Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tentang dakwaan wanita itu dalam laporan polis terhadapnya, Kesavan berkata pengadu yang mendakwa dirinya pegawai penyelidik Parlimen, sebenarnya sukarelawan yang dikenali pada 2017 ketika menjadi Adun Hutan Melintang.
Ahli politik PKR itu berkata wanita terbabit menghubunginya untuk membantunya dalam kempen membantah pemindahan pengundi hantu ke kawasan Hutan Melintang,.
Selepas menjadi ahli Parlimen Sungai Siput pada PRU14 tahun lalu, wanita terbabit teruskan kerja sukarela di pejabatnya dan menganggap Kesavan dan isterinya seperti kawan.
“Dia selalu menelefon saya dan isteri saya. Pernah juga dia menjemput saya dan isteri untuk bercuti bersamanya di Melaka,” katanya.
Katanya, pada awalnya beliau kagum dengan kesanggupan wanita itu menjadi sukarelawan di kawasannya kerana wanita itu mempunyai keluarga dan dua anak di Puchong, Selangor.
“Lama-kelamaan, kekerapan dia menelefon saya semakin bertambah sehingga berpuluh kali sehari. Jika saya tidak menjawab, dia mula marah. Apabila saya menjawab, ada kalanya perbualan melebihi lebih satu jam setiap kali.
“Dia juga mula campur tangan dalam hal rumah tangga saya. Dia pernah menyebarkan berita di kalangan rakan sekerja isteri saya yang memburuk-burukkan isteri saya, seolah-olah dia mahu perkahwinan kami bermasalah,” katanya.
Kesavan berkata beliau bertambah tidak selesa dengan sikap wanita itu sekitar September lalu, apabila wanita itu mula campur tangan dengan perjalanan Pusat Khidmat Sungai Siput, mendesaknya memecat pembantu tertentu dan marah apabila tidak dipenuhi.
“Sejak beberapa bulan lalu, dia mula mengaku bahawa dia pembantu khas saya. Dia menelefon pegawai kerajaan dan memberi arahan bagi pihak saya, yang tidak disenangi pegawai.”
Katanya, wanita itu juga mendesak diberikan pas ke persidangan Parlimen.
Kesavan berkata beliau memberikan surat kepada pentadbiran keselamatan Parlimen untuk membenarkan wanita masuk ke kawasan Parlimen, tetapi ia digunakan untuk mengaku yang dirinya dilantik sebagai pegawai pembantu.
Katanya, wanita itu kemudian mengganggu Naib Presiden PKR Rafizi Ramli untuk mengadu mengenai sikap Kesavan yang menjauhkan diri.
“Dia mengugut untuk mendedahkan rakaman yang dia kata akan memalukan saya. Dia juga pernah mengucapkan agar saya ‘pergi mati’.”
Katanya, Rafizi menasihatinya supaya membuat laporan polis, di mana ia dibuat awal bulan ini.
“Saya dan isteri juga membuat rakaman gangguan daripada dia, termasuk mesej berbentuk peribadi yang menunjukkan dia mahu rumah tangga saya retak.
“Jika benar saya mengganggu dia secara seksual seperti yang dituduh, kenapa dia masih menelefon saya sehingga berpuluh-puluh kali sehingga awal bulan ini? Dia juga masih menelefon isteri saya sehinggalah beberapa minggu lalu.
“Saya tidak mahu membesarkan perkara ini sebelum ini kerana saya simpati kepada dia yang sudah mempunyai suami dan dua anak.
“Saya akan memberi keterangan kepada pihak berkuasa dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang bakal dijalankan, termasuklah menyerahkan bukti menunjukkan gangguan dan ugutan yang dibuat untuk merosakkan rumah tangga saya.
“Saya bahagia dengan isteri saya dan tidak berhasrat untuk terjebak dengan sebarang perhubungan yang boleh menjejaskan rumah tangga saya,” katanya. - 18 Mei 2019.