Kekecohan bermula apabila wakil pembangkang tidak puas hati kerana Menteri Dalam Negeri dan timbalannya tidak ada dalam dewan ketika menjawab soalan nombor 13 daripada Ali Biju (PH-PKR Seratok).
Ali meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah status dan perancangan pihak KDN dengan keperluan pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Saratok yang baharu bagi menggantikan IPD sekarang yang telah beroperasi sejak tahun 1954.
Soalan asal itu dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, mewakili KDN.
Wakil pembangkang tidak puas hati apabila Mohd Radzi gagal menjawab soalan tambahan Ali dengan menjanjikan jawapan bertulis.
Ini menyebabkan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat mempertikaikan tindakan itu.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan beliau memahami jika Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tidak dapat hadir kerana kemungkinan sedang mendapatkan rawatan kesihatan.
Bagaimanapun, difahamkan Muhyiddin ada majlis lain di Putrajaya pagi tadi.
Ka Siong berkata sepatutnya Timbalan Menteri Dalam Negeri (Datuk Mohd Azis Jamman) hadir untuk menjawab soalan yang berbentuk spesifik itu.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon bagaimanapun menyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan arahan berhubung perkara itu.
Keadaan bertambah ‘panas’ apabila Mohd Radzi juga gagal menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-UMNO Bagan Datuk) berhubung pertukaran tanah untuk membina kemudahan anggota polis, sebaliknya menjanjikan jawapan bertulis.
Ka Siong dalam sidang media di lobi Parlimen kemudian berkata ia tidak pernah berlaku ketika pentadbiran BN.
“Seingat saya, pada zaman BN, jika ada yang berlaku hanya membabitkan menteri dalam kementerian yang sama seperti di Jabatan Perdana Menteri menjawab bagi pihak menteri dalam jabatan yang sama,” katanya.
Beliau turut membangkitkan masalah ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri pada persidangan kali ini yang bukan saja pada waktu sesi soal jawab tetapi ketika sesi perbahasan.
“Semalam empat kali kita ambil gambar ruang sebelah sana (tempat duduk Menteri dan Timbalan Menteri) semuanya kosong,” katanya.
Rashid yang ditemui di lobi Parlimen menyatakan peraturan Majlis Mesyuarat 24 (1) membenarkan mana-mana Menteri menjawab soalan yang dikemukakan ahli Parlimen.
“Saya ingin menasihatkan pihak Menteri supaya lebih berdisiplin, sebagaimana diatur, kalau tidak dapat hadir pastikan digantikan dengan Timbalan Menteri.
“Kehadiran di Dewan Rakyat ini perlu menjadi keutamaan atau jika ada tugasan lain ia perlu diaturkan sebaiknya,” katanya. - 25 Oktober 2018.