Ahmad Syafii Maarif, bekas ketua pertubuhan Muhammadiyah, organisasi Islam kedua terbesar di Indonesia dengan keahlian 30 juta orang, turut terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh “orang penting” seperti Zahid.
“Ada juga orang di Indonesia yang berpendapat sedemikian, tetapi mereka orang yang tidak penting. Tetapi di sini perkara ini diperkatakan oleh orang penting Malaysia,” Syafii memberitahu FMT.
Zahid, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, mempersoalkan langkah yang diambil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menangani isu LGBT kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
Bekas timbalan perdana menteri itu menyuarakan kebimbangan Malaysia akan berdepan hukuman Allah jika tidak menentang kumpulan itu, sambil menambah apa yang berlaku di Sulawesi adalah hukuman Allah kerana peningkatan “kegiatan LGBT”.
“Akibat itu, seluruh tempat itu diranapkan dan ini adalah hukuman Allah,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Gempa bumi berukuran 7.5 meter pada 28 September mencetuskan gelombang tsunami setinggi 11 meter yang membadai Palu. Lebih 2,000 mayat dijumpai dengan 5,000 orang lagi dipercayai terperangkap dalam runtuhan.
Sehingga Ahad, pihak berkuasa Indonesia berkata kira-kira 220,000 orang kehilangan tempat tinggal, dengan anggaran kerugian AS$1 bilion.
Syafii, 83, yang menulis secara meluas mengenai Islam merupakan penerima Anugerah Ramon Magsaysay, yang dianggap setaraf dengan Anugerah Keamanan Nobel.
Beliau mengingatkan Zahid bahawa Indonesia terletak dalam “lingkaran api pasifik”, sebuah kawasan yang meliputi 40,000 km di Lautan Pasifik yang aktif dengan gempa bumi dan gunung berapi.
“Terdapat faktor geografi yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, Zahid sepatutnya mengatakan beliau tidak tahu kehendak Tuhan tanpa mengaitkannya dengan LGBT, sambil menambah lebih baik Zahid membantu mangsa bencana yang menderita dan membangunkan kembali kawasan bencana.
“Jika kita berdosa, kita minta keampunan dari Tuhan. Tetapi jangan kaitkannya dengan tsunami,” kata Syafii.
Beliau berkata walaupun Al-Quran ada menyebut mengenai bencana alam yang ditimpakan sebagai hukuman Tuhan, namun seseorang tidak boleh menyimpulkan niat di sebalik sesuatu kejadian.
“Tak mungkin kita tahu kehendak Tuhan, kita tak akan tahu,” katanya. - 24 Oktober 2018.