Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 20 Februari 2021

Apa Yang Berlaku Pada Malaysiakini, Boleh Berlaku Pada Pemilik Portal Lain Kata Aktivis SEDAR.

Md Yunus Bin Aidil | Sejak semalam ada tiga kawan tanya saya kenapa saya derma dana Malaysiakini (BM Version) sedangkan saya akui mereka ini cenderung kepada Pakatan Harapan.

Hakikatnya, saya kata ini bukan kerana bias saya pada Malaysiakini atau mana-mana media pro kepada Pakatan Harapan, saya melihatnya dari sisi hitam yang bakal datang kerana penghakiman itu.

Semasa kes ini mula meletup pertengahan tahun lepas, saya pun gelak, tetapi apabila saya membaca dengan lebih lanjut, saya punya telahan dan beberapa rakan ketika itu ialah, Masya Allah mereka sudah jumpa jalan untuk mengekang kita semua yang sudah pasti setahun nanti mahu bersuara dengan apa yang sedang berlaku dengan semua kes-kes mahkamah. 

Kini tidak sampai setahun banyak kes mahkamah yang dilihat tidak memihak kepada kita. 

Ianya bukan kerana tulisan Malaysiakini, ianya kerana komen yang dibuat pembaca. Ya pembaca. Di mana komen itu telah dipadamkan oleh pemilik portal. 

Malah apa yang ditulis pembaca mereka itu tidak trigger mana-mana perkataan yang menjadi filter. Ianya berkenaan kes Musa Aman tahun lepas.

Siapa antara kita yang arif Undang-undang sekarang ni yang bukan Peguam? Ada kawan-kawan Peguam saya pun agak keliru dengan apa yang berlaku sekarang.

Siapa antara kita yang meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan mahkamah baik untuk mereka yang kita sanjung atau yang kita menyampah?

Siapa antara kita yang boleh membezakan apa yang kita tulis itu satu penghinaan. Adakah ayat seperti, 'mahkamah tidak adil kerana tidak beritahu sebab kenapa Rosmah kena beladiri' adalah satu penghinaan?

Berita yang diterbitkan biasanya akan menjadi satu perbualan yang membentuk pandangan umum. Pandangan itu dibentuk melalui sentimen yang dizahirkan pembaca. 

Pandangan umum adalah satu titik tekanan kepada mereka yang berkuasa. Agak-agak selepas ini portal berita akan berani atau tidak membuka ruang komen untuk pembaca bersuara? 

Kalau pembaca tidak bersuara adalah bersamaan rakyat yang tidak bersuara. Apa kesannya nanti pada negara kita?

Sekarang bayangkan bukan sahaja portal berita malah semua pemilik media sosial jadi takut. Apa kesannya nanti? Kita semua bakal menjadi satu negara yang semua tidak akan bersuara. Ibarat duduk di Korea Utara. Itu yang kita mahu? 

Berapa banyak kes mahkamah melibatkan UMNO? Agak-agak bagaimana nanti jika semua keputusan mahkamah tidak memihak pada mereka, adakah kita semua akan menjadi takut kerana tidak tahu sama ada jika kita bersuara kita akan didapati menghina mahkamah? 

Satu lagi, bagaimana pula dengan mereka yang saya rasa anda semua kenal abang Zam Yahaya yang ada portal beliau sendiri. Bagaimana jika ada yang dengki mahu kenakan Zam mereka tinggalkan komen jijik dengan sengaja pada pukul dua pagi, lepas tu buat tangkap layar dan buat laporan. 

Adakah Zam akan menerima nasib yang sama walaupun bila Zam bangun tidur dia padamkan komen itu. Bukan sahaja Zam boleh kena, SEDAR Malaysia pun boleh kena. Ramai boleh kena. 

Dan di mana ianya akan berhenti? Adakah media sosial peribadi anda juga nanti bila anda bersuara tidak suka dengan keputusan mahkamah anda juga boleh kena?

Pada saya nasib yang menimpa Malaysiakini semalam adalah satu katalis mengekang kebebasan bersuara.

Jika ia boleh berlaku kepada Malaysiakini, jangan terperanjat ianya boleh berlaku kepada lebih ramai. Dan jangan terperanjat jika mereka yang kita kenal menjadi mangsa seterusnya. - 20 Februari 2021.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...