Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 3 Februari 2019

Hutang ECRL Dan Opera China.

A. Kadir Jasin | MALAYSIA adalah negara pertengahan dari segi keluasan wilayah, bilangan penduduk dan ukuran ekonomi.

Tetapi dalam beberapa hal dan sudut, ia boleh dikatakan besar. Misalnya, sebagai negara yang ditakrif sebagai negara Islam kita adalah antara yang termaju.


Dalam banyak hal kita jauh lebih maju dan progresif daripada negara-negara Islam yang lebih besar dan kaya.

Tetapi yang benar-benar membezakan Malaysia daripada negara Islam yang lain sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa adalah keberanian kita mengambil pendirian dalam isu-isu utama dunia.

Di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mulai awal tahun 1980-an, keberanian kita berhujah dan menawarkan kepemimpinan dalam forum antarabangsa telah mendapat pengiktirafan global.

Inilah antara punca yang menyebabkan negera-negara raksasa seperti China dan Amerika berhati-hati dalam perhubungan dengan Malaysia, khususnya apabila Dr Mahathir kembali menerajuinya.

Macam mana marah pun mereka kepada beliau kerana dianggap “recalcitrant” – dalam bahasa yang mudah keras kepala – namun mereka mengakui bahawa suara beliau mempunyai pengaruh ke atas pendapat antarabangsa.

Dalam konteks projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang masih hangat dibincangkan walaupun di peringkat rasmi telah dikunci mulut, kita terpaksa mengambil tindakan tegas dan bijaksana walaupun tujuan kita bukan sekali-kali menghukum atau memalukan China.

Kita sekadar mengatakan dengan ikhlas bahawa kita tidak mampu menanggung beban hutang membina landasan itu dan membiayai penyelenggaraannya selepas itu.

Sebelum ditumbangkan dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu, kerajaan BN telah membuat komitmen kepada kerajaan China untuk berhutang RM55 bilion untuk membina ECRL dan memberikan kontrak pembinaan kepada syarikat milik kerajaan China.

Sekarang sudah pun diketahui umum bahawa pinjaman RM55 bilion itu bukan semata-mata untuk membiayai ECRL tetapi juga untuk menolong menampung hutang dan penipuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Segala beban hutang, penipuan dan pembaziran zaman bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak,kini menjadi beban dan tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Masalah ECRL

Walaupun bukan sekali-kali tujuan kita bermusuh dengan China atau juga mana-mana negara namun kepentingan negara dan rakyat jelata adalah lebih utama.

Matlamat kerajaan PH dalam isu ECRL ini adalah untuk meringankan beban hutang negara sebanyak yang mungkin.

Maka dalam perkiraan kerajaan PH adalah lebih baik menamatkan projek itu dan membayar ganti rugi kepada China atau kalau terpaksa dilaksanakan juga ialah hendaklah dengan kos dan syarat yang lebih ringan.

Ada sumber berkata, walaupun hutang projek itu sekarang RM55 bilion tetapi apabila diambil kira kos dan tanggungan jangka panjang ia mungkin mencapai RM100 bilion atau lebih.

Masalahnya sekarang kita sudah disedut masuk ke dalam geopolitik China. Kita dalam dilema ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Kita memerlukan pasaran China untuk barang-barang dan perkhidmatan kita manakala China pula takut pembatalan ECRL akan berjangkit kepada negara-negara lain yang mempunyai perjanjian yang sama dengannya.

Rasanya dunia lebih mengambil berat perhubungan dengan kita sejak Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri.

Selain rundingan di belakang tabir, China baru-baru ini melancarkan apa yang saya istilahkan sebagai “diplomasi opera”.

China terkenal dengan opera atau di negara kita disebut wayang Cina.

Kedutaan China di Malaysia dilaporkan telah merakam dan mengedarkan sebuah lagu bagi memperingati 45 tahun perhubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

(Boleh Tonton Di Sini).

Di dalam dunia di mana diplomasi dan ekonomi tidak dapat dibezakan serta dipisahkan, kita tidak ada pilihan selain mencari jalan keluar terbaik tanpa menjejaskan air muka, menoda kedaulatan dan membebankan kewangan negara.

Apa pun kesudahan kepada episod ini, pengajaran dan iktibarnya amat jelas, iaitu di tangan sebuah kerajaan, sebuah parti politik dan seorang pemimpin yang korup, negara boleh menjadi muflis, tergadai dan terjajah.

Maka di bahu siapa pun terpikul tanggung jawab untuk menyelesaikan kemelut ECRL ini, diharapkan bahawa penyudahnya biarlah negara tidak muflis, bumi tidak tergadai dan negara tidak dijajah.

Wallahuaklam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...