Zulhazmi Shariff | RIBUT AES
Sehari dua ni heboh runtuh dunia bila Menteri Pengangkutan kata kamera AES akan ditambah. Saman AES tiada diskaun. Kompaun RM300 tetap. Menteri pula kata dia tidak hirau apa kata orang yang marah pada dia. I don’t care katanya.
Ramai la tag aku, konon dulu aku lawan menggila, sekarang aku diam tak buat apa sebab dah jadi pegawai menteri kerajaan. Selesa duduk kerusi empok pakai tali leher dan name tag. Dah tak peduli masyarakat.
Ditambah troll mamat lembut yang penuh tuduhan rasuah dan cuci duit 1MDB. Pendekar2 Umno pun turut tambah rencah.
Aku nak jelaskan beberapa perkara;
1) AES diperkenal pada tahun 2012. Perlaksanaan ketika itu dilakukan oleh dua (2) syarikat swasta iaitu Beta Tegap dan ATES. Kemudian kedua-duanya dibeli oleh LTAT.
Kerajaan BN laksana AES dengan kerjasama syarikat swasta. Yang kaut untung adalah syarikat.
Aku bantah, aku lawan. Aku buat kes wakili orang yang disaman secara percuma.
Apabila PH mentadbir setelah diberi mandat oleh pengundi, perkara pertama yang dilakukan berkaitan AES oleh Menteri Pengangkutan ialah batalkan semua saman AES yang dikeluarkan bermula 2012 hingga 31/08/2018. Sesiapa yang ada saman AES untuk waktu itu semuanya dibatalkan. Sesen pun tak kena bayar. Tak ada orang terima kasih pun. Tak apa sebab itu tanggungjawab kita.
Kemudian, AES diambil alih sepenuhnya oleh JPJ di bawah Kementerian Pengangkutan. Sekarang AES dilaksanakan oleh JPJ sepenuhnya.
Ada beza zaman BN dengan zaman PH. Zaman BN, swasta yang kawal dan kaut keuntungan. Zaman PH, JPJ yang kawal, semua bayaran saman adalah hak kerajaan.
2) Diskaun Saman.
Ini isu besar bagi aku. Sebenarnya aku tak setuju langsung saman ada diskaun. Aku setuju dengan Menteri. Saman tiada diskaun. Tetapi cara menteri sebut “I don’t care” itu semacam bongkak sangat.
Kita di bawah PH berkhidmat untuk rakyat keseluruhan. Jangan garang sangat, tegas tak apa. Mungkin Menteri nak tegas tapi gayanya macam tak sesuai.
Ok. Kalau saman tak ada diskaun, ianya amat menekan masyarakat pengguna jalanraya khususnya. Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1982, denda bagi kesalahan AES ialah minimum RM300 dan maksimum RM2,000. Ini hasil kerja tangan Umno/BN semasa mereka buat AES dulu. Akta dipinda menetapkan denda minimum untuk memudahkan pembahagian bayaran saman antara kerajaan dengan syarikat.
Ikut Model Kewangan dengan Formula Tiga Langkah, ada pembahagian tertentu seperti RM16 bagi setiap saman dan seterusnya.
Jadi, apabila PH mentadbir, AES dihakmilik kerajaankan, sewajarnya perkara ini dinilai semula. Jangan ikut saja apa yang ditinggalkan BN. Kaji dan perelokkan.
Saman tiada diskaun tapi budibicara kita sebagai kerajaan tetap ada untuk meringankan rakyat untuk keuntungan bersama.
Sudah banyak kali aku cadangkan. Antara tujuan undang-undang adalah mendidik. Bagaimana hendak mendidik pengguna melalui AES? Saman? Tiada diskaun? Blacklist? BUKAN.
Ada cara lain yang boleh diguna contohnya bagi pengguna yang melanggar undang-undang melibatkan kesalahan AES, JPJ boleh keluarkan NOTIS AMARAN PERTAMA terlebih dahulu. Maklumkan pengguna berkaitan bahawa beliau telah didapati melanggar peraturan. Harap maklum dan jangan ulangi. Jika didapati ulangi kesalahan, keluarkan amaran terakhir. Kali ketiga langgar baru diSAMAN dan tiada maaf bagimu kerana amaran telah diberi. Ini bermaksud pengguna tersebut memang bebal.
Selain itu, kesalahan AES tidak perlu dikaitkan dengan Sistem Mata Dimerit. Tak perlu dihukum dua (2) kali. Dah bayar saman, cukup.
3) Lokasi Kamera.
Tujuan utama AES adalah mengurangkan kemalangan maut. Adakah benar semua lokasi kamera AES adalah di lokasi kemalangan maut? Sejak 2012 hingga sekarang, tidak pernah MIROS atau JPJ kemukakan data kemalangan maut di lokasi kamera.
Kaji semula lokasi kamera sedia ada. Letakkan di lokasi kemalangan maut sahaja.
4) Rasuah dan Penyelewengan.
Suatu jawatankuasa dibentuk oleh Menteri Pertahanan untuk menyiasat Tadbir Urus Kewangan dan Perolehan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Amrin Buang.
Jawatankuasa ini turut menyiasat urusan AES yang diambil alih oleh LTAT. Khabarnya ada unsur penyelewengan di mana individu tertentu peroleh habuan ratus juta ringgit. Ini berlaku sewaktu mamat bibir merah jambu uruskan AES.
Adakah Menteri Pengangkutan baca laporan tersebut dan ambil tindakan dengan melaporkan kepada SPRM? Jika belum baca, boleh arahkan pegawai baca dan buat laporan.
Aku sekadar menjelaskan dan mencadang. Aku percaya penuh Menteri Pengangkutan, kakau dia baca tulisan aku ni, dia akan buat sesuatu untuk kebaikan bersama. - 7 Februari 2019.