Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 6 Mac 2019

5 Akaun Dibekukan, Kenderaan Dirampas SPRM, Ada Kaitan Dengan Nasharudin Mat Isa.

THE MALAYSIAN INSIGHT | KESEMUA lima akaun yang dibekukan bagi siasatan dana kontroversi RM90 juta dari Umno kepada PAS dikaitkan dengan bekas timbalan presiden parti Islam itu, Nasharudin Mat Isa.


Walau penyiasat mendedahkan namanya, The Malaysian Insight difahamkan beliau pemilik salah satu akaun peribadi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, Nasharudin merupakan pengerusi kepada syarikat dan yayasan yang akaunnya turut disiasat agensi anti rasuah itu.

Salah satu yayasan terbabit pula merupakan Gerakan Kesederhanaan Global, organisasi yang diasaskan bekas perdana menteri Najib Razak pada 2012, kata sumber penyiasat.

“Bekas timbalan presiden parti Islam berkenaan adalah pengerusi kepada semua yayasan dan syarikat itu.

“Yayasan yang pernah diasaskan oleh bekas perdana menteri itu kononnya diumumkan akan ditutup pada Julai tahun lalu namun ketika siasatan dijalankan kami mendapati ia masih beroperasi,”
kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Kesemua akaun dengan jumlah simpanan RM2.3 juta itu juga difahamkan dibekukan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sumber tertinggi SPRM itu juga memberitahu, agensi itu menyita tiga kenderaan mewah masing-masing jenis Toyota Vellfire, Range Rover dan Mini Cooper serta sebuah rumah kedai bernilai RM2 juta.

Dua kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire dan Mini Cooper yang disita itu juga difahamkan milik Nasharudin.

Beliau yang disiasat SPRM pada awal Februari sudah pun mengemukakan beberapa dokumen dan penyata kewangan untuk membantu siasatan.

Pada minggu lalu, agensi itu mengesahkan kes tersebut tidak melibatkan akaun milik parti kerana tiada duit yang dikatakan dari 1MDB dikesan masuk ke akaun rasmi PAS melalui Umno.

Namun, siasatan diteruskan kepada beberapa pemimpin PAS dan juga individu dikaitkan dengan parti berkenaan.

Ini memandangkan siasatan SPRM setakat ini mendapati wang berkenaan “dibersihkan” dengan memindahkannya dari satu akaun ke akaun lain.

Ia melibatkan beberapa akaun, sama seperti taktik dalam pengubahan wang haram, kata sumber.

Antara yang disiasat adalah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berhubung pemilikan beberapa kereta dan motosikal mewah selain nombor pendaftaran kenderaan yang eksklusif.

Beliau menafikan aset pemimpin partinya dibekukan atau disita.

Selepas Takiyuddin, SPRM memanggil Mursyidul Am PAS Hashim Jasin untuk diambil keterangannya di pejabat agensi itu di Kangar, Perlis.

Hashim mendedahkan beliau antara lain disoal mengenai kereta mewah jenis Porsche Cayman.

Beliau mengulangi kenyataan awalnya bahawa kereta itu dibeli oleh anaknya beberapa tahun lalu, menggunakan Permit Import (AP) beliau sebagai wakil rakyat.

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud pula memberi keterangan di pejabat SPRM di Kota Bharu, Kelantan.

Mohd Nasir turut mengesahkan kepada wartawan beliau dipanggil untuk siasatan berhubung kes dana RM90 juta tersebut.

Ahli Parlimen Bachok itu disahkan oleh pimpinan PAS sebagai individu dalam satu rakaman suara yang mendedahkan wang dari Umno disalurkan kepada parti Islam itu. Rakaman itu tersebar sebelum PRU14.

Dua lagi yang disiasat merupakan bekas pemimpin PAS iaitu bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa juga pada 8 Februari dan bekas naib presiden PAS Husam Musa, sekarang naib presiden Amanah, dua minggu kemudian.

Semalam, SPRM menyiasat Pengerusi KTMB Rameli Musa serta Yang Dipertua PAS Selayang Zaidy Abdul Talib serta seorang kakitangan ibu pejabat parti berkenaan.

SPRM memulakan siasatan susulan laporan orang awam selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik saman ke atas Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berhubung tulisannya pada Ogos 2016 menuduh PAS menerima duit dari Umno.

Pada bulan lalu, Sarawak Report mendedahkan wang daripada Umno itu digunakan oleh PAS untuk menampung pembiayaan kos menyertai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam PRU14, PAS bertanding 158 kerusi Parlimen dan 393 kerusi negeri sehingga memaksa pertembungan tiga penjuru bersama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. - 6 Mac 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...