Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 14 Julai 2019

Isu Ambilalih 4 Tol, Ini Jawapan Tony Pua Kepada Najib Razak.

TONY PUA | Pada zaman Barisan Nasional, pihak konsesi tol untung besar manakala dengan cadangan pengambilalihan 4 lebuhraya bertol oleh kerajaan Pakatan Harapan, pihak kerajaan, pembayar cukai dan pengguna lebuhraya yang beruntung.



Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menjelaskan di dalam Parlimen (9 Julai 2019) bahawa pengambilalihan 4 lebuhraya bertol – LDP, SPRINT, SMART dan KESAS akan memberikan manfaat besar kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Pihak Kerajaan dan pembayar cukai akan jimat lebih daripada RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol. Pihak pengguna lebuhraya pula akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun atau lebih kurang RM2 bilion sepanjang hayat konsesi tol.

Tambahan lagi, model pengambilalihan ini tidak akan melibatkan sebarang perbelanjaan Kerajaan kerana kos pengambilalihan sebanyak RM6.2 bilion serta kos operasi dan penyelenggaraan akan ditanggung sepenuhnya oleh kutipan caj kesesakan yang lebih rendah daripada kadar tol sekarang.

Bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak cuba mempertikaikan jawapan Menteri Kewangan dengan hujah dalam Facebook bahawa ‘rakyat yang tanggung penuh bayaran balik hutang serta faedah kos RM6.2 bilion untuk beli 4 tol itu. Kerajaan tak bayar satu sen pun.’

Nampaknya, Dato’ Seri Najib sudah hilang keupayaan untuk mengira.

Takkan Dato’ Seri Najib tak tahu bahawa sekiranya konsesi lebuh raya ini tidak diambil alih oleh pihak Kerajaan, pengguna lebuh raya akan tetap membayar kutipan tol yang lebih tinggi kepada pihak konsesi yang membolehkan syarikat lebuhraya ini terus menikmati keuntungan yang besar?

Tambahan pula, Kerajaan masih perlu membayar sekurang-kurangnya RM5.3 bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol semasa sehingga akhir hayat konsesi. Jumlah ini juga akan menyumbang kepada keuntungan besar syarikat konsesi.

Sebaliknya, dengan cadangan pengambilalihan kerajaan Pakatan Harapan, walaupun pengguna membayar caj kesesakan yang lebih rendah daripada kadar semasa, kutipannya adalah sudah mencukupi untuk membiayai kos pengambilalihan.

Dato’ Seri Najib juga cuba mengelirukan rakyat dengan kata bahawa “caj tol, yang dijenamakan semula menjadi caj kesesakan, terus dikutip selepas konsesi tamat. Maksudnya plaza tol tak akan roboh. Kekal di sana untuk selama-lamanya.”

Untuk makluman rakyat Malaysia, apabila kerajaan BN dulu ‘merobohkan’ plaza tol, beliau telah meluluskan bayaran pampasan berbilion-bilion ringgit kepada pihak konsesi lebuhraya. Ini bermaksud hanya keuntungan pihak konsesi diutamakan. Yang rugi adalah pihak pembayar cukai yang terpaksa menanggung pampasan yang begitu tinggi. Itulah antara sebabnya kerajaan BN perlu menyeksa rakyat dengan kutipan cukai GST yang begitu tinggi, untuk menampung kos operasi kerajaan yang melampau.

Jika pampasan tidak dibayar pun, tempoh konsesi lebuhraya dilanjutkan berpuluh-puluh tahun, seperti lebuhraya PLUS dari tahun 2018 sehingga 2038 supaya pihak pengguna lebuhraya akan terus membayar tol kepada pihak syarikat konsesi.

Di bawah cadangan yang baru, selepas tempoh konsesi lebuhraya asal tamat, caj kesesakan akan dikurangkan sekali lagi dengan signifikan bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya. Caj ini tidak akan mengandungi sebarang unsur keuntungan. Sekiranya caj kesesakan tidak dikutip, kos tersebut masih perlu ditanggung oleh pihak Kerajaan dan pembayar cukai secara amnya.

Semasa kerajaan Barisan Nasional berkuasa, terutamanya semasa pentadbiran Dato’ Seri Najib, beliau telah berkali-kali menegaskan bahawa ‘kerajaan tidak mampu mengambil alih lebuhraya’, ‘kerajaan akan mengalami kerugian besar’, ‘kadar tol tidak boleh dikurangkan’ dan ‘kos pengambilalihan adalah berpuluh-puluh atau beratus-ratus bilion ringgit’.

Tapi sekarang, kerajaan Pakatan Harapan telah membuktikan secara jelas bahawa kerajaan mampu mengambil alih lebuhraya bertol dengan tawaran RM6.2 bilion ini; kerajaan tidak akan mengalami sebarang kerugian, malah akan menerima penjimatan melebihi RM5.3 bilion; dan kadar tol atau caj kesesakan dapat dikurangkan dengan signifikan.

Dengan jelas, kerajaan Barisan Nasional dulu hanya mementingkan keuntungan konsesi lebuhraya swasta, manakala kerajaan Pakatan Harapan mementingkan kepentingan rakyat dan pembayar cukai.

Usaha pengambilalihan ini merupakan langkah pertama merealisasikan janji Pakatan Harapan untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat. Sehingga kedudukan kewangan negara membaik pulih pada masa depan, Kerajaan akan terus meneroka cara penyelesaian untuk meringankan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...