Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 9 Mac 2019

Dari Akaun Ke Akaun, SPRM Siasat Aliran 90 Juta..

The Malaysian Insight | LEBIH ramai lagi pemimpin dan penyokong PAS akan dipanggil untuk membantu siasatan kes dana RM90 juta dari Umno, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 

 
Sejak siasatan dibuka awal Februari lalu, bermula dengan senarai sembilan saksi, agensi anti rasuah itu setakat ini sudah menyoal siasat 12 individu, termasuk penyokong dan kakitangan pejabat parti Islam itu.

SPRM juga mengesahkan kes disiasat antaranya bagi kesalahan pengubahan wang haram, melibatkan aliran dana RM90 juta yang dikatakan ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki enggan mengulas lanjut tetapi mengesahkan kepada The Malaysian Insight, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatannya setakat ini mendapati wang berkenaan “dibersihkan” melalui pindahan dari akaun ke akaun melibatkan beberapa akaun, modus operandi sama dalam pengubahan wang haram.

Selepas mengesahkan aliran wang berkenaan tidak melibatkan akaun rasmi PAS dan Umno, SPRM meluaskan siasatannya ke atas penyumbang derma kepada parti Islam itu.

Selain transaksi perbankan, kemewahan luar biasa yang dimiliki semua pemimpin berkenaan turut mengaitkan mereka dengan kes ini, menurut sumber.

Oleh itu, jejak perbelanjaan pemimpin terbabit juga diteliti untuk mengesan aliran dana berkenaan, kata sumber yang dekat dengan siasatan kes.

Siasatan SPRM bertumpu pada sekurang-kurangnya 18 kereta dan motosikal jenis mewah serta banglo dan beberapa nombor plat istimewa kenderaan, yang semuanya dikaitkan dengan lapan pemimpin PAS dan seorang bekas pemimpin parti Islam itu.

Kenderaan mewah yang disiasat antaranya jenis BMW 525, Mini Clubman, Toyota Vellfire, Toyota Camry, Toyota Fortuner dan Range Rover.

Ada juga yang memiliki Audi 6, Porsche Cayman, Audi Q7, Volkswagen Passat dan beberapa jenis motosikal berkuasa tinggi, kata sumber.

Menurut sumber, ada antaranya didaftarkan atas nama sendiri dan ada juga atas nama isteri kedua dan ketiga.

Pada 28 Februari, SPRM membekukan lima akaun bank milik pemimpin PAS serta menyita tiga kenderaan mewah serta sebuah banglo. Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang turut disiasat SPRM bagaimanapun menafikan aset pemimpin partinya dibeku atau disita.

Menurut sumber, lima akaun bank itu dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa. Akaun-akaun bank itu termasuk akaun peribadinya serta akaun empat milik empat yayasan antaranya Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF).

Nasharudin menerajui GMFF sejak 2015 sehingga yayasan yang diasaskan bekas perdana menteri Najib Razak itu ditutup selepas Barisan Nasional (BN) kalah pilihan raya.

Nasharudin adalah pemimpin PAS yang pertama dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM pada 8 Februari lalu.

Beliau disiasat pada hari yang sama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dipanggil oleh agensi anti rasuah itu.

Nik Abduh adalah orang yang membuat pengakuan beliau tahu tentang sumbangan duit itu, yang rakaman pengakuannya itu tersebar di media sosial setahun yang lalu, kira-kira dua bulan sebelum PRU14.


Beliau ketika itu menafikan dakwaan suaranya dalam rakaman itu dan menyifatkan tuduhan sebagai “karut, mengarut dan fitnah”.

Setahun kemudian, setelah SPRM membuka siasatan rasmi, Nik Abduh kemudiannya mengaku beliau pada masa itu membuat penafian atau berbohong mengenai rakaman suaranya atas arahan pimpinan parti.

SPRM juga telah menyoal siasat bekas naib presiden PAS Husam Musa pada 20 Februari lepas. Husam terkait dengan kes ini kerana pernah mendedahkan memiliki bukti mengenai sumbangan dana RM90 juta dari Umno kepada pemimpin PAS.

Pada 1 Mac lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin disiasat di Kangar, Perlis mengenai kereta jenis Porsche Cayman atas namanya. Hashim mendakwa kereta itu dibeli dengan permit import milik beliau semasa jadi wakil rakyat oleh anaknya.

Pada hari sama, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat Mohd Nasir Daud diambil keterangannya di Kota Baru, Kelantan.

Minggu ini, SPRM menyiasat enam individu termasuk Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad Rameli Musa serta bekas exco Selangor, Zaidy Abdul Talib yang juga yang dipertua PAS Selayang. Turut disiasat seorang kakitangan ibu pejabat PAS, Mohd Khoirol Anuar Mat Zuki.

Pada Rabu, Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi dirakam kenyataan berhubung motosikal berkuasa tinggi jenis BMW, yang katanya bukan miliknya.

Semalam SPRM turut memanggil Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan dan Ketua Pesuruhjaya PAS Pahang Mokhtar Senik di Kuantan.

Dalam satu kenyataan ringkas malam tadi, Nasruddin berkata beliau dirakam percakapannya selama dua jam setengah.

“Segalanya berjalan dengan baik dan saya memberi penjelasan mengenai isu dana RM90 juta, yang berkait tuduhan atau dakwaan ke atas saya kononnya memiliki kemewahan melampau sebagai satu fitnah dan tidak berasas,” katanya, dalam mesej ringkas.

Dakwaan mengenai dana RM90 juta dari Umno kepada PAS diterbitkan dalam Sarawak Report pada Ogos 2016. Tulisan pengarangnya Clare Rewcastle-Brown kemudian jadi asas saman fitnah oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang di mahkamah di London.

Awal Februari lalu, Hadi dan Rewcastle-Brown setuju menyelesaikan kes di luar mahkamah, melibatkan pembayaran RM1.4 juta yang dikatakan untuk kos guaman, yang dibayar oleh Rameli.

Sarawak Report bagaimanapun tidak menarik balik tulisan yang menuduh PAS menerima duit dari Umno. Ia malah membuat dakwaan baru setahun kemudian bahawa duit RM90 juta PAS gunakan untuk menampung belanja PRU14. – 9 Mac, 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...