dan sekarang Bangladesh begitu mendominasi. Peniaga Acheh biasanya membuka perniagaan runcit dan kedai gunting rambut manakala kedai runcit milik imigran Bangladesh boleh ditemui di hampir setiap daerah selain bengkel kereta, kedai alat telekomunikasi, kedai mencuci kereta dan lain-lain.

Kontraktor tempatan mengeluh tiada projek manakala syarikat kontraktor asing makin bertambah.

Selain masalah penguatkuasaan, sikap orang kita sendiri menjadi punca bilangan premis perniagaan warga asing bercambah dengan cepat. Orang kita tidak sama dengan warga asing, lebih suka wang segera, cukuplah disewakan lesen dan permit tanpa perlu bekerja keras.

Selain menyewa lesen dan permit peniaga tempatan, lelaki asing dari Pakistan dan Bangladesh mencari isteri rakyat tempatan demi memudahkan pendaftaran perniagaan, Taktik lain diguna ialah mencari rakan kongsi rakyat tempatan yang sanggup meminjamkan nama. Rakyat tempatan hanyalah proksi manakala warga asing adalah tauke sebenar.

Justeru, cadangan ini diutarakan. Satunya ialah gerak gempur secara besar-besaran oleh KDN, Jabatan Imigresen, PBT dan SSM di seluruh negara bagi mengesan pekerja asing yang salah guna permit kerja untuk berniaga.

SSM perlu mengetatkan pendaftaran perniagaan dan menapis teliti syarikat yang didaftarkan atas nama wanita selain perniagaan milik bersama rakyat asing dan rakyat tempatan.

Hukuman tegas kepada rakyat tempatan yang menyewakan premis, lesen dan permit kepada warga asing. Sekadar menyenaraihitamkan tidak berkesan lagi. Denda yang berat perlu dikenakan.

Tidak membenarkan warga asing bekerja di barisan hadapan di kedai hotel, restoran, kedai serbaneka sebagai juruwang, pelayan dan penyelia. Begitu juga di pasar pagi, kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan pelancong asing di Petaling Street, Bukit Bintang, Masjid India.

Pihak PBT di seluruh negara perlu menetapkan dengan jelas jenis perniagaan yang tidak boleh disertai warga asing. DBKL misalnya telah menggariskan syarikat asing mestilah daripada jenama antarabangsa dan mempunyai modal melebihi RM1 juta. Warga asing tidak dibenarkan membuka perniagaan runcit pasar mini, kedai komputer dan lain-lain lagi. Ini adalah satu contoh yang baik yang wajar jadi ikutan.

Memasang lebih banyak CCTV dan menempatkan anggota statik dan ronda PDRM, APM, Rela, Imigresen di kawasan Jalan Silang - Pasar Seni - Kota Raya -Pasar Seni - Pudu dan Bukit Bintang bagi memantau aktiviti warga asing khususnya ketika mereka berkumpul beramai-ramai ketika cuti umum.

Selain dapat mengesan premis perniagaan baharu warga asing dapat juga mengesan aktiviti tidak sihat lain.

Mengetatkan pemberian pas ekspatriat kepada warga asing khususnya dari negara Asia Selatan seperti Bangladesh, India dan Pakistan bagi mengelakkan mereka masuk dengan tujuan untuk berniaga semata-mata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...