Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 24 Oktober 2018

Pemimpin PH Berisiko Sabotaj Kerajaan Kerana Tamak Kuasa & Tidak Focus - A.Kadir Jasin.

A.Kadir Jasin | BAHAYA kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) disabotaj tidak dapat ditolak begitu sahaja dan terdapat dua sumber utama kepada ancaman ini.

Pertama, pemimpin PH – termasuk anggota kabinet – mensabotaj kerajaan mereka sendiri kerana kejahilan, tamak kuasa dan ketiadaan fokus.

Saya telah menyentuh hal ini secara tidak langsung dalam tulisan yang lepas mengenai lima menteri belum setahun jagung menerima bintang kebesaran daripada negeri Melaka. Ini adalah petanda keamatoran pemikiran mereka.

Untuk mengelak hal ini berulang, PH boleh mengenakan syarat menghalang menteri pusat, menteri negeri dan ahli exconya daripada menerima bintang kebesaran ketika dalam perkhidmatan.

Lagi baik kalau semua Ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dimasukkan di dalam senarai larangan ini.

Kedua, sabotaj oleh kakitangan awam dan eksekutif GLC/GLIC kerana ketidakcekapan, pengaruh ideologi dan korupsi.

Ketiga-tiga ciri ini wujud walaupun saya tidak menafikan bahawa ada banyak kakitangan awam dan eksekutif GLC/GLIC yang cemerlang dan berkelas dunia, tetapi lebih banyak yang tidak.

Kerana lebih 60 tahun di bawah kerajaan yang sama, pemikiran mereka dipengaruhi oleh ideologi parti pemerintah dan parti pemerintah menjadi begitu feudalistik dan korup sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Walaupun kerajaan PH telah tidak menyambung atau memendekkan tempoh perkhidmatan beberapa orang pegawai atasan dan melantik orang baru menggantikan mereka namun “DNA”, “inprint”, acuan dan “template” Umno/BN masih kuat. Hal yang sama berlaku dalam GLC dan GLIC.


 

Sekolahkan dan kembalikan profesionalisme perkhidmatan awam

Adalah penting mereka ini disekolahkan semula secara sistematik agar kembali menjadi penjawat awam dan pengurus GLC/GLIC yang profesional, berkecuali dan bebas rasuah.

Teruja

Akibat tidak ada pengalaman, ada menteri yang jelas telah berjaya dipukau oleh Ketua Setiausaha Kementerian masing-masing sehingga mereka menjadi “protective” terhadap KSU dan pegawai-pegawai kanan mereka.

Saya dimaklumkan ada menteri yang tidak suka atau tidak lagi mahu mendengar maklum balas parti dan orang ramai mengenai KSU mereka.

Kalau betul – tidak kira kalau sedikit sekali pun – hal ini amat berbahaya bagi kerajaan PH dan rakyat jelata yang bergantung kepadanya. Kerajaan PH terdedah kepada pemesongan dan sabotaj oleh saki-baki tali barut kerajaan lama.

Hal yang sama saya dengar berlaku di sesetengah GLC dan GLIC walaupun kepemimpinan atasan mereka sudah ditukar.

Hal ini tentulah lebih teruk di GLC dan GLIC yang masih diuruskan oleh pengurusan era BN.

Kecenderungan menyembunyikan maklumat masih berleluasa malah ada yang mempamerkan sikap angkuh kerana berasa kerajaan baru tidak tahu apa-apa dan kepakaran mereka tidak dapat diganti. Atau lebih tepat “kerajaan PH tidak mampu untuk menyingkirkan saya.”

Sebuah cerita klasik yang saya dengar adalah bagaimana ketua eksekutif sebuah GLC apabila ditanya berapa gajinya menjawab : “I can’t remember.” (Saya tidak ingat).

Setalah diselidik, didapati dia memperoleh pendapatan lebih RM7 juta setahun sedangkan syarikat kerajaan yang diuruskannya itu bolehlah dikira sebagai monopoli.

Saya juga mendapat maklum balas berkenaan adanya pengurusan GLC/GLIC yang mengintip kakitangan mereka sendiri agar tidak memberi maklumat yang diminta oleh kerajaan.

Jangan Tunggu Lama-lama


Saya cadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Kebangsaan Mengenai Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) memantau pegawai kanan kerajaan dan eksekutif GLC/GLIC yang berpotensi mensabotaj kerajaan.

Serentak itu siasatan ke atas pegawai kanan kerajaan dan eksekutif GLC/GLIC yang bersara atau ditamatkan perkhidmatan perlu disegerakan dan audit forensik ke atas GLC/GLIC dijadikan prosedur tetap (SOP).

Sebelum terlambat dan rakyat jelata hilang keyakinan kepada kerajaan PH, saya rasa elok menteri, menteri besar, ketua menteri dan semua wakil rakyat PH disekolahkan.

Rasanya tidak memadai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang menjadi guru dan mentor. Menanglah hebat dan istimewa dididik oleh Perdana Menteri, tetapi masa terlalu suntuk untuk tujuan itu.

Saya bernasib baik menjadi salah seorang “lepasan” kem bina semangat perdana di Negara Sembilan, yang dimentorkan sendiri oleh Dr Mahathir pada awal tahun 1990-an. Modul itu masih boleh digunakan.

Saya yakin menteri pun akan mendapat kebaikan jika disekolahkan bagi mengubah acuan minda mereka daripada pembangkang kepada kerajaan, daripada bercakap kepada bekerja dan daripada omong kosong kepada mengisi kekosongan.

Ingatlah, jika pada 9 Mei rakyat jelata boleh menendang keluar kerajaan BN yang telah berkuasa selama 61 tahun, apalah sangat dengan PH yang baru setahun jagung.

Wallahuaklam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...