Bagaimanapun persetujuan itu hadir dengan syarat kerajaan perlu segera menguatkuasakan satu sistem pendaftaran undi secara automatik. Tidak lagi menggunakan cara manual seperti sekarang.
Sistem pendaftaran automatik itu bermakna apabila seseorang itu mencapai ke had usia boleh undi, dia secara automatiknya dibenarkan untuk mengundi berdasarkan alamat di kad pengenalan ketika mencapai usia tersebut.
Berikut adalah kenyataan Nik Abduh.
NIK ABDUH | Had Umur Mengundi 18 Tahun
PAS, UMNO dan GPS daripada barisan pembangkang di Parlimen hari ini sepakat mencadangkan pindaan umur pengundi kepada 18 tahun dengan pendaftaran pengundi secara automatik. Begitu juga had umur kelayakan sebagai calon pilihanraya diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini.
Dua cadangan utama di atas, selain sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan penting para belia kepada pembangunan negara dan satu usaha pemupukan kesedaran dan tanggung jawab sedari awal di kalangan para belia, ia juga akan dapat menyelesaikan secara mudah dan sempurna terhadap isu jutaan rakyat negara kita yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi di atas pelbagai faktor termasuk kesedaran yang amat lemah.
Pihak pembangkang menuntut agar pihak Kerajaan yang akan membawa RUU pindaan akta ini agar arif dan sedar bahawa pindaan yang hanya melibatkan had umur tanpa bersekali dengan pendaftaran automatik adalah satu langkah yang tidak sempurna. Ia hanya akan melambakkan dan menambahkan lagi peratusan rakyat yang tidak berdaftar sebagai pengundi. Ini amat merugikan negara di sebalik penyelesaian mudah yang ada di hadapan mata.
Pendaftaran pengundi secara automatik telah pun dilaksanakan dengan jayanya di banyak negara yang mengamalkan demokrasi telus.
Majulah belia untuk agama dan negara. - 3 Julai 2019.