Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 20 Julai 2019

Polis Banyak Buang Masa Siasat Video Semburit - KPN.

The Malaysian Insight | POLIS banyak membuang masa apabila terpaksa menyiasat rakaman seks dua lelaki yang tersebar lebih sebulan lalu, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador. 


Katanya, masa banyak terbuang itu kerana kes itu bersifat politik.

“Semua ini politik. Saya digesa dari hari pertama untuk sahkan ketulenan video.

“Sekarang selepas disahkan, saya dituduh buat kenyataan politik,” katanya, seperti dipetik The Star Online.

Hamid turut mengingatkan parti politik supaya tidak mengheret pihak lain dalam konflik dalaman mereka.

“Saya seru kepada mereka kalau nak berpolitik biarlah di dalam kancah perimeter mereka sendiri, jangan limpahkan ke luar menyebabkan orang ramai rasa terbeban,” katanya.

Kelmarin, Hamid mengesahkan siasatan polis mendapati rakaman seks yang tersebar adalah tulen tetapi sukar untuk mengaitkannya dengan mana-mana individu seperti didakwa.

Pada 11 Jun lalu, tiga klip rakaman seks yang menunjukkan dua lelaki berhubungan intim itu mula tersebar melalui WhatsApp.

Seorang ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudian membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan menuduh Timbalan Presiden parti Mohamed Azmin Ali pasangannya.

Azmin keras menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.

Penyebaran rakaman seks itu mencetuskan krisis dalam PKR apabila pendukung Azmin mendakwa Anwar Ibrahim selaku presiden parti tidak mempertahankan timbalannya.

Kelmarin, 28 ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR termasuk wakil rakyat membuat kenyataan bersama meminta Anwar menunjukkan kepimpinannya dalam menghadapi fitnah terhadap pemimpin parti.

Semalam, semasa merasmikan permukiman PKR di Port Dickson, Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad pemimpin parti komponen supaya berhenti bertelagah sesama sendiri sehingga boleh menyebabkan mereka hilang kuasa.

Beliau mengingatkan bahawa mandat yang rakyat beri dalam pilihan raya umum setahun yang lalu adalah untuk membetulkan negara dan bukannya untuk terus berebut mendapatkan kuasa. – 20 Julai 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...