Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 20 Februari 2021

Kebebasan Akhbar Mesti Dipertahankan Kata Tok Mat.

Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan | Kebebasan Akhbar Mesti Dipertahankan

Kehidupan demokrasi di Malaysia bermakna kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara mestilah dipertahankan.

Persuratkhabaran bukan sekadar menyebarkan berita dan maklumat sahaja. Tetapi yang jauh lebih penting, ia menyediakan ruang untuk sumbangsaran, kritikan dan semak imbang dalam setiap hal bermasyarakat dan bernegara. 

Ia instrumen penting membantu menyuarakan nurani masyarakat, terutama mereka yang tertindas dan tertinggal atau mereka yang sekadar ingin memberikan pandangan alternatif atau idea baru.

Justeru, kebebasan akhbar dan bersuara ‘serves a high public purpose’.
Malaysia mesti menuju kearah masyarakat madani yang bebas bersuara secara matang, progresif dan jujur.

Hanya dengan akhbar yang bebas dan bertanggungjawab, ketelusan dalam ekonomi dan pasaran akan berlaku, Kerajaan akan menjadi lebih ‘accountable’, segala salah guna kuasa dan kejelikan moral akan terbongkar dan inspirasi tercetus melalui cerita kemanusiaan yang mengkagumkan. - 20 Februari 2021.

Rina Masih Belum Jawab Dari Mana Dapat Wang Bayar Hutang.

POLITIK | Sehingga ke hari ini Menteri Wanita, Rina Harun masih belum menjawab apa yang menjadi persoalan orang ramai mengenai sumber wang yang digunakannya bagi membayar hutangnya.


Terdahulu, portal Free Malaysia Today melaporkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berjaya melunaskan tuntutan hutang lebih RM1 juta kepada syarikat penerbitan program televisyen dan filem yang berpangkalan di Paris.

Peguam Mark Ho Hing Kheong, yang mewakili Sarl Novovision berkata, jumlah tepat, yang enggan didedahkannya, telah dibayar minggu lalu.

“Kami menerima cek pada Rabu yang diluluskan keesokannya,” katanya ketika dihubungi oleh wakil portal FMT.

Sebagai rekod, tuntutan terhadap Rina difailkan pada 8 November 2018 oleh firma Perancis. Ia turut menyatakan bahawa jumlah penuh perlu dibayar sebelum 31 Julai 2019.


Tuntutan itu melibatkan beberapa filem, rancangan komedi dan dokumenteri untuk tiga syarikat di mana Rina adalah pengarah.

Dokumen turut mengatakan kadar faedah 5% setahun dikenakan dari tarikh pernyataan tuntutan. Pada 17 November 2020, dilaporkan notis kebankrapan berjumlah RM1,340,642.02 telah diserahkan kepada Rina Haron. 

Kata Fahmi Fadzil;

Hari ini keluar berita Rina Harun langsaikan hutang lebih RM1 juta (RM1,340,642.02 berdasarkan laporan media). Pada 2019, beliau isytihar gaji bulanan RM34,004.48 dan aset RM72,000. 

Jun 2018 hingga Feb 2021 = 33 bulan.

Jika tiada perubahan bayaran gaji bulanan dan dikumpul semuanya, jumlah itu ialah RM1,122,000. Tapi dipotong 2 bulan gaji tahun lalu selepas Langkah Sheraton (untuk Tabung Covid), tinggal RM1,054,000. Apa pun, tahniah Rina Harun.

Kalau ikut pendapatan; Rina walaupun mampu membayar hutang secara ansurans, tetap tidak boleh menyelesaikan setakat awal tahun 2021. Kalau gunakan kesemua wang gajinya, dan tidak membuat pembedahan perut pun tidak berjaya menyelesaikan sebelum Februari 2021. 

Formula apa yang Rina Harun sampai berjaya langsaikan hutang berjumlah 1 juta lebih tu? Rina patut berkongsikan kejayaan beliau kepada orang awam; senanglah sikit kita nak amalkan untuk hidup bebas hutang. - 20 Februari 2021.

Kronologi Ringkas Siasatan Kes Rasuah Ke Atas Timbalan Pengerusi PKR Perak.

Kronologi | Pada 16 Februari 2021, beberapa portal media tempatan melaporkan penahanan Timbalan pengerusi PKR Perak MA Tinagaran.


2. Ahli politik itu ditahan oleh anggota SPRM semasa dia dipanggil ke pejabat SPRM bagi memberikan keterangan.
MA Tinagaran juga dilaporkan sebagai Pegawai tugas-tugas khas kepada bekas Menteri, Xavier.

 
3. Thinagaran ditahan atas alasan bagi membantu siasatan terhadap projek pembangunan di Perak menurut laporan media; yang juga menerima maklumat dari sumber dalaman parti.

4. Portal Malaysiakini pula melaporkan; SPRM ada mengunjungi rumah Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar, berhubung siasatan ke atas sebuah kenderaan yang dikaitkan dengan kes tersebut.

5. Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa PKR Perak berharap siasatan telus tanpa sebarang campur tangan.

6. “Saya telah dimaklumkan bahawa Tinagaran dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan hari ini. Diharap siasatan akan dijalankan secara telus dan semoga proses perundangan berjalan secara lancar tanpa sebarang campur tangan,” katanya dalam kenyataan itu.

7. Pada 17 Februari, MA Tinagaran ditahan reman selama 6 hari bagi membantu siasatan, kes itu dibaca di Mahkamah Putrajaya. (rujuk)

8. Sementara itu, portal Utusan pula melaporkan; Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, pihaknya tidak membuat sebarang penahanan atau memanggil Tinagaran. Berita itu disiarkan pada 17 Februari jam 7.34 malam. (rujuk).

9. Ini bermakna kes tersebut diuruskan oleh SPRM pusat.

10. Pada awal pagi 17 Februari 2021, lebih kurang jam 12. 47 pagi, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan laporan berita yang mendakwa aset dan wang tunai berjumlah jutaan ringgit milik Timbalan Pengerusi negeri itu, MA Tinagaran, telah dirampas.

11. “Tiada aset atau wang tunai berjumlah berjuta ringgit telah dirampas milik Tinagaran.

Sebaliknya wang sejumlah RM17,000 dalam denominasi kecil telah diambil untuk siasatan. Kereta yang disita bukanlah miliknya tetapi oleh seorang kenalan yang menumpang tempat,” jelasnya dalam satu kenyataan itu. (rujuk)

12. SPRM akhirnya mengesahkan penahanan tersebut pada malam 17 Februari.


13. Kenyataan Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang dikeluarkan mengesahkan agensi itu telah menahan Timbalan Pengerusi PKR Perak kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek daripada sebuah kementerian pada 2019. SPRM juga berkata, pihaknya turut menahan dua pengarah syarikat di Ipoh pada 16 Februari 2021.

14. "SPRM merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta dipercayai wang rasuah yang disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan timbalan pengerusi berkenaan.

"Turut dirampas sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri itu sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik seorang pengarah syarikat yang meluluskan projek berkenaan.

"Setakat ini, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta dibekukan untuk siasatan,"
kata SPRM dalam kenyataan itu.

15. Kenyataan itu turut menjelaskan siasatan masih berjalan dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan berkenaan. (rujuk). - 20 Februari 2021.

Apa Yang Berlaku Pada Malaysiakini, Boleh Berlaku Pada Pemilik Portal Lain Kata Aktivis SEDAR.

Md Yunus Bin Aidil | Sejak semalam ada tiga kawan tanya saya kenapa saya derma dana Malaysiakini (BM Version) sedangkan saya akui mereka ini cenderung kepada Pakatan Harapan.

Hakikatnya, saya kata ini bukan kerana bias saya pada Malaysiakini atau mana-mana media pro kepada Pakatan Harapan, saya melihatnya dari sisi hitam yang bakal datang kerana penghakiman itu.

Semasa kes ini mula meletup pertengahan tahun lepas, saya pun gelak, tetapi apabila saya membaca dengan lebih lanjut, saya punya telahan dan beberapa rakan ketika itu ialah, Masya Allah mereka sudah jumpa jalan untuk mengekang kita semua yang sudah pasti setahun nanti mahu bersuara dengan apa yang sedang berlaku dengan semua kes-kes mahkamah. 

Kini tidak sampai setahun banyak kes mahkamah yang dilihat tidak memihak kepada kita. 

Ianya bukan kerana tulisan Malaysiakini, ianya kerana komen yang dibuat pembaca. Ya pembaca. Di mana komen itu telah dipadamkan oleh pemilik portal. 

Malah apa yang ditulis pembaca mereka itu tidak trigger mana-mana perkataan yang menjadi filter. Ianya berkenaan kes Musa Aman tahun lepas.

Siapa antara kita yang arif Undang-undang sekarang ni yang bukan Peguam? Ada kawan-kawan Peguam saya pun agak keliru dengan apa yang berlaku sekarang.

Siapa antara kita yang meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan mahkamah baik untuk mereka yang kita sanjung atau yang kita menyampah?

Siapa antara kita yang boleh membezakan apa yang kita tulis itu satu penghinaan. Adakah ayat seperti, 'mahkamah tidak adil kerana tidak beritahu sebab kenapa Rosmah kena beladiri' adalah satu penghinaan?

Berita yang diterbitkan biasanya akan menjadi satu perbualan yang membentuk pandangan umum. Pandangan itu dibentuk melalui sentimen yang dizahirkan pembaca. 

Pandangan umum adalah satu titik tekanan kepada mereka yang berkuasa. Agak-agak selepas ini portal berita akan berani atau tidak membuka ruang komen untuk pembaca bersuara? 

Kalau pembaca tidak bersuara adalah bersamaan rakyat yang tidak bersuara. Apa kesannya nanti pada negara kita?

Sekarang bayangkan bukan sahaja portal berita malah semua pemilik media sosial jadi takut. Apa kesannya nanti? Kita semua bakal menjadi satu negara yang semua tidak akan bersuara. Ibarat duduk di Korea Utara. Itu yang kita mahu? 

Berapa banyak kes mahkamah melibatkan UMNO? Agak-agak bagaimana nanti jika semua keputusan mahkamah tidak memihak pada mereka, adakah kita semua akan menjadi takut kerana tidak tahu sama ada jika kita bersuara kita akan didapati menghina mahkamah? 

Satu lagi, bagaimana pula dengan mereka yang saya rasa anda semua kenal abang Zam Yahaya yang ada portal beliau sendiri. Bagaimana jika ada yang dengki mahu kenakan Zam mereka tinggalkan komen jijik dengan sengaja pada pukul dua pagi, lepas tu buat tangkap layar dan buat laporan. 

Adakah Zam akan menerima nasib yang sama walaupun bila Zam bangun tidur dia padamkan komen itu. Bukan sahaja Zam boleh kena, SEDAR Malaysia pun boleh kena. Ramai boleh kena. 

Dan di mana ianya akan berhenti? Adakah media sosial peribadi anda juga nanti bila anda bersuara tidak suka dengan keputusan mahkamah anda juga boleh kena?

Pada saya nasib yang menimpa Malaysiakini semalam adalah satu katalis mengekang kebebasan bersuara.

Jika ia boleh berlaku kepada Malaysiakini, jangan terperanjat ianya boleh berlaku kepada lebih ramai. Dan jangan terperanjat jika mereka yang kita kenal menjadi mangsa seterusnya. - 20 Februari 2021.

UMNO Akan Berpecah Jika Terima Tawaran Timbalan Perdana Menteri.

Isham Jalil | TAWARAN TIMBALAN PERDANA MENTERI

Saya mendengar ura-ura bahawa Tan Sri Muhyiddin akan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO.
Ini untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang amat goyah sekarang umpama telur di hujung tanduk.
Muhyiddin sedang terdesak, dia akan buat apa sahaja sekarang

Namun tawarannya ini sudah terlambat dan tidak berguna lagi.
Buat apa terima jawatan TPM untuk dua tiga bulan waima setahun di mana tidak banyak perubahan yang boleh dibuat hanya untuk menyelamatkan Muhyiddin dan PPBM yang sedang tenggelam dan hampir karam.

Malah untuk satu jawatan ini yang hanya untuk jangkamasa yang pendek, PPBM pastinya menuntut untuk UMNO mengorbankan banyak perkara, ini tidak menguntungkan malah merugikan kita dan akar umbi serta orang-orang Melayu dalam jangkamasa sederhana, panjang atau selama-lamanya.

Saya tidak rasa pemimpin-pemimpin UMNO begitu naive dan mentah untuk galak dan teruja dengan tawaran terdesak dan terlambat Muhyiddin dan PPBM ini.

Dan sebelum ini juga saya telah kata, jika UMNO terima jawatan TPM ini, ia besar berkebarangkalian akan memecahbelahkan parti.
Malah majoriti akar umbi telahpun membuat keputusan menolak PPBM dalam mesyuarat-mesyuarat perwakilan baru-baru ini.
Oleh itu sesiapa yang menerima jawatan ini akan dilihat oleh akar umbi sebagai menggadaikan UMNO untuk kepentingan diri sendiri.

Tambahan lagi jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai banyak kuasa pun untuk membuat dasar dan perubahan untuk rakyat, malah setahun kebelakangan ini jawatan itu tidak diisi pun menunjukkan ianya bukanlah kritikal.

Oleh itu tidak masuk akal untuk UMNO terima jawatan ini sekarang.
Sebenarnya jika Muhyiddin ikhlas dengan UMNO, dari awal dia jadi Perdana Menteri dulu dia sepatutnya telah tawarkan jawatan ini kepada UMNO, tetapi tidak.

.......

Saya telah tekankan sebelum ini jika PPBM ikhlas mahu menyatukan orang-orang Melayu dan bukan hanya pentingkan diri dan jawatan mereka (PPBM), mereka perlu bubarkan parti kecil mereka dan kembali ke pangkuan UMNO.

Tidak masuk akal untuk parti yang besar seperti UMNO pula disuruh mereka (PPBM) untuk dibubar dan 3.8 juta ahli-ahli UMNO dikerah masuk PPBM.

Jika UMNO dibubar, 3.8 juta ahli UMNO tidak akan masuk PPBM tetapi akan bertempiaran dan berpecah belah dan banyak lagi parti serpihan akan ditubuh.

Sekiranya ini berlaku perpecahan orang-orang Melayu akan menjadi lebih teruk dek kerana perbuatan parti PPBM yang ditubuh Mahathir dan Muhyiddin ini.

Yang lebih masuk akal ialah PPBM yang kecil dan tidak berakar umbi perlu dibubar dan kembali kepada UMNO sepertimana yang dibuat oleh parti Semangat 46 dahulu.

UMNO adalah parti yang besar dengan pucuk pimpinan di atas dan akar umbi yang kuat dan besar di bawah. Berbanding dengan PPBM yang tiada badan dan tiada kaki tetapi hanya besar di kepala.

UMNO adalah parti lama dan keramat, ia tidak akan korbankan maruah diri untuk menjadi badan dan kaki tangan kepada parti pengkhianat dan pemecah belah seperti PPBM.

Oleh itu, untuk penyatuan ummah dan penyatuan Melayu, saya sarankan supaya Muhyiddin dan PPBM membuang ego dan kepentingan diri dan jawatan-jawatan mereka, dan kembalilah ke pangkal jalan.

Sudah tiba masanya Tan Sri (Muhyiddin) dan Tun (Mahathir) mengundur diri. Salam.

Khamis, 18 Februari 2021

Tak Sokong Mahathir, Saya Ok Jadi Jahat.

NURUL ASYIKIN | Rasanya kita semakin hampir pada pilihanraya ke 15. Kerana itu kita melihat Tun Mahathir munculkan diri dan bercakap soal politik. 

Beliau tak bercakap soal ekonomi dan negara. Sekali sekala ada menyentuh tentang kuasa Muhyiddin Yassin. Itupun kerana TSMY ialah seorang Perdana Menteri. Jawatan ini sangat penting bagi Tun Mahathir. Beliau mesti mendapatkan ia buat kali keempat walaupun beliau bukanlah orang yang gila kuasa. Negara ini perlu diselamatkan oleh Tun Mahathir; orang lain tak boleh. 

1. Mahathir akui diminta (didesak) untuk menjadi Perdana Menteri pada PRU14. Ada rombongan demi rombongan datang dan minta Tun Mahathir berbuat sesuatu.

Rujuk : https://www.sinarharian.com.my/article/124316/BERITA/Nasional/Saya-didesak-kembali-jadi-PM-kata-Dr-Mahathir

Alangkah bagusnya jika Tun mendedahkan nama-nama mereka yang datang secara rombongan bagi mendesak Tun Mahathir menyelamatkan negara. Lebih baik kita pergi terus kepada punca bagi menyelesaikan masalah. Masalah kita bukan Tun Mahathir tetapi rombongan itu. Mereka buat kita haru hiru dengan tindakan Tun Mahathir. Perlu kita tahu siapa mereka dan andaikata mereka ialah wakil rakyat dan ahli parlimen; eloklah kita bunuh terus karier politik mereka kerana jika mereka 'hidup'; kita terus mati dan mati angkara Mahathir. Ada ramai orang yang lahirnya zaman Tun Mahathir dan matinya masih Mahathir. Ada ramai orang belum lahir Mahathir sudah ada; dan semasa mati, Mahathir kekal ada. Malaysia tak pernah bebas dari Mahathir; kerana rombongan itu. Jadi kita perlu hapuskan rombongan tu dulu jika nak merdeka dari Mahathir.

2. Mahathir memberitahu beliau boleh masuk UMNO semula tetapi perlulah UMNO yang bebas dari penyangak dan UMNO yang kembali ke perjuangan asal. Tun akui masih sayangkan parti UMNO tetapi bukan pemimpinnya.

Rujuk : https://www.astroawani.com/berita-politik/saya-boleh-kembali-kepada-umno-tun-mahathir-283397

- Nampaknya UMNO adalah hotel. Tun boleh check in dan check out ikut kemahuannya. Tuan punya hotel tak ada kata putus; jika Mahathir mahu beliau boleh kembali pada UMNO dan UMNO ada disitu untuk terima sahaja setiap keputusan Mahathir. Dan jika Mahathir kembali kepada UMNO ia sebenarnya perkara gembira kerana Pakatan Harapan baru sahaja terlepas dari bala. Oh yer, Pakatan Harapan masih belum sedar diri walaupun dah berdarah kiri kanan, depan belakang, atas bawah; mereka masih belum sakit. Selagi mereka masih ada nafas selagi itu mereka tak akan berputus asa terhadap Mahathir. Mempertahankan kerjasama dengan Mahathir adalah perjuangan mereka yang terbaru; kembali semula kepada penyokong bukan lagi satu pilihan. Btw; konsep penyangak yang difahami Mahathir adalah berbeza dari konsep penyangak yang difahami oleh orang awam. Sesiapa yang mahu mentadbir negara ini tanpa acuan Mahathir; mereka adalah penyangak.

3. Mahathir berkata, Anwar memberitahu kepadanya, budak-budaknya jahat dan dia tak mampu mengawalnya. 

Rujuk : https://www.malaysiakini.com/news/563329

- Memang budak-budak Anwar jahat. Jahatnya mereka kerana tak mampu menyokong pentadbiran Mahathir yang huru hara, caca marca, kacau bilau dan merapu. Kita ada manifesto bukan kitab suci dan kita jahat kerana tak boleh nak sokong kenyataan tersebut. Kita ada isu janji Lynas dan PTPTN yang dicampak dalam tong sampah, dan kita jahat kerana tak sokong keputusan kerajaan. Ada banyak keputusan flip flop; uturn. Menteri sijil palsu, kereta terbang. Nak dekat PRK, beli jiwa anak muda dengan BSH RM100. Kenapa la nak jadi baik dengan sokong semua keputusan Tun Mahathir dan menteri kabinetnya. Kenapa perlu jadi baik untuk Mahathir pun? Ianya ok, menjadi jahat jika tak sokong Mahathir. Ia perkara yang bagus anyway. Jahat dan tanpa Mahathir. - 18 Februari 2021.

Ahli Parlimen Pasir Mas Mahu Kerajaan Pertimbangkan Semula Operasi Kedai Judi

POLITIK | Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Bin Shaari membuat kenyataan terbuka dengan menyeru kerajaan agar mempertimbangkan semula pembukaan kedai-kedai judi seluruh Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan pada 18 Februari 2021 jam 7.25 pagi di Facebook rasmi milik Ahli Parlimen itu.

Sebagai rekod, laporan berita kedai judi dibenarkan beroperasi disiarkan pada 16 Februari 2021.

Dan tidak dapat dipastikan jika ada mana-mana Ahli Parlimen PAS yang lain turut membantah kebenaran premis judi beroperasi. 

Dibawah ini adalah kenyataan penuh beliau;  

Saya sangat mengharapkan agar kerajaan dapat membuat pertimbangan semula berhubung kebenaran beroperasi kepada semua operator perjudian berlesen berkuatkuasa 15 Februari 2021.

Sekalipun menurut semakan saya, hasil keseluruhan cukai judi yang dikutip oleh kerajaan agak lumayan di mana pada tahun 2019 (sehingga September), kerajaan mengutip cukai sebanyak RM2.72 billion manakala tahun 2018 sebanyak RM2.018 billion daripada aktiviti perjudian (sumber : jawapan kerajaan di kamar khas parlimen pada 8 Oktober 2019), namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan semula aktiviti ini dilaksanakan. Apatah lagi jika dibincangkan dari sudut keperluan dan keutamaan, aktiviti perjudian bukannya satu 'essential services' yang perlu disegerakan perkhidmatannya. 

Dalam situasi rakyat sedang tertekan akibat wabak pandemik covid19 ini, membenarkan aktiviti perjudian hanya akan menambah parah ke atas luka rakyat. Ia dibimbangi hanya akan mencetuskan masalah sosial yang lain dan tidak berbaloi dengan cukai yang berjaya dikutip oleh kerajaan nanti. Sudah tentu jika dilihat di dalam Islam sekalipun, ia merupakan dosa besar yang dibenci bahkan dalam semua agama-agama utama di dunia juga, judi dianggap perbuatan yang tidak bermoral. 

Saya menghantar nota ini juga kepada YB Menteri Kewangan untuk membuat penilaian semula. Saya yakin, adanya ruang untuk kerajaan mempertimbangkan semula perkara ini. - 18 Februari 2021.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...