Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 27 April 2019

Kenapa Kecam Raja-Raja Di Forum Statut Rom Soal Pensyarah..

KAMARUL YUSOF | FORUM MALAYSIA & STATUT ROME BERTUKAR JADI PLATFORM UNTUK MENGECAM RAJA-RAJA MELAYU?

Menonton Forum Malaysia & Statut Rome yang berlangsung di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini, saya terasa sedikit kurang selesa bila melihat tiga panelis pertamanya, iaitu Tommy Thomas, Dato’ Noor Farida Ariffin dan Dato’ Prof Emeritus Shad Saleem Faruqi, dan dua panelis terakhirnya, Lim Wei Jiet dan Asheeq Ali, semuanya berucap dalam bahasa Inggeris walaupun pengerusi dan moderatornya berucap dalam bahasa Malaysia.


Oleh itu, sesuatu yang agak menceriakan bila panelis keempatnya, Dr Syed Husin Ali, yang merupakan bekas Timbalan Presiden PKR dan kini adalah Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, berucap dalam bahasa Malaysia.

Begitupun, sementara tiga panelis pertamanya memperkatakan mengenai isu-isu perundangan, khasnya mengenai ketiadaan imuniti Raja-Raja Melayu sejak tahun 1993, Dr Syed Husin Ali, walaupun berucap dalam bahasa Malaysia, pula bersikap jauh lebih agresif.

Selain mendedahkan amalan feudalisme masyarakat Melayu dengan menyebut istilah “patik” yang digunakan oleh mereka ketika berbahasa dengan Raja-Raja Melayu sebagai membawa makna “anjing” dan istilah “duli” membawa makna “tapak kaki yang berdebu”, Dr Syed Husin Ali antara lainnya:


(1) Mendakwa Raja-Raja Melayu merasa terancam kerana banyak sangat belanja yang ditanggung oleh rakyat, maka ada rakyat yang sudah merasakan tidak perlu lagi kepada Raja, dan perasaan ini semakin kuat.


(2) Menimbulkan persoalan mengenai kalau mahu kepada simbol, mengapa perlu ada sembilan Raja, mengapa tidak satu saja, dan mengenai macam mana nak ketepikan Raja-Raja yang kini sudah semakin kuat.


(3) Mendakwa kebanyakan Raja-Raja Melayu sekarang adalah pembesar yang diletakkan sebagai Raja oleh British, dan kalau berterusan cabaran ke atas mereka, dan rakyat mengetahui, akan menjadi masalah besar.


(4) Mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang dan menceroboh perlembagaan, termasuk mencampuri hal politik dan ekonomi hingga menyebabkan “Raja dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara”.


Mendengar kenyataan-kenyataan Dr Syed Husin Ali ini, tidaklah salah jika penonton Forum Malaysia & Statut Rome menyimpulkan forum ini, selain bertujuan mengecam empat pensyarah yang membentangkan kajian mengenai Statut Rom kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu, bertukar menjadi platform untuk mengecam Raja-Raja Melayu.

Saya pun pelik mengapa seorang bekas ahli akademik ternama seperti Dr Syed Husin Ali boleh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang serius sifatnya di dalam satu forum terbuka bila ia tidaklah terlalu relevan dengan tajuk yang dibincangkan malah boleh mendatangkan perasaan negatif pendengarnya pula kepada Raja-Raja Melayu. - 27 April 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...