Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 1 Julai 2019

Hujah TITM Enggan Isytiharkan Harta Guna Hadis Palsu.

Wan Ji bin Wan Hussin |  TIM PRESIDEN PAS GUNA HADIS PALSU UNTUK TIDAK ISYTIHAR HARTA.


1. Secara dasarnya, Islam amat menekankan integriti, akauntabiliti dan transparensi dalam berpolitik. Apatah lagi, salah satu sifat utama Nabi adalah al-Amin. Zaman kini, ia disebut integriti.

2. Tidak sedia isytihar harta, adalah lambang bercanggah dengan sifat integriti. Apabila bercanggah dengan integriti, sudah pasti ia tidak selaras dengan sifat al-Amin bagi Nabi. 

3. Dengan sebab itu, tidak wajar bagi mana-mana ahli parlimen yang beragama Islam menolak amalan isytihar harta. Lebih-lebih lagi, amalan isytihar harta ini dapat mengelak dari sebarang amalan rasuah melibatkan pihak yang terlibat dengan politik secara langsung. Ia sudah pasti selaras dengan kaedah fiqh yang berbunyi:

"Tidak sempurna perkara wajib kecuali dengan melakukan perkara itu, maka melakukan perkara itu adalah wajib".

Dalam kata lain, tidak sempurna proses melawan rasuah kecuali dengan melakukan amalan isytihar harta, maka isytihar harta juga boleh dianggap sebagai wajib juga.

4. Dalam pada itu, tidak dinafikan, terdapat orang yang diragui sumber kekayaannya bahawa dia menolak cadangan dan amalan isytihar harta. Ini kerana, dengan pengisytiharan harta akan membantu lagi siasatan SPRM terhadap individu ahli politik yang diragui harta yang dimilikinya.

5. Amalan sebegini sebenarnya sudah diamalkan pada zaman pemerintahan Saidina Umar - semasa beliau melantik Abu Hurairah menjadi gabenor di Bahrain. Dengan sebab itu, dakwaan bahawa Islam melarang isytihar harta itu adalah satu fitnah jahat dilakukan terhadap agama Islam yang mementingkan integriti.

6. Pun begitu, dalam laporan berita dinyatakan bahawa Timbalan Presiden PAS ada berkata : "dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW menyuruh supaya harta yang ada tidak dihebahkan, kerana ramai pendengki kata Rasulullah"

7. Sebenarnya, hadis yang dinukilkan oleh Tuan Ibrahim itu adalah hadis palsu berdasarkan apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam Ibn al-Jawzi; dianggap doif oleh al-Imam al-Iraqi dan al-Imam al-Sayuti; dianggap mungkar oleh al-Imam Ibn Abi Hatim.

8. Ini kerana dalam sanad hadis itu ada seorang perawi yang ditolak bernama Sa'id bin Salam al-Attar. Ia ditolak oleh ramai ilmuan hadis, malah Imam Ahmad bin Hanbal anggap dia sebagai pendusta.

9. Dari sudut Sanad juga, dicatatkan bahawa perawi hadis daripada Muaz bin Jabal yang beliau diambil daripada Khalid bin Ma'dan. Al-Imam Ibn Abi Hatim menyatakan bahawa Khalid bin Ma'dan tidak pernah mendengar hadis dari Muaz. Apabila tidak mendengar, lebih mengukuhkan lagi dakwaan bahawa hadis ini adalah palsu.

10. Dari sudut matan pula, dikatakan bahawa tidak boleh diberitahu kepada orang berkenaan nikmat yang kita dapat. Ini sudah pasti bercanggah dengan ayat Al-Quran yang menyatakan: "Adapun dengan nikmat Tuhan kamu, hendaklah kamu ceritakan" (Surah al-Dhuha 93:11)

11. Dengan ini jelas bahawa "fatwa" Timbalan Presiden PAS itu tidak berasaskan hujah yang benar. Apatah lagi dengan menyandarkan ia kepada Islam boleh melahirkan persepsi buruk dari mata masyarakat Non Muslim terhadap agama Islam - seakan-akan islam adalah agama yang tidak cenderung kepada integriti.

12. Islam adalah agama yang pentingkan integriti. Dalam hal ini, sikap PAS, sama sekali tidak mewakili ajaran Islam.

Sekian, Wallahu 'alam. - 1 Julai 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...