Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 29 Jun 2019

Korek Kubur Bina LRT, Ini Penjelasan Kerajaan Penang.

KENYATAAN MEDIA | KENYATAAN MEDIA DARIPADA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG.

Daripada : YB Dato’ Ir Hj Ahmad Zakiyuddin Bin Abd Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
Hal Ehwal agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)
Tarikh : 28 Jun 2019 (Juma’at)

Adalah dimaklumkan bahawa Saya selaku Timbalan Ketua Menteri I merangkap Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah bermesyuarat pada pagi tadi di bangunan JKP bagi membincangkan isu Jajaran LRT Bayan Lepas Di Kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.


1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dan menghormati setiap garis panduan hukum hakam Islam yang telah diputuskan oleh Jawatan Kuasa Fatwa sebelum membuat sebarang keputusan rasmi bagi cadangan Jajaran Light Rail Transit (LRT) Bayan Lepas di kawasan Masjid Jamek Sungai nibong Besar

2. Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang telah bermesyuarat pagi tadi, telah bersetuju dengan cadangan Jajaran LRT berhampiran tapak kubur dan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar diletakkan bersebelahan dan selari dengan jejambat Jalan Sultan Azlan Shah. Persetujuan ini mengambil kira bahawa Jejambat LRT yang dicadangkan tidak memasuki “walau seinci” pun kawasan kubur dan Masjid Sungai Nibong Besar baik yang berada di atas tanah mahupun ruang udara keduanya.

3. Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) juga mengambil maklum bahawa sebenarnya pagar kubur sedia ada telah berada 6 kaki di luar kawasan sebenar tanah wakaf dan berada di dalam tanah simpanan jalan. MAINPP akan mengambil tindakan dan langkah sewajarnya berkenaan perkara ini.

4. JKR sebagai agensi pelaksana projek pembinaan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar diminta untuk menyediakan susun atur baru untuk dilaksanakan tanpa menjejaskan penjadualan asal pelaksanaan pembinaan masjid. Adalah difahamkan bahawa mengikut jadual asal kerja kerja menanam cerucuk akan bermula pada pertengahan bulan Ogos 2019. Pihak JRK telah memberikan pengesahan bahawa perubahan ini tidak akan menjejaskan kemajuan pelaksanaan projek pembinaan ini.

5. Pejabat TKM I bersama-sama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Pejabat SUK akan menyelaras hal-hal berkaitan dengan isu tanah membabitkan Tanah Kerajaan, Tanah Simpanan Jalan dan Tanah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang akan diserahkan kepada MAINPP bagi menampung keperluan kawasan apabila anjakan tapak masjid dibuat. Semua keperluan teknikal pembangunan akan sentiasa dipatuhi oleh semua agensi yang terlibat.

6. Kerajaan Negeri Pulau Pinang KESAL dengan apa yang berlaku sekarang merujuk semua jenis penyebaran maklumat, kenyataan media dan sebarang bentuk sebaran melalui apa juga saluran media oleh sesiapa pun yang berniat jahat, bersifat fitnah dan tohmahan tidak berasas tanpa merujuk dan mendapatkan maklumat terkini yang sahih dan tepat dari pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

YB Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin
Timbalan Ketua Menteri (1)

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...